Pencuri Hati Vs Penembak Cinta

“MORNING...”
“Morning. Amboi anak ayah macam nak pergi pertandingan gadis Melayu. Cantik, manis...”
Tersenyum lebar Maira mendengar pujian yang keluar dari mulut ayahnya. Hidangan di atas meja diperhati. Nampak sahaja mi goreng basah yang masih berasap, perutnya tiba-tiba diterpa rasa lapar. Wah... nampaknya pada hari ini dia terpaksa derhaka kepada rutin dietnya.
“First day kerja kan... haruslah cantik menawan...”
“Ara, betul ni yakin dengan keputusan yang Ara buat...”
“Yes. Yakin dan pasti!” Bersemangat Maira menjawab. Siap digenggam tangan kanannya dan dia membuat aksi yakin boleh. Semalam puas dia memujuk Alimuddin untuk membenarkannya menjadi guru sementara di Hamuddin Bistari. Kebetulan Cikgu Laila cuti bersalin selama sebulan. Jadi dia mengambil kesempatan itu untuk membuatkan ayahnya serba salah. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia membenarkan Maira mengambil alih tugas tersebut. Hanya itu sahaja jalannya supaya dia dapat membalas dendam kepada lelaki penyangak tersebut. Tidak tahu kenapa perasaan ingin tahu siapa lelaki berkenaan begitu kuat. Mungkin kerana itu ialah kali pertama ada seorang lelaki yang memperkecilkan nilai kecantikannya.
Akhirnya hari ini dia akan menjadi guru untuk tempoh sebulan sebelum dia akan melanjutkan pelajaran ke
Moscow. Tempoh sebulan itu sudah cukup untuk dia lebih mengenali lelaki berkenaan.
“Mana ibu?” soalnya sambil tangan lincah menyuap mi goreng ke dalam mulut.
“Ada. Pergi kejutkan adik kamu. Hari ini sepatutnya dia ada kelas pagi. Tapi tak bangun-bangun lagi.
Hari-hari nak kena dengar suara petir ibu kamu dulu baru nak celik mata. Entah apa nak jadi la adik kamu tu.”
“Ayah dengan ibu tu yang manjakan dia sangat. Kalau Ara, dah lama budak tu cium dinding. Mengada-ada!”
Air diteguk perlahan. Rasa tercekik kerongkongnya apabila mengenangkan sikap adiknya yang seorang itu. Umur sudah menjangkau 18 tahun, tetapi perangai seperti budak yang baru ingin melangkah ke darjah satu. Memang dia tidak sebulu dengan Fina Khairana. Satu-satunya adik yang dia ada. 
“Isy kakak... Ada ke patut cakap adik macam tu,” tegur Harina yang baru tiba di dapur. Kerusi di sebelah
Alimuddin ditarik sebelum melabuhkan punggung.
Maira mencebikkan bibir. Menyampah! Dia bukan marah orang lain, dia hanya geramkan perangai Fina yang
tidak serupa perempuan itu. 
“Nanti... kalau kakak dah pergi overseas, barulah kakak akan rasa rindu kat kat adik tu. Sekarang yalah
marah-marah... nanti kat sana dah tak ada teman nak bergaduh.”
“Lagi bagus. Taklah sakit jiwa raga kakak ni dengan perangai Ana tu.”
“Ara... behave. Adik dengar nanti kecik hati dia,” tegur Harina.
“Biarlah... Entah bangun ke tidak tu. Silap-silap ibu tutup aje pintu bilik, dia tarik selimut semula. Bukan
boleh percaya sangat budak tu.”
“Isy, kamu ni. Sedegil-degil adik kamu tu, dia tak pernah lagi ponteng kuliah tau. Ibu tahu anak ibu macam
mana.”
“Ibu ni kalau pasal Ana... mesti berbakul-bakul ibu pertahankan,” protes Maira.
“Wah, Ana macam dengar ada orang sebut-sebut nama Ana aje. Morning kakak, ayah, ibu.”
Tiba-tiba muncul Fina di pintu dapur. Tersenyum panjang. Maira menjeling, dah lewat ke kelas pun ada hati
nak senyum-senyum. Entah-entah tengah mengigau lagi tu.
“Morning...” jawab Harina dan Alimuddin serentak.
“Owh! Wow... Kakak. Nak ke mana ini? Siap berbaju kurung bagai... ada kenduri kahwin ke.”
“Eh, ikut suka kakak la. Pakai baju kurung tak semestinya kena pakai masa ada kenduri kahwin aje. Ini
kan baju kebangsaan kita. Yang kamu tu... dengan seluar jean besar... kemeja besar macam jantan tu. Elok sangat ke...”
“No. Just weird. Kakak selalunya jarang pakai baju kurung. Mana mini skirt and dress yang selalu kakak pakai itu? Tapi... kakak memang betul-betul sweet pakai baju macam ini. Right, ibu?”
“Dua-dua anak ibu sweet. Tak kisah la pakai apa pun... Dah, makan cepat, Ana. Nanti lambat pula.”
Harina menggelengkan kepala. Maira dan Fina, pantang berjumpa. Ada saja perkara yang tidak betul. Dia
tahu, Maira tidak suka dengan perangai Fina yang kebudak-budakan dan sedikit kasar. Berbeza dengan Maira yang lebih feminin dan manja. Namun setakat ini, mereka hanya bergaduh mulut sahaja. Tidak pernah lagi dia melihat Maira menaikkan tangan ke badan Fina. Mulut sahaja yang lebih.
“Ara nak pergi dengan ayah atau nak pergi sendiri?”
“Sendiri. Balik nanti ada hal dengan Rin dan Yat.”
“Hujung minggu ni jangan lupa ajak Fatah datang ke rumah. Ayah nak buat doa selamat sikit sebelum kamu
pergi sambung belajar.”
“Okey. Nanti Ara cakap. Ermmm, Ara pergi dulu la, ayah. Jumpa kat sekolah nanti okey.” Maira bangun
sambil menyalami tangan Harina dan Alimuddin.
“Ni rambut fesyen apa macam ini? Dah macam mangkuk tingkat aje kakak tengok.” Maira berhenti di belakang Fina. Menundukkan sedikit kepala memerhati fesyen rambut Fina. Pelik semacam pula dia rasa. Diikat dan digulung masuk ke dalam topi. Buta fesyen betul Fina ni. Hancur!
Kaki melangkah laju ke luar rumah apabila mendengar suara ibu menegur perbuatannya. Pantang betul
orang usik anak kesayangan dia itu. Mulalah nak buka khutbah semanis kurma versi Harina.



MULUT menyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak lagu dari corong radio. Brek tangan ditarik apabila kereta
berhenti di persimpangan lampu isyarat yang bertukar warna merah. Tangan menyelongkar beg tangan di kerusi penumpang. Bibir menguntum senyuman apabila telah jumpa apa yang dicari. Wajah dipandang di cermin pandang belakang.
Street!!! Bunyi brek yang nyaring mengejutkan dirinya yang sedang leka mencalitkan lipstik ke bibir.
Akibat kejutan itu, sasaran lipstik tersasar ke tepi bibir.
“Arghhhh...” gumamnya geram.
Mata memandang tajam ke sebelah kanan, melihat ke arah kereta yang dibrek secara mengejut sebentar tadi. Dah buta ke mata tu tak nampak lampu isyarat berwarna merah. Kenapa tak brek awal-awal? Lepas tu brek mengejut. Yang jadi mangsanya dia juga. Dari dalam kereta, dia dapat melihat ada seorang gadis cantik di bahagian sebelah penumpang.
Kereta Honda Sivic Type R hitam berkilat itu dipandang dari hadapan sehingga ke belakang. Wah...
meriahnya dengan stiker naga. Naga warna merah menyala pula tu. Kongsi gelap ke apa ni?
“Helo...” Tingkap dibuka dan tangan dilambai-lambai ke arah kereta gadis tersebut.
Setelah dua tiga kali dia melambai, barulah gadis itu menurunkan tingkap. Gulp! Air liur ditelan apabila
terpandang wajah gadis tersebut. Cantiknya... Eh, tapi aku lagi cantik... gumam Maira perlahan.
“Yes, miss...” soal gadis itu bersama senyuman di bibir.
“Ehem, ehem...” Maira berdehem perlahan sebelum menyambung kata.
“Errr...” Teragak-agak Maira untuk berkata. Takut juga kalau ini orang kongsi gelap. Mahu melayang
nyawanya nanti.
“What’s wrong...” soal satu suara yang datang dari arah sebelah gadis cantik berkenaan. Sudah semestinya
pemandu kereta naga berkenaan.
Terbeliak mata Maira.
“Awak bawa kereta macam jalan ini ayah awak yang punya. Pagi-pagi lagi dah buat pencemaran bunyi,”
marah Maira.
Tadi tak adalah nak marah sangat. Tapi bila tengok aje muka lelaki berkenaan, terus menggelegak darahnya.
Geram dengan kejadian semalam pun tidak habis lagi. Hari ini sekali lagi, lelaki yang sama hampir memusnahkan lipstik kesayangannya.
“So, apa masalahnya?” soal lelaki itu dengan muka berlagaknya.
“Memang masalah. Masalahnya sekarang, awak dah mengganggu mood tenang saya pada pagi ini,” jeritnya
keluar tingkap. Menyampah betul dia melihat muka lelaki tersebut yang beriak selamba. Seolah-olah tidak
mengenalinya. Adakah lelaki itu telah lupa? Ah, ini betul-betul boleh mendatangkan kemarahan. Boleh pula lelaki itu tidak mengingati wajahnya yang cantik menawan itu. Seperti semalam juga, lelaki itu tetap beriak tenang.
“Yang nak mengadu kat aku pula apa hal? Ini bukan kaunter aduan. Mood kau nak jadi puting beliung pun bukan masalah aku.” 
Eh, ber ‘aku’ ber ‘kau’ pula mamat ni.
“Awak ini memang berlagak betul! Adik, kesian betul sebab awak dapat teman lelaki yang macam ni. Dahlah perangai macam penyamun. Rambut macam rumput kena racun. Muka pula tak usah nak cakap la...
masam macam kelubi. Cari orang lain la dik, jangan membazir masa dengan spesies lelaki penyamun macam
ini,” jerit Maira geram.
Sempat dia mengutuk lelaki tersebut. Tidak tahulah kenapa menyampah betul dia melihat muka lelaki
berkenaan. Kelihatan gadis cantik tersebut tersenyum-senyum memandang ke arahnya dan kekasihnya silih berganti. Eloklah itu, seorang tidak berperasaan. Seorang lagi pula asyik tersenyum memanjang. Orang kutuk teman lelaki dia pun masih nak senyum-senyum. Memang pasangan gila agaknya mereka berdua ini.
“Dear, jangan dilayan orang gila! Tengok daripada gaya macam baru keluar dari hospital mental aje...”
Berasap! Wah... Dia sikit punya ayu boleh dikatakan baru keluar hospital mental. Dia tu yang mental.
“Eh, penyangak mulut busuk! Suka hati awak saja kan mengata saya? Depan-depan pula tu!”
“Mulut busuk? Weh, kau tu yang mulut bau tangki najis. Bukan setakat mulut, hati kau tu sekali busuk.
Jangan dilayan perempuan OKU ni, Fetty. Tutup tingkap tu,” arah lelaki tersebut kepada gadis cantik yang sedari tadi hanya terkebil-kebil melihat perbalahan mereka. Maira mencebik menyampah. Kalah la tu... tahu
takut. Dengan kekasih, bukan main lagi cakap macam orang tak ada gigi. Nak selindung perangai sebenar la tu...hipokrit.
“Oh, wait. Sebelum lupa... kau nampak cantik hari ini. Belajar dari sekolah mana pakai lipstik macam tu?
Kesian, baru nak belajar berfesyen agaknya.”
Terkebil-kebil Maira mendengar kata-kata lelaki tersebut.
Dia lantas memandang ke arah tingkap kereta lelaki berkenaan yang telah ditutup rapat. Wah... hari ini
semua orang puji aku cantik. Haruslah... ini kan Ara si pencuri hati.
Mata menjeling dengan riak angkuh kereta sebelah. Tetapi apabila terpandangkan isyarat gadis cantik
itu dari dalam kereta, dia segera memandang cermin.
Owh, my lipstick! Ya Allah... malunya. Macam mana dia boleh lupa lap tadi. Itulah, teruja sangat nak
menghamburkan kemarahan. Mesti orang fikir dirinya betul-betul gila. Hampeh! Ini semua si penyangak itu punya pasal.
Terkial-terkial Maira memasukkan gear sebelum keretanya turut bergerak menuju ke Sekolah Menengah (P)
Hamuddin Bistari. Tangan lincah mengelap calitan lipstik yang telah tersasar ke dagu. Bad day!



MAIRA memandang ke sekitar kelas. Terdapat lebih kurang dua puluh orang pelajar yang sedang
memandang ke arahnya. Terpegunlah tu. Siapa yang berani mempertikaikan kecantikan dirinya? Rambut yang menutupi dahi diselak ke belakang telinga dengan gaya yang paling anggun. Senyuman diukir semanis mungkin... harus nampak bersopan santun sebagai guru yang paling menawan.
“Cikgu Khaisara umur berapa?”
Soalan yang tiba-tiba keluar dari mulut seorang pelajar lelaki yang duduk di barisan paling hadapan
mengejutkannya. Umur yang ditanya?
“Ermmm, dua puluh tahun. Why?”
“Errr... Cikgu nampak macam umur lima belas tahun. Cantik...”
Ahhh... bahagianya. Senyuman semakin lebar. Haruslah cantik... jika tidak, tak layaklah dia digelar si
pencuri hati.
“Terima kasih... Errr... Aman, awak pun nampak cute sangat hari ni.”
Pelajar bertubuh besar itu tersipu-sipu malu.
“Siapa leader dalam kelas ni?”
“Saya, cikgu. Saya Izuan.” Seorang pelajar lelaki yang duduk di tingkap paling tepi mengangkat tangan.
“Izuan... nice name...”
Maira kalau bab memuji dan mengambil hati memang tiptop. Dia mula merasakan tugas sebagai guru
kelas Enam Atas Ibnu Sina itu tidaklah sesusah mana. Masing-masing nampak seperti mengikut kata. Tadi masuk sahaja ke dalam kelas, satu persatu muka di dalam kelas itu dibeleknya. Mencari muka si penyangak tarbus. Manalah tahu jika lelaki itu ialah pelajar kelasnya. Mudah la dia untuk membalas dendam. Tetapi hampa, wajah yang dicari itu langsung tidak kelihatan.
“Baiklah... Hari ini sebagai hari permulaan, cikgu tak akan mulakan sesi pembelajaran lagi. Hari ini kita
borak-borak aje okey. Beramah mesra... Apa-apa yang nak tanya, silakan. Kaunter pertanyaan cikgu buka free of charge today.”
“Betul ke cikgu anak Cikgu Alim? Pengetua kami tu.”
“Betul. Tapi tu tak bermaksud awak perlu takut kepada saya. Anggap sahaja saya seperti kawan-kawan
kamu yang lain. Saya nak, untuk tempoh sebulan saya menjadi guru kelas kamu, saya akan mendapat satu
kenangan yang manis.” Maira cuba beramah mesra agar pelajarnya tidak berasa kekok.
Pappp!
Tiba-tiba pintu belakang kelas ditolak dari luar. Bulat mata Maira melihat tiga orang pelajar lelaki yang
menyerbu masuk. Panas terus hatinya melihat kelakuan mereka. Seperti dirinya selaku seorang guru langsung tidak dipedulikan. Sudah la datang lewat, selepas itu boleh pula menyerbu masuk ikut pintu belakang. Ingat ini kandang kambing ke?
“Hei!”
Serentak dengan jeritannya, langkah mereka bertiga terhenti. Mereka memandang ke arah Maira. Saat
matanya bertembung dengan salah seorang pelajar tersebut, jantungnya membuat aksi lompat kijang. Penyangak!
Mereka berpandangan untuk beberapa saat sebelum lelaki tersebut kembali melangkah dengan bergaya.
Maira bercekak pinggang. Hilang terus gaya alaala ratu cantiknya sebentar tadi.
“Berhenti. Berdiri kat situ. Jangan duduk selagi saya belum benarkan awak duduk.”
Dilihat dua orang lagi pelajar tersebut berhenti melangkah. Manakala si penyangak dengan selamba duduk
menarik kerusi. Membelakangkan dirinya sambil tangan sibuk membuka bungkusan plastik burger McD.
Maira mengipas-gipas mukanya menggunakan tangan. Berbahang hatinya melihat aksi selamba si penyangak itu.
“Ketua penyangak! Awak dengar tak saya cakap?!” Senyap. Sepi. Masing-masing memandang ke arah
ketua penyangak.
“Penyangak! Awak dengar tak? Pekak? Tak nampak ke saya yang cantik bergaya kat depan ini? Mana
rasa hormat awak.”
Haihhh kalau dengan lelaki ketua penyangak ini memang dia tidak boleh bercakap dengan suara lemak
merdu.
“Gun...” Pelajar yang bertubuh agak kurus dan berambut pendek memanggil lelaki tersebut. Gun? Oh... jadi nama dia Gun? Apa ke pelik sangat? Nak nampak ganas la konon. Dah macam jenama pencuci tandas aje dia dengar. Huh! Kalau hati dah benci... semua pun dia benci.
“Gun. Cikgu panggil la.” Giliran pelajar lelaki yang berbadan agak besar dan tegap pula memanggil Gun.
“Who’s care...”
Sentap! Perlahan tetapi cukup menyakitkan. Mata memandang ke arah pelajar-pelajar di dalam kelas yang
diam membisu. Nafas ditarik... Sabar, Maira. Ingat...perempuan cantik tak boleh marah-marah. Senyum...
“Siapa nama awak?” soal Maira kepada dua orang pelajar yang masih berdiri di tengah-tengah kelas.
“Errr... Panggil saya Kit. Ini pula Dini,” jawab pelajar yang berbadan kurus berkenaan.
“Hai cantik...” Pelajar bernama Dini itu menegurnya sambil mengenyitkan mata.
Phewww... bermulut manis. Sesuai dengan orangnya yang kelihatan kacak bergaya. Dengan tubuh badan yang tegap seperti ahli sukan. Benar-benar kelihatan cukup bergaya. Nasib baik dia sudah ada Fatah, tunangnya. Jika tidak, boleh jatuh hati dia dibuatnya. Haippp! Ini pelajarnya. Ingat tu, Maira!
“Ehemmm... thanks. Dini, siapa nama kawan awak yang manis comel cute miut tu...” soal Maira sambil
berpeluk tubuh. Cuba mengawal rasa miang di dalam diri.
“Gun. Kami semua panggil dia Gun, cikgu.”
“Gun? Apa nama pelik sangat? Nak nampak ganas la tu konon... Kalau dah penyangak tu, penyangak la
juga...”
“Boleh kami duduk, cikgu? Maaf... jalan jammed sikit tadi. Itu yang lambat sampai.”
Maira hanya menganggukkan kepala menjawab pertanyaan daripada Kit. Kit nampak lebih lembut
walaupun berpewatakan agak ganas. Dengan memakai jaket putih yang bergambar naga di belakang, memakai rantai besi yang agak besar saiznya di leher. Haihhh... geng naga agaknya mereka ini. 24 jam pakai jaket, nak tengok tag nama dia orang pun tak boleh. Dia pasti, nama yang diberitahu oleh mereka tadi hanyalah nama samaran sahaja. 
“Okey, kelas... Abaikan penyangak versi kutub utara tu. Jom kita happy-happy. Kit, Dini, awak berdua boleh duduk. Hari ini cikgu maafkan.” Senyuman diukir seikhlas hati. Dia akan anggap sahaja Gun itu terencat akal. Kesian...
“Okey. Tanyalah apa-apa... Rugi tau tak tanya. Hari ini aje cikgu buka peluang,” pancingnya apabila
melihat keseluruhan kelas sunyi sepi.
“Cikgu kata tadi... umur cikgu dua puluh tahun. Maknanya cikgu ni tua setahun aje la daripada kami
semua...”
“Jangan pandang pada umur. Cikgu tetap cikgu kamu dalam masa sebulan ini.”
“Budak-budak...”
Tegak telinganya mendengar suara Gun yang bernada sinis. Sibuk nak duduk menghadap dinding tetapi
sibuk juga nak mendengar perbualan yang sedang berlangsung.
“Cikgu dah kahwin ke...”
“Hehe... Belum... still bujang. Tapi sudah berpunya. Tak ada peluang nak masuk jarum.”
Bergegar kelas dengan gelak ketawa pelajar-pelajarnya.
“Macam la ada yang nak...”
Dalam gelak ketawa itu, suara sumbang tetap kedengaran. Siapa lagi kalau bukan si ketua penyangak.
Maira buat tidak peduli.
“Kenapa cikgu tak jadi cikgu tetap kat sini?”
“Sebab cikgu ada cita-cita yang harus dilaksanakan.”
“Cita-cita cikgu apa?”
“Doktor. Ya... doktor yang paling cantik...”
Wah, Maira... Sempat lagi mempromosikan kecantikan dirinya.
“Doktor gila...”
“Hei, penyangak. Awak diam,” marahnya. Ada ke dikata dirinya doktor gila?
“Penyangak yang handsome.”
Dushhh! Ya Allah... dia ingat dia saja yang perasan cantik. Tetapi ada juga orang lain yang perasan. Penyangak yang handsome? Langsung tak sesuai.
“Penyangak bermulut puaka.”
“Doktor yang berlagak pandai...”
“Memang saya pandai... Kalau tak, saya tak akan mampu berdiri di sini. I’m your teacher. Awak tu yang masih merangkak untuk menghabiskan sekolah.”
“Buat apa nak merangkak kalau boleh berjalan? Berlari pun boleh.”
“Menjawab! Idiot.”
“It’s you.”
Arghhhh, dia pula yang dibodohkan. Bercakap dengan budak seperti itu memang menguji kesabarannya.
“Izuan, bagi tau saya... siapa nama sebenar lelaki biadab di belakang sana? Biar saya bawakan perkara ini ke
pihak sekolah.”
“Errr...” Teragak-agak Izuan bersuara.
“Just tell me.”
“Keith Rajh Dhan...”
“What? Again?” Kenapa dia merasakan nama itu terlalu pelik. Tadi Gun... sekarang...
“Keith Rajh Dhan,” ulang Izuan sekali lagi dengan teragak-agak. Takut.
“Awak bukan orang Melayu?” soalnya kepada Gun.
“None of your business.”
“Penting. Sebab saya sekarang guru kelas kamu.”
Senyap... Sunyi... Kit dan Dini yang sedari tadi leka dengan telefon bimbit masing-masing di tangan mula
mengangkat muka. Dipandang Maira dan Gun silih berganti.
“Okey tak apa... Small matter. Okey, kelas... sambung balik pada chit chat kita tadi...”
Keith Rajh Dhan. Nama itu terus tersemat kemas di sudut fikirannya. Nama seperti orang India... tetapi
seperti orang putih juga. Tidak menyangka sama sekali bahawa Gun bukan beragama Islam. Jika dilihat dari rupa paras, Gun langsung tidak seperti orang asing. Kulitnya yang sawo matang. Tidak terlalu gelap dan tidak juga terlalu putih. Ditambah pula dengan kefasihan Gun berbahasa Melayu, pasti orang tidak menyangka Gun bukan berbangsa Melayu.
Sepanjang perbualan berlangsung di antara dirinya dan pelajar-pelajar lain, dilihat Gun, Kit dan Dini
leka dengan telefon bimbit di tangan. Adakah begini sikap mereka setiap hari? Kenapa pihak sekolah tidak mengambil tindakan? Adakah tiada seorang guru pun yang berani membuat aduan? Untuk apa mereka ke sekolah jika hanya ingin menghabiskan masa dengan telefon bimbit di tangan?
Langsung dia tidak menyangka, geng kongsi gelap itu akhirnya menjadi muridnya juga.
Tekanan bakal bermula!

1 ulasan: