Sabtu, 16 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta-Bab 24

RIZKY meraup rambut panjangnya ke belakang. Tubuh disandarkan tenang ke kerusi malas. Kolam renang di hadapan dipandang sepi. Tiada hati untuk masuk berenang pada hari tersebut. Fikiran asyik memikirkan si dia. Si seksi dan manis bergaya. Hati berbunga-bunga riang. Wajah yang sangat indah di matanya. Seksi, namun langsung tidak nampak menggoda di matanya. Dia si seksi yang sangat manis. Manis dengan gayanya tersendiri. Melihat bibir nipis itu yang tersenyum kepadanya membuatkan dirinya hanyut dalam angan sendiri.
“Senyum seindah suria, akan membawa bahagia. Senyumlah daripada hati, duniamu berseri.”
Rizky membuat muka selamba. Suara yang tiba-tiba kedengaran dari arah belakang langsung tidak dihiraukan. Mendengar suara saja sudah tahu siapa empunya suara. Mendengar bait-bait lagu yang dinyanyikan itu pun sudah tahu, ingin memerli dirinya la tu.
“Bahagia nampaknya? Jarang dapat tengok abang long kita senyum macam tu. Senyum depan kolam renang, sorang-sorang pula tu. Hmmm... something is wrong... Ini memang something is definitely wrong.”
Haaa, kan dah kata. Pantang dia senyum, ada aje yang dengki.
“Tak payah nak something is wrong sangat la. Aku buat senaman mulut pun nak kecoh.”
Rizky mendengar Kit mengambil tempat duduk di sebelahnya. Juga bersandar sambil melunjurkan kaki di atas kerusi malas. Sama-sama menghadap kolam renang.
“Jangan kedekut sangat. I know you. Kau tak pernah nak buat senyum macam tu.”
Rizky ketawa kecil. Kit, memang sahabat sejati. Sehingga isi hatinya juga boleh dibaca.
“Aku jumpa dia,” jawabnya tanpa berpaling ke arah Kit.
“Siapa? Dia? Maya ke.”
Choiii! Kalau jumpa agar-agar tu bukan senyum, itu boleh bikin menggelegak. Geli siot!”
Rizky menggosok-gosok tengkuknya yang terasa meremang. Memang pantang betul dia dengan perempuan bernama Maya itu. Lembik dan asyik nak menempel. Memang patut dipanggil agar-agar.
Kit menahan gelak melihat reaksi Rizky.
“Habis tu. Ce royat...” seloroh Kit sambil bercakap dalam dialek Kelantan. Berbelit juga lidahnya. Memang hancur dialek orang dia kerjakan.
“Aku jumpa dia semula. Si penggoda. Pencuri hati.”
“Biar betul?!”
Senyuman ditahan mendengar nada suara Kit. Walaupun dia tidak memandang Kit, namun dia sudah dapat mengagak riak muka Kit sekarang.
“Kau main-main kan? Mustahil la. Ini Kelantan la. Mustahil la boleh terserempak kat sini pula.”
Kali ini Kit sudah berdiri di hadapannya. Siap dengan pakej muka tak percaya. Tidak puas hati barangkali bersembang tanpa melihat muka Rizky. Bersembang berita hangat pula tu.
“Tak ada yang mustahil. Itu semua kerja Tuhan. Kalau dia kata jadi, maka jadi la. Aku tak main-main la... memang dia yang aku jumpa.”
Rizky membetulkan duduk, menghadap Kit.
“Kau salah orang kut.”
“Tak. Orang lain mungkin. But not her. Setiap inci pasal dia, tengok sebelah mata pun aku kenal.”
Kit menjuihkan bibir. Bukan main lagi Rizky ni. Sebentar kemudian senyuman nakal terukir. Rizky mengerutkan kening. Mengecilkan mata. Faham benar dengan senyuman yang Kit pamerkan itu.
“Dia menggoda macam dulu lagi ke? Maksud aku... kalau kita tengok dia, rasa macam automatik nak follow belakang tak?”
Patutlah Rizky boleh senyum panjang. Jumpa Cikgu Maira mereka rupa-rupanya. Cikgu yang paling hot yang mereka pernah ada. Hanya sebulan, namun banyak kenangannya seperti bertahun-tahun kenal.
“Itu memang tak boleh dinafikan. Malah dia punya magnet tu tambah kuat pula.”
“Wah Riz, kita cakap pasal perempuan. Memang ajaib ni. Dia kenal kau tak?”
“Kenal. Sebab dia panggil aku Gun. Tapi, aku tak adalah menyerah cepat sangat. Aku nak tengok dulu reaksi dia. Sama ada dia memang niat nak tegur aku atau memang semua lelaki dia tegur. Kita buat games sikit.”
Rizky mengukir senyuman penuh makna. Rizky atau Gun. Adalah orang yang sama. Kini dia ialah Rizky Dhan bin Abdullah. Dia kini bukan lagi manusia yang hidup tanpa pegangan agama. Kini dia ialah manusia yang hidup berpegang pada kitab suci al-Quran. Alhamdulillah, sudah hampir dua tahun dia memeluk agama Islam.
“Aku okey aje. Jangan sampai nanti games tu makan diri sendiri. Buat-buat tak kenal, nanti terus angkat kaki say goodbye. Baru melopong kau. Kena ingat, orang macam dia mudah jatuh cinta. Entah-entah dah jadi bini orang. Kau aje yang perasan kononnya orang tu ingat lagi kat kau.”
Kini Kit sudah kembali semula ke arah kerusi yang ditinggalkannya sebentar tadi.
“Anggap aje la tak ada jodoh. Aku percaya, mungkin ada hikmah yang besar kenapa Allah aturkan pertemuan aku dengan dia semula. Di Kelantan, jauh dari tempat kami mula-mula kenal. Aku tak mengharap apa-apa. Apa yang aku tahu, kita kena yakin dengan diri sendiri. Dan aku percaya dengan diri aku.”
“Aku akan doakan yang terbaik untuk kau. Harap-harap lepas ni ada la peluang aku jumpa dengan dia. Rindu kut nak tengok senyuman menggoda Cikgu Maira.”
Kit ketawa kuat dengan kata-katanya sendiri. Ya, mereka semua amat merindukan aksi gedik Cikgu Maira Khaisara.
“Kalau Allah tu dah tentukan yang kita memang akan berjumpa semula dengan dia, di hujung dunia atau penghujung nyawa sekalipun ia tetap akan terjadi.  
Percayalah apa yang sudah dituliskan Allah untuk kita.”
Kit memandang sekilas ke arah Rizky. Setiap kata-kata Rizky sekarang sudah jauh berubah. Nampak lebih berhati-hati dalam berbicara. Nampak lebih matang dalam soal kehidupan.
“Jadi ke nak pergi Langkawi?” soal Rizky sambil menoleh ke arah Kit yang sudah memejamkan mata.
“Jadi. Esok petang. Hantarkan aku pergi airport ya.”
Rizky mengangguk.
“Okey. Tapi sebelum tu, kita pergi jenguk Dini dulu eh? Nanti, lama juga kan kau kat sana?”
“Itulah. Memang cadangnya macam itu la. Sebab banyak perkara nak kena deal dulu. Mungkin makan masa seminggu juga.”
Rizky memandang lama ke arah Kit. Dari kecil mereka bersahabat. Memang sudah dianggap lebih daripada sahabat. Kit layak menjadi seperti saudara kandungnya. Dini... Salah seorang sahabat sejatinya juga. Mereka bertiga sudah seperti belangkas, tidak pernah berpisah. Selalunya perempuan sahaja yang ada sahabat sejati. Boleh berkawan bertahun-tahun. Tetapi tidak bagi mereka bertiga... Namun, kini Dini bukan lagi seperti dahulu. Mengingati Dini membuatkan Rizky melepaskan nafas berat. Sampai bilakah mereka bertiga akan terus bersama-sama ketawa dan menjadi sahabat selamanya?


BUNYI lagu Starlight daripada Muse mengejutkan Maira yang sedang leka membaca majalah Cleo. Dilihat nama ibunya terpampang di skrin telefon bimbit.
“Helo. Assalamualaikum,” jawabnya setelah menekan butang hijau.
“Waalaikumussalam. Ara dekat mana, sayang?” Kedengaran suara Harina di hujung talian.
“Ada dekat rumah aje, ibu. Ibu sihat?”
“Alhamdulillah. Sihat. Bila nak balik sini?”
Maira menepuk dahi sendiri.
“Ibu ni. Tak sampai dua hari pun lagi Ara duduk kat sini. Dah suruh Ara balik pula.”
“Ibu bukan apa, rindu ibu dekat kamu tak sempat pun habis lagi, kamu dah duduk jauh dengan ibu semula. Balik la, Ara... jangan terlalu ikutkan sangat rasa hati tu.”
Maira mengeluh panjang. Ibu... suka sangat buat ayat sedih.
“Nanti Ara balik ya. Jangan risau la ibu, Ara kat sini okey. Ara bukan pergi sebab sesiapa pun. Tapi Ara nak mencari diri Ara yang sebenar. Ara janji, nanti Ara balik. Dan Ara takkan jauh-jauh lagi dengan ibu. Hari-hari ibu akan tengok muka anak ibu yang sangat cun ni.”
“Ibu sunyilah. Bertiga aje hari-hari dalam rumah ni. Kalau siang, Ana pergi sekolah. Tinggal ibu berdua dengan ayah kamu aje.”
“Haaa, okeylah tu. Ibu belek la muka suami kesayangan ibu tu. Dapat dating berdua, kan best tu.”
“Hisy, buat apa? Dah jemu.”
Maira ketawa mendengar balasan Harina. Mulut sahaja cakap jemu.
“Bagi Ara masa ya. Lagipun Ara tak sempat lagi nak jalankan misi jelajah Kelantan. Nak rehat dan enjoy sampai muntah. Baru Ara terjah KL.”
“Ada-ada aje budak ni tau. Hmmm. Ara...”
“Ya ibu.”
“Kamu betul ni dah okey? Ibu risau kalau tak nampak kamu ada depan mata lepas apa yang dah jadi.”
“Apa yang dah jadi, ibu?” soal Maira berpura-pura tidak tahu. Kalau boleh kisahnya dengan Fatah di mahu kuburkan. Fatah juga pasti sudah bahagia.
“Eh, budak ni. Boleh pula dia tanya kita macam tak ada apa yang berlaku. Kamu dah lupa ingatan ke?” marah Harina di hujung talian.
Hmmm. Tak la, ibu. Cuma, tu kisah lama. Hidup perlu diteruskan. Apa pun kisah mengenai Fatah, anggap aje ingatan Ara dah hilang. Sekarang masanya untuk mengejar my real mister handsome.”
“Alhamdulillah. Lega hati ibu ni dengar kamu cakap macam tu. Tahu, anak ibu ni bijak. Setakat seorang lelaki, tak mengganggu pun kehidupan anak ibu yang cun ni.”

Tersenyum bahagia Maira mendengar kelegaan Harina. Sekarang, hati ibunya lagi penting daripada dia asyik memikirkan soal manusia yang tidak penting. Manusia yang hanya berniat mahu mempermainkan hidupnya.

2 ulasan:

  1. KaK Ilah I lup you 123...omo sesangae...Jinja daebak...Kak Ilah awesome sangt2..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Lup2 you la dik oi. Hehee tp bhasa korea tu akk xphm. Waahh cptnya dh sampai bab ni... ngee

      Padam