Sabtu, 16 Ogos 2014

Pencuri hati Vs Penembak Cinta-Bab 23


MAIRA dan Hayati hanya saling berpandangan apabila Sabrina membelokkan kereta ke arah sebuah resort. Apa yang menarik kat sini?
“Kita buat apa kat sini? Ini tempat orang nak honeymoon,” soal Hayati tidak sabar sebaik sahaja Sabrina memberhentikan kereta di petak parkir.
“Ikut aje la. Ingat resort hanya tempat honeymoon aje ke? Banyak juga lagi benda lain boleh buat la.”
Sabrina terus melangkah selamba meninggalkan Maira dan Hayati yang masih liat mahu meneruskan langkah. Sambil membawa dua kaki payung bersama. Nak pergi berkelah agaknya.
“Tak ikut rugi...” jerit Sabrina yang sudah jauh melangkah ke hadapan. Saling berpandang Maira dan Hayati sebelum terkedek-kedek mengejar langkah Sabrina.
“Okey kita dah sampai...”
Sabrina melabuhkan punggung di atas salah sebuah kerusi. Maira memerhatikan sekeliling. Di hadapannya terdapat sebuah kolam renang. Dikelilingi tempat duduk.
“Kita buat apa kat sini...” soal Hayati juga turut mempamerkan riak muka hairan.
“Duduk aje la cepat. Sekejap lagi orang dah ramai,” arah Sabrina tanpa menjawab pertanyaan yang diajukan Hayati.
Maira mengambil tempat duduk di hujung sekali. Sebelum Hayati turut mengambil tempat di sebelahnya.
“Panas la... You nak suruh I hitam legam ke kat sini?” omel Hayati.
“Panas buka payung tu. Sekejap lagi... tak perlu panas terik pun you all akan rentung.”
“Rentung kenapa pula?” Semakin hairan Maira. Kalau duduk di situ semata-mata nak merentungkan diri, lebih baik tak payah.
Girls, just shut up!”
Terdiam Maira dan Hayati apabila Sabrina sudah membuat isyarat menzipkan mulut. Payung yang berada di kaki Sabrina diambil oleh Hayati. Maira hanya mendiamkan diri. Tempat duduk yang kosong kini sudah semakin dipenuhi orang ramai. Dan separuh daripadannya ialah kaum wanita.
Pewiiittt...”
Arghhh.”
Jeritan dan sorakan yang tiba-tiba datang daripada penonton menarik perhatian Maira. Maira tertoleh-toleh ingin melihat apa yang begitu mengujakan sehingga hampir kesemua perempuan, gadis, wanita dan mak cik-mak cik tersebut hampir histeria. Lelaki pula hanya bersorak sambil menepuk tangan. Tidaklah terjerit terlolong.
Goshhh...” desisnya apabila sudah tenampak apa yang dipekikkan oleh mereka semua.
Sekumpulan lelaki-lelaki berbadan tegap yang sedang melangkah masuk ke arah kolam renang. Ada yang  melambai dan tersenyum. Ada pula yang hanya mempamerkan muka tidak berperasaan. Berlagak macho. Berpakaian renang. Seksi dan macho sekali. Pemandangan yang begitu indah. Opsss... menggedik lagi... Kihkih.
“Sukan polo air ke?” Suara Hayati membuatkan Maira berpaling ke arah Sabrina.
Ops, sorry.” Kedengaran suara seseorang apabila telah melanggar lutut Maira yang sedikit keluar dari tempat duduk. Maira menggosok sedikit lututnya yang terasa sengal.
“Tak apa. Saya yang salah sebab...”
Mulut yang ingin dibuka untuk meneruskan kata-kata semakin ternganga. Keras, tak mampu untuk menuturkan ayat yang tergantung. Terasa rambutnya berdiri tegak. Kali ini memang dia rentung. Hangit seperti terkena kejutan elektrik. Makhluk yang berada di hadapannya begitu mengujakan hatinya. Melonjak, menggedik dan memggelupur.
“Maaf.”
Hanya sepatah perkataan. Memberi senyuman ala kadar sebelum melangkah menuruti pemain lain yang mula mendengar arahan pengadil. Maira kejung. Sudah rasa nak koma. Bukan sebab lelaki tersebut kacak. Bukan sebab senyuman lelaki tersebut menggoda. Bukan sebab badan lelaki tersebut yang tegap bergaya. Tetapi sebab lelaki tersebut mirip seseorang. Seseorang yang sering membuatkan hatinya dilanda perang teluk. Hanya dia... hanya dia yang mampu menggoncangkan hatinya sehingga bergegar dasyat. Dia... Keith Rajh Dhan.
Hoihhh. Tutup la mulut tu. Ini ke habit orang yang baru lepas frust? Tengok lelaki macam nak terkam.”
Hayati menyinggung lengannya. Kalut Maira membuka payung. Membetulkan duduk agar lebih selesa.
Maira menarik Gucci hitam miliknya dari dalam beg. Sengaja melindungi mata. Supaya tidak terkantoi yang dia sedang leka memerhatikan seseorang. Seseorang yang memakai cap bernombor enam. Yang paling gagah dan tampan sekali di matanya.
Si dia yang wajahnya terlalu mirip Gun. Melihat gayanya yang lincah di dalam air membuatkan Maira semakin yakin lelaki tersebut ialah Gun. Cuma yang membezakan, Gun dahulu berambut pendek. Hanya bahagian depan yang panjang sesekali menutup mata. Gun pada kali ini sudah berambut panjang separas bahu. Gun yang dahulu berkulit cerah, namun Gun pada kali ini berkulit sawo matang. Coklat pekat. Gun yang dahulu tidak mempunyai sebarang janggut atau misai. Tetapi Gun pada kali ini mempunyai janggut sejemput di bahagian dagu. Seksi. Nampak begitu maskulin.
Setiap kali dia mengambil, berenang dan melontarkan bola, terserlah urat-urat tegap di bahagian legannya. Setiap kali dia berjaya melontarkan bola masuk ke dalam jaring gol, setiap kali itu juga gadis-gadis akan menjerit, melolong, melaung dan menyoraknya.
Tiba-tiba pandangan Gun bertembung dengan pandangannya. Nafas terasa terhenti. Jantung melantun-lantun menendang dada. Cepat Maira merendahkan payung yang dipegangnya. Menghalang pandangan mereka dari bertemu lama. Ya Allah, sejak bila dia menjadi terlalu pemalu ini? Pertama kali berhadapan dengan lelaki handsome, dia menyorokkan muka. Selalunya, dialah yang paling tak tahu malu.
“Hebatnya pemain yang nombor enam tu. Dia memonopoli permainan.”
You are right, Yat. Dia salah seorang pemain yang menjadi top dalam favourite list. Memang dia nampak begitu hebat dan pantas. Tapi sayang... dia tak begitu mesra alam. Jadi, sesiapa yang minat kat dia pun frust, nak dekat punya payah.”
“Permainan ni memang selalu ada ke?” soal Hayati semakin berminat. Maira pula hanya memasang telinga. Hanya mata yang asyik mencuri pandang ke arah lelaki tersebut.
“Yang ini pertandingan antara daerah. You all bernasib baik sebab datang time pertandingan ni berlangsung. Memang rezeki you all la nak membersihkan mata.”
Really? Kalau macam tu boleh la kita datang sini lagi nanti kan? Ara, amacam mata you. Terang tak?”
Hayati mematikan senyuman yang sedari tadi lebar. Maira diam tidak memberikan respons. Tidur ke apa ni? Takkan la tengah panas macam ni pun boleh tidur.
Hayati memandang ke arah Sabrina. Menjongketkan kening. Sabrina hanya mengangkat bahu.
“Weh! You berdengkur ke?!”
Payung yang menyembunyikan wajah Maira diangkat oleh Hayati. Maira tergamam. Terkejut disergah sedemikian. Dia sedang leka memerhatikan dan mengenalpasti suspek di hadapannya. Tiba-tiba disergah, mahu tidak terkejut.
What?” soal Maira geram. Mengganggu sahaja.
“Yang you sampai berselubung dengan payung ni kenapa? Bukannya panas sangat pun. Tak perlu la nak over sangat.”
“Hisy, bising la. Hah, apa hal? Kacau aje I tengah ambil mood.”
“Ambil mood apa pula? Tak perlu mood bagai. Tu haaa... depan mata tu. Itu pun dah boleh naikkan mood. Buka aje mata tu besar-besar.”
Payung di tangannya diberikan kepada Sabrina. Manakala payung milik Maira diambil alih oleh Hayati. Wajah yang konon-kononnya mahu disorok sebentar tadi kini sudah bebas dari sebarang perisai. Maira membetulkan kedudukan cermin mata hitam di wajahnya.
“I tengah tengok la ni. I tengah target suspek. You kacau aje, sikit lagi tadi I dah nak dapat tangkap.”
“Amboi Ara kita ni. Sekarang dah pandai intip suspek senyap-senyap ya. Kalau dulu, you terjah terus. Patutlah pakai perisai bagai. Tapi tak perlu perisai la... dia orang tengah main tu. Tak sempatnya nak pandang kita ni. You tutup-tutup macam tu nanti tersalah suspek pula. Tak pasal aje you terintip pak pengadil gigi buncit tu...”
Sabrina ketawa kecil sambil memuncungkan mulut ke arah pengadil yang berdiri di tepi kolam. Maira mengecilkan mata. Tolonglah, takkan la sampai dia nak tersalah suspek pula? Dia masih boleh bezakan antara buncit dan six pack!
No way, okay. Mata I ni alah pada buncit-buncit semua tu. Memang dia hanya akan fokus pada yang gagah perkasa aje. Mata I ni bijak sama macam tuan dia tau...”
Hooo...”
Sorakan menonton menarik perhatian mereka. Dilihat masing-masing bersorak keriangan.
“Hisss! You la ni. Tak pasal aje I dah terlepas peluang tengok abang handsome tu jaringkan gol.”
Maira hanya menarik muka mendengar amarah Sabrina. Alah... setakat satu gol. Gol tu tak penting, yang penting siapa yang menjaringkan gol tersebut.
“Rin,” panggil Maira sambil mendekatkan badannya ke arah Hayati. Hayati menyandarkan sedikit tubuhnya ke belakang, memberi peluang Maira berbicara dengan lebih dekat dengan Sabrina.
Yup.” Hanya mulut yang menjawab. Namun mata masih tidak beralih arah dari kolam renang.
“You kenal ke semua pemain grup merah tu?”
Nope. Hanya sesetengah aje.”
“Kenapa, ada yang you berminat ke?” soal Hayati pula kepada Maira.
“Tak adalah. Saja tanya.” Maira kembali menyandar ke tempat duduknya.
Pandangan difokuskan kembali ke arah si dia. Nampak semakin pantas, dengan mudah dia dapat merampas dan mengambil bola. Tidak langsung menunjukkan tanda-tanda sudah kehilangan tenaga walaupun permainan hampir ke masa penamat.
“Rin...” panggil Maira untuk kesekian kalinya.
Yes darling...” jawap Sabrina acuh tidak acuh. Geram barangkali diganggu sedang menonton perlawanan.
“Yang pakai nombor enam tu. Nampak tak?”
Sabrina memandang ke arahnya sekilas sebelum kembali memandang ke hadapan. Mata difokuskan ke arah pemain yang memakai topi bernombor enam.
“Grup yang mana?” Hayati juga ingin menyibuk.
“Merah tu.”
“Haruslah nampak. Kapten grup tu.”
Bersinar mata Maira mendengar jawapan Sabrina. Kapten? Kalau kapten mestilah semua orang kenal. Mungkin Sabrina dan Hayati juga masih dapat mengingati wajah Gun.
So you kenal la dia?”
“Kenal la. Dia kapten pasukan.”
Jawapan Sabrina mengecewakan Maira. Nampaknya hanya dia sahaja yang dapat melihat persamaan anatara Gun dan lelaki berkenaan. Ataupun mungkin juga hanya mata dia sahaja yang asyik ternampak Gun.
“Maksud I, selain daripada kapten pasukan. Apa lagi yang you tahu mengenai dia? Nama dia ke...”
Emmm... Sorry Ara. Yang nombor enam tu maklumat dia susah sikit nak korek. Dia low profile. Jangankan nama, nak dekat dengan dia pun susah. Baru you buka langkah, dia dah berdesup.”
“Haiii... Nampaknya suspek sudah dapat dikesan...”
Hayati menaik-naikkan keningnya mengerling ke arah Maira. Mengukir senyuman miang.
Euwww!!! Tak mudah Cik Ara kita ni. Nak grab kapten pasukan. Yang paling hot...”
Giliran Sabrina pula yang mengukirkan senyuman penuh bermakna ke arahnya. Maira mencebikkan bibir. Rambut yang sedari tadi dilepaskan diikat tinggi. Rimas dan membuatkan lehernya berpeluh.
Well, you know me...” Penuh lagak Maira membalas.
Akhirnya pertandingan yang langsung tidak difahami Maira berakhir juga. Macam mana dia nak faham kalau mata asyik memerhatikan si dia, manakala fikiran pula asyik memikirkan siapa si dia...
“I nak pergi toilet sekejap. You all pergi tunggu kat kereta dulu ek.”
“I nak ikut.”
Hayati mengejar langkah panjang Sabrina yang sudah menghala ke arah tandas berhampiran.
Maira menoleh ke arah si dia yang sudah duduk berpegang di birai kolam. Sebelah tangan naik mencabut topi di kepala. Menyerlahkan rambut panjangnya. Menyelam dua, tiga kali sebelum melompat naik ke atas. Saling berbalas ucapan dengan teman-temannya sambil membalutkan tubuh dengan tuala yang disediakan. Sesekali tangan itu naik mengirai-ngiraikan rambutnya dengan menggunakan jari. Sudah seperti model pula. Seksi dan membuatkan hatinya menggelupur gediks.
Maira mengetap bibir, menahan rasa ingin tahu yang semakin menggila. Ikutkan hati, mahu sahaja dia pergi duduk berdepan dan membelek wajah tersebut.
Maira akhirnya duduk bersandar di tiang berhampiran dengan kawasan kereta Sabrina diparkir. Jam ditangan ditelek, sudah hampir pukul 12.00 tengah hari. Perutnya juga sudah bekeroncong lagu dangdut. Kelaparan. Pagi tadi, dia hanya makan sekeping roti canai sahaja. Itu pun setelah dipaksa oleh dua orang mak tirinya.
Bro, cayalah. Tahniah. Tak sangka, skil makin hebat.”
Suara seseorang membuatkan Maira menoleh pandang ke arah pintu resort. Kelihatan si dia dan seorang lelaki sedang saling berbalas pelukan kecil. Si dia kelihatan segak mengenakan jean biru gelap dan T-shirt berlengan panjang. Rambutnya yang panjang hanya dilepaskan. Tidak tahu kenapa, Maira merasakan hatinya dilanda rasa debar yang sukar dikawal. Melihat si dia, hatinya tidak boleh duduk diam.
Thanks bro. Alah, skil biasa-biasa aje. Tak adalah sehebat kau.”
Maira terpempan. Mendengar suara itu ibarat mendengar berita gembira. Suara itu memang milik Gun. Dia yakin, lelaki tersebut ialah Gun. Mungkin matanya boleh silap melihat, tetapi dia yakin hatinya tidak salah menilai.
Hati menjerit kegembiraan. Terasa seperti mimpi, akhirnya dia boleh berjumpa dengan Gun. Di Kelantan, jauh dari Kuala Lumpur, tempat perkenalan awal mereka. Memang sesuatu yang langsung tidak dijangkanya.
“Apa-apa pun, aku memang tak boleh lawan tenaga kau la. Tu aku surrender. Aku bukan baka harimau bintang macam kau.”
Lelaki tersebut hanya ketawa kecil. Menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi. Membetulkan beg yang disandang di bahu kanan.
“Okey, bro. Aku pergi dululah. Jumpa lagi next time.
“Okey. See you soon.
Tangan saling bersalaman sebelum masing-masing melangkah ke arah bertentangan. Si dia mengatur langkah menuju ke arah Maira. Maira mengukir senyuman lebar. Senyuman yang dirasakannya paling manis pernah dia ukirkan selepas ditinggalkan Fatah.
“Gun,” panggilnya apabila lelaki tersebut semakin menghampiri. Dia yakin, kali ini dia tidak salah. Dia yakin, itu ialah Gun. Dan dia pasti, Gun pasti akan mengenali dirinya.
“Gun!” jeritnya dengan lebih kuat apabila dilihat lelaki tersebut hanya selamba melangkah tanpa menoleh ke arahnya.
Lelaki tersebut menghentikan langkah. Memandangnya dengan seribu kerutan di dahi. Menoleh ke sekeliling sebelum kembali memandang ke arahnya. Wajah yang nampak begitu maskulin itu langsung sepi tanpa sebarang senyuman. Melihat kerutan di dahi lelaki tersebut, Maira yakin si dia tidak mengenalinya. Senyuman mati. Hati memberat dengan rasa kecewa yang bertimpa-timpa. Si dia bukan Gun. Si dia langsung tidak mengenali dirinya.
Apabila lelaki tersebut melewatinya, kepala ditundukkan. Tangan naik mencengkam hujung baju. Mengetap bibir menahan sebak yang datang menyesakkan dada.
Kenapa dia terlalu berharap lelaki tersebut ialah Gun? Kenapa dia terlalu berharap Gun akan muncul di dalam hidupnya? Kenapa harus Gun? Mata melirik ke arah si dia yang sudah semakin menjauh. Melangkah tanpa langsung berpaling untuk kali kedua ke arahnya.
“Jom. Sorry. Minah ni buang air macam mandi susu. Lama nak mampus.”

Sabrina tiba-tiba muncul sambil menyauk tangannya. Maira yang masih tidak mampu untuk mencerna apa yang terjadi, hanya mengikut langkah Sabrina. Terkedek-kedek dirinya menampung tubuh dengan kasut tumit tinggi empat incinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan