Sabtu, 16 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta-Bab 19


JAM di pergelangan tangan dilihat. Masih ada sejam sebelum masuk ke balai berlepas. Maira melabuhkan punggung di atas kerusi menunggu di sebelah Fatah. Kepala dilentokkan ke atas bahu Fatah. Fatah yang sedang leka membaca surat khabar mengangkat kepala memandangnya. Mengukir senyuman manis. Tangan naik mengusap kepalanya. Kemudian tangan saling bertaut. Terasa Fatah menggenggam tangannya kuat.
I will miss you so much.” Terasa menusuk kalbu mendengar suara Fatah yang berbisik perlahan di telinganya.
Maira mengalihkan pandangan melihat Alimuddin dan Harina yang sedang berbual. Fina pula sudah hanyut bersama Candy Crush. Kemudian kepala didongakkan melihat wajah Fatah di sisi. Wajah tenang yang sentiasa dihiasi dengan senyuman menawan.
I will miss you more.”
Entah kenapa tiba-tiba rasa sebak menyerbu. Hidung terasa semakin sempit untuk bernafas. Dada terasa semakin ketat. Mata semakin kabur menahan air mata dari mengalir.
“Kat sana nanti, selalu-selalu call I. Belajar rajin-rajin. Jangan sia-siakan perpisahan kita ni. Pastikan empat tahun menunggu you kat sini, I akan nampak you berjaya bawa balik gelaran seorang doktor. I akan sentiasa doakan yang terbaik untuk you.”
Mendengar suara tenang Fatah, membuatkan air mata yang ditahan mengalir laju. Lengan Fatah dipeluk kejap. Melepaskan tangis yang semakin sukar dikawal. Fatah... dia pasti akan sangat merindui wajah itu. Pasti dia akan merindui segala nasihat dan kata-kata semangat lelaki itu. Paling penting, pasti dia akan merindui senyuman dan wajah tenang milik Fatah. Wajah yang sentiasa membuatkannya terasa di alam bahagia.
“Okey, nangis puas-puas. Sementara I ada... Kat sana nanti, make sure you kena kuat. Jangan sesekali menangis. Janji dengan I, you tak akan menangis. Hanya menangis bila I ada di sisi you.”
Huwaaa... Fatah, tolonglah jangan bercakap lagi. Awak buat saya rasa nak lari balik ke rumah sekarang juga.
“Sayang... Did you listen to what I just said? Answer me. Promise kat I sekarang...” Fatah menarik dagunya. Mengusap segala air mata di pipi. Nasib baik hingus yang menyumbat hidung tidak dilapnya.
Promise...” Serak suaranya menuturkan janji. Renungan Fatah lembut menikam anak matanya. Dapat dilihat mata itu sarat dengan kasih sayang yang melimpah ruah kepadanya. Dia sahaja yang selalu menguji kesabaran Fatah. Merajuk, sengaja menggoda, menggedik, melawan, semuanya Fatah atasi dengan tenang dan senyuman menawan.
Alimuddin dan Harina dari jauh hanya mengukir senyuman lebar melihat reaksi mereka. Pandangan orang ramai juga sudah tidak dipedulikan. Yang Maira tahu, dia hanya merasai saat bahagia dan merakamkan senyuman menawan milik Fatah untuk bekalan empat tahun di sana.
Alimuddin mengerdipkan mata ke arah Maira. Memberi isyarat bahawa Fatah ialah lelaki yang terbaik untuknya.
“Nanti, I akan pergi ke sana selalu... Kalau perlu, I akan angkut sekali famili you. Kalau you cuti, you pula boleh balik ke sini. Pasal tiket flight, jangan risau biar semua I tanggung. Yang penting I nak you tumpukan pada studi aje, jangan fikir masalah lain.” Lembut Fatah mengelus tangannya yang digenggam kemas.
I will. I promise you. I will be Doktor Maira... and Puan Fatah.” Ikhlas dari lubuk hatinya.
Dia menuturkan janji bukan semata-mata ingin menyedapkan hati Fatah mahupun hati sendiri. Namun memang itulah niatnya. Membahagiakan seorang lelaki yang kini bergelar tunangnya, dan empat tahun lagi akan bergelar suaminya. Insya-Allah...
“Sayang...”
Hmmm...”
“I tanya skit boleh? Tapi I nak you jujur dengan I. I tak nak kita berpisah jauh dengan hati yang tidak tenang.”
Maira hanya menganggukkan kepala. Menanti pertanyaan yang bakal diajukan oleh Fatah.
“Siapa sebenarnya yang bagi patung kaca semalam?” Perlahan suara Fatah sambil merenung tepat ke anak matanya.
Maira terdiam. Apa yang perlu dia jawab? Adakah kejujuran akan memulihkan keadaan? Atau lebih baik tiada kebenaran? Tidak sanggup rasanya dia untuk membuka kebenaran. Atau lebih tepat, tidak sanggup dia melukakan hati Fatah. Bolehkah Fatah menerima semua itu? Walaupun kebenaranya dia dan Gun tidak mempunyai apa-apa hubungan hati, namun adakah Fatah boleh memahami semua itu?
Errr...”
That guy, right? Lelaki yang peluk you hari tu?”
Semakin kuat Maira mengemaskan pelukan di lengan Fatah. Tidak berani untuk mengangkat muka. Fatah tahu. Adakah ini bermakna, Fatah begitu teliti dengan apa yang telah terjadi di dalam hidupnya?
Perasaan bersalah semakin menggila. Menyesakkan dada. Mengunci mulut untuk bersuara walaupun terlalu banyak yang ingin dia perkatakan.
“Maaf. I bukan tak percaya you. I cuma nak tahu. I tahu, tunang I wanita hebat. Sudah semestinya digilai ramai lelaki. Tapi I tahu, I tetap lelaki terhebat dalam hati you.”
“I sayang you. Hanya you. Selagi cincin ni ada di jari manis I, you tetap akan jadi lelaki yang paling manis dalam hati I.” Kepala diangkat. Memandang tepat wajah Fatah cuba menyalurkan keyakinan kepada lelaki itu.
I love you more and much more...” Fatah mengucup tangannya. Tepat di cincin yang tersarung di jari manisnya.
“Ara, jom sayang. Ara dah boleh masuk ni...” Tiba-tiba Alimuddin berdiri di hadapan mereka sambil melihat ke skrin waktu.
“Dah boleh masuk ke, uncle?” soal Fatah namun tangan mereka masih bertaut.
“Dah... itulah khusyuk sangat bercinta.”
Maira hanya mengukirkan senyuman mendengar kata-kata Harina. Fatah pula sudah tersipu malu. Bangkit dari kerusi, Fatah mencapai beg sandangnya. Sementara sebelah tangan lagi masih bertaut. Seperti tidak merelakan perpisahan tersebut.
Maira mendekati Harina. Tangan wanita yang sudah berusia lewat 40-an itu diambil dan disalam. Wajah yang masih kelihatan anggun seperti tidak dimamah usia itu dipandang lama. Dicium kedua-dua belah pipi, kemudian memeluk kemas tubuh kecil molek ibunya itu.
“Ibu doakan supaya kat sana Ara akan dapat jadi anak dan pelajar yang baik ya. Ibu jaga diri baik-baik.”
“Ibu akan sentiasa doakan yang terbaik untuk anak ibu. Solat tu jangan lupa. Bukan ibu tak tahu kamu tu, punya liat. Ingat... hidup kita akan lebih diberkati kalau sentiasa ingat pada pencipta kita. Makan jangan skip. Kat sana dah tak boleh malas-malas masak. Berdikari.” Harina menarik sedikit hidungnya. Mungkin kerana ingin menceriakan suasana yang dilanda kesedihan. Terutamanya dia.
“Ibuuu...” rengek Maira. Malu ditegur sebegitu di hadapan Fatah. Fatah yang setia di sisinya dikerling sekilas. Lelaki itu hanya berwajah tenang. Namun bibirnya mengukirkan senyuman kecil.
“Anak ayah... come to me, baby...” Giliran Alimuddin pula yang mendepakan tangannya.
“Ayah...” Maira menerpa masuk ke dalam pelukan ayahnya. Badan yang tinggi dan agak besar. Membuatkannya berasa begitu selamat.
“Apa-apa Ara boleh share dengan ayah. Ingat, ayah sentiasa sayang anak-anak ayah. Kat sana jaga perangai, tempat orang dah tak boleh menggedik. Menggedik dengan buku-buku aje.”
Maira ketawa kecil. Ayah ni... ada-ada aje.
“Ayah pun. Jaga diri. Jangan kerja kuat sangat. Selalu-selalu joging, perut ni dah makin maju...”
Maira menepuk-nepuk perlahan perut Alimuddin yang agak membuncit.
“Lagi satu... jangan selalu-selalu buli ibu. Dan jangan lupa, duit shopping Ara tiap-tiap bulan wajib. Elaun belajar dan shopping lain kira. Tak masuk satu list...”
“Amboii dia... Ini siapa buli siapa ni? Fatah... bankrap la kamu nanti. Dapat wife mesin cukur turbo macam ni...”
Serentak, tercetus ketawa mereka berlima mendengar gurauan Alimuddin. Suasana yang agak syahdu tadi bertukar menjadi agak ceria. Maira menyalam tangan Alimuddin. Kemudian bergerak ke arah Fina yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati. Tangan dihulurkan. Fina mencapai tangannya. Mencium lembut.
“Jaga ibu dengan ayah. Jangan buat ibu, ayah susah hati lagi. Kalau kakak tahu kamu buat ibu dengan ayah susah hati, siap kamu!”
Yes, madam! Patik menurut arahan.”
Maira menjeling tajam melihat Fina yang menaikkan tangan. Membuat aksi tabik hormat persis anggota tentera kepadanya. Kemudian dia mengukir senyuman kecil. Fina, satu-satunya adik yang dia ada. Memang menyakitkan hati, tapi kadang-kadang inilah teman gaduhnya.
“Jangan risau. Bukan setakat ibu dengan ayah aje, dengan bakal abang ipar Ana yang kacak bergaya ni pun Ana akan jaga. Bagai menatang minyak yang penuh. You can trust me, sister.
“Cukup ibu dengan ayah aje. Jangan nak lebih-lebih.”
Fina hanya menayang sengih. Tak kira kena marah, sengih tetap sengih. Memanjang gembira aje Fina ni.
Maira mengatur pula langkah ke arah Fatah yang sedari tadi langsung tidak mengalihkan pandangan darinya.
Darling, I pergi dulu...”
Fatah menghulurkan beg sandang kepadanya. Untuk seketika mereka saling bertatapan. Tidak perlukan kata-kata, cukup hanya pandangan mata yang berbicara.
Maira memeluk tubuh tegap itu. Merasai kehangatan tubuh itu. Selepas ini entah ada peluang atau tidak dia untuk memeluk tubuh lelaki yang paling dikasihinya itu. Fatah membalas pelukannya. Ubun-ubunnya dikucup beberapa kali.
Maira menarik nafas panjang. Cuba menyedut haruman dari badan Fatah. Cuba untuk mengingati bau tersebut. Kalau rindu selepas ini, dia akan membeli minyak wangi daripada jenama yang sama. Dan hidu hari-hari. Belum pergi, tetapi rindunya sudah mengunung. Seketika mereka hanyut di dalam pelukan masing-masing, cuba menyalurkan kasih sayang yang ada.
“Ehem. Dah-dah la tu... Nak lama-lama, kahwin dulu. Nak peluk ke... cium ke... masa tu ikut suka kamu berdua la.”
Teguran Alimuddin mematikan saat indah antara Fatah dan Maira. Maira hanya ketawa kecil melihat wajah Fatah yang kemerahan menahan malu. Comelnya Fatah bila buat muka segan-segan macam tu.  
Beg kembali dicapai dan disandang ke belakang tubuh. Kali ini, dia tidak lagi berskirt pendek. Kali ini dia mengenakan skinny jeans hitam dan baby T-shirt putih bersih.
“Ara pergi dulu. Love you all.
Kaki segera melangkah ke balai berlepas. Beberapa langkah dia kembali berpaling. Melihat wajah-wajah tersayang buat kali terakhir. Wajah Alimuddin dan Harina yang muram namun masih berusaha mengukirkan senyuman. Kemudian wajah Fina yang tersenyum lebar, suka sangat dia pergi agaknya. Akhir sekali wajah encik tunang yang sudah mengenakan Aviator hitam. Masih berwajah tenang. Namun bibir itu sentiasa mengukir senyuman. Senyuman yang akan menemani malam-malamnya selepas ini.
I love you...” Bibir Fatah bergerak tanpa suara. Namun Maira faham apa yang ingin disampaikan.
Tiba-tiba matanya tertancap pada sebatang tubuh di sebalik orang ramai yang semakin menyesakkan balai berlepas. Berjaket coklat tua yang sangat dikenalinya. Namun baru ingin memusatkan pandangan dengan lebih jelas, tubuh itu sudah hilang di sebalik orang ramai.
Gun... Adakah itu benar-benar Gun? Maira menggelengkan kepala, membuang apa yang tidak perlu difikir. Menarik nafas panjang dan melepaskannya.
I love you too...”
Maira membalas ucapan Fatah. Juga membuat perkara yang sama, menggerakkan bibir tanpa suara. Melayangkan flying kiss kepada semua.
Sebelum kaki melangkah terus masuk ke balai berlepas tanpa menoleh lagi ke belakang. Setiap langkah yang diatur, dia menaman tekad dan semangat di dalam dirinya. Dia akan pastikan pemergiannya selama empat tahun ini akan membuahkan hasil. Gelaran seorang doktor pasti akan dipegangnya. Dan yang pasti, empat tahun lagi... dia akan menjadi isteri kepada lelaki bernama Fatah Asyraf. Itulah azamnya.

Malaysia... tunggu kepulangan Dr. Maira Khaisara! jerit Maira dalam hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan