Sabtu, 16 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta-Bab 18


KETUKAN di pintu bilik mematikan niat Maira yang baru ingin melangkah ke dalam bilik air. Terjengul wajah Fina yang tersengih lebar apabila pintu dibuka.
“Huh, nak apa?” soal Maira geram.
“Ada barang untuk kakak kat bawah.”
“Barang apa?”
“Tak tahu. Cepatlah turun.” Fina menjongketkan bahu seraya berlalu ke tingkat bawah.
Maira yang kehairanan hanya mengikut langkah Fina. Memang nak kena betul budak ni. Dia tak habis cakap lagi, dah pergi!
“Cik Maira Khaisara binti Alimuddin?”
“Ya, saya Maira Khaisara,” jawab Maira sebaik saja mendengar soalan yang ditanya oleh seorang lelaki yang berbadan agak besar di hadapannya. Gaya macam penghantar barang aje.
“Minta sain kat sini, cik...”
Maira hanya menurut. Setelah menurunkan tanda tangan, dilihat lelaki tadi bergerak ke arah sebuah van yang sudah diparkir di halaman rumah. Lelaki itu mengarahkan beberapa orang lelaki untuk menurunkan barang.
Maira semakin kehairanan. Rasanya dia tidak ada membeli apa-apa barang.
“Nak letak mana ni, cik?” soal lelaki tersebut. Sebuah bungkusan berbalut kotak didirikan di hadapannya.
“Apa ni? Siapa yang bagi?” soal Maira hairan.
“Maaf, cik. Saya hanya penghantar barang aje.”
“Tak apalah. Letak saja kat situ.”
Lelaki tadi hanya mengangguk. Memberi arahan kepada tiga lagi lelaki yang bersama-sama mengangkat kotak tersebut agar meletakkannya di tepi tangga.
“Ni untuk cik juga. Saya balik dulu.”
“Terima kasih,” ucap Maira dengan riak serba salah. Sampul surat berwarna merah hati yang dihulurkan oleh lelaki itu disambut. Pintu ditutup apabila van tersebut sudah bergerak meninggalkan pekarangan rumah.
“Wah, the great gift. Menang cabutan bertuah ke anak ayah ni?” soal Alimuddin yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati. Harina dan Fina juga sudah tercegat di hadapan kotak setinggi dirinya itu.
“Entahlah, ayah. Tak ada pula Ara daftar masuk apa-apa contest.”
Ini betul-betul pelik.
“Bukalah kakak,” gesa Fina tak sabar.
“Haah, Ara. Bukalah. Ibu pun nak tahu juga,” sokong Puan Harina.
“Takutlah. Entah-entah bom.”
“Hisy! Mengarut. Kalau hantar bom, dia tak guna la pos berdaftar macam ni. Cepat buka.”
Maira terdiam sejenak mendengar kata-kata ayahnya. Akhirnya dia mengikut juga cadangan semua orang. Masing-masing sudah nampak begitu teruja. Ketiga-tiga mereka berhempas pulas bersama dengannya membuka kotak dan setiap helaian kertas yang membalut hadiah berkenaan.
Wowww...”
Fina sudah terjerit tidak percaya. Alimuddin dan Harina pula sudah tergamam sebaik saja melihat hadiah yang sudah berjaya mereka buka balutan sepenuhnya. Berdiri. Tersergam indah di hadapan mereka.
Maira pula? Rasa macam nak pengsan sekarang ni juga. Apa yang ada di depan mata umpama mimpi indah. Sangat indah sehingga tidak mampu berkata-kata.
Langkah diatur beberapa langkah ke belakang. Supaya benda yang berada di hadapan mata dapat dilihat dengan lebih jelas. Sebuah patung yang diperbuat daripada kaca. Patung seorang lelaki dan perempuan. Seorang lelaki memegang pinggang seorang perempuan dan menundukkan sedikit wajah ke arah perempuan yang menjatuhkan badan ke belakang. Sebelah tangan perempuan itu memaut leher lelaki berkenaan. Manakala tangan kiri mereka bertaut erat. Patung itu diukir cantik dengan lelaki memakai sut tuksedo manakala perempuan berkenaan memakai skirt pendek dan berjaket lengan panjang. Sehelai kain baldu merah hati melilit kemas di antara kedua-dua leher mereka. Seolah-olah tidak boleh dipisahkan.
“Cantiknya kakak...”
Maira kembali melangkah perlahan ke depan. Tangan naik menyentuh wajah lelaki berkenaan. Melihat patung itu, dia sudah yakin siapa yang mengirimnya.
Sweetnya Abang Fatah. Romantik gila. Hadiah yang sangat awesome sebelum kakak berangkat esok.”
“Beruntung kamu dapat Fatah tu, Ara. Sayang betul dia dengan kamu. Sehingga sanggup buat semua ni.” Harina pula menambah.
Maira hanya tersenyum kelat. Tidak tahu apa yang patut dia katakan. Rasa terkejut masih belum hilang.
“Ara nak naik dulu. Nak siap. Sekejap lagi nak keluar. Errr... nanti ayah tolong suruh sesiapa bawa masuk bilik Ara ya.” Pantas kaki diatur ke tingkat atas.
Masuk sahaja ke dalam bilik, pintu ditutup rapat. Kaki melangkah longlai ke arah katil sebelum membaringkan diri di atas tilam. Tangan naik menyentuh dada yang berentak tidak sekata. Kad yang masih berada di tangan dibuka dengan pelbagai perasaan ingin tahu.

Pencuri Hati Pasti Akan Merindui Pencuri Nyawa.
Your real,
Mister handsome.

“Keith Rajh Dhan.” Sebaris nama itu meniti di bibirnya.
Sudah dia agak. Memang Gun la yang mengirimkan hadiah berkenaan. Melihat ukiran patung itu, dia tahu itu ialah aksi ketika dia dan Gun menari bersama tempoh hari.
“Awak memang gila, Gun. Dari jauh pun awak mampu tembak hati saya. Nyaris saya tak mati tadi... The real mister handsome,” omel Maira sendiri.
Bantal diambil dan menutup wajahnya. Seketika dia diam tidak bereaksi. Cuba mengambil masa untuk bertenang.
Setelah jantungnya kembali normal, Maira bangkit dan duduk bersila di atas katil. Kad di tangan sekali lagi dibaca. Kepala digelengkan berserta dengan ketawa geli hati. Tak sangka itu hadiah yang Gun berikan untuk dia. Memang betul-betul kejutan luar biasa. Gun tiada di hadapan mata pun masih mampu menyesakkan nafasnya.
Tidak sangka, orang yang pada awalnya begitu menjengkelkan akhirnya menjadi orang yang sering membuatkannya berasa sangat istimewa.
“Masuk...” arahnya apabila pintu bilik tiba-tiba diketuk dari luar. Muncul wajah Alimuddin yang tersenyum memandang ke arahnya.
“Tak siap lagi? Kata nak keluar dengan Fatah. Hari ni aje last date, esok pagi-pagi dah nak berangkat,” kata Alimuddin seraya duduk di sebelah Maira.
“Belum. Sekejap lagi. Nak rehat dulu.”
“Rehat untuk tenangkan hati yang tengah berperang hebat itu ya?”
“Maksud ayah?” soal Maira pelik mendengar ayat yang dituturkan Alimuddin.
Alimuddin memandang ke arahnya dengan senyuman. Bahu Maira ditepuk lembut beberapa kali.
“Ayah tahu, bukan Fatah yang bagi patung tu.”
“Ayah tahu?” Maira memandang sekilas ke arah Alimuddin sebelum menundukkan wajah. Rasa bersalah. Apa pula kata ayahnya nanti? Curang dengan tunang sendiri. Curang? Macam tak sesuai aje.
“Ara kan anak ayah, mestilah ayah tahu. And don’t forget, I know who Gun is. Pertama kali tengok hadiah itu pun ayah dah tahu. Dan ayah makin yakin bila tengok reaksi Ara lepas hadiah itu dibuka.”
“Hah? Tak faham...”
“Patung tu diukir dengan gaya tarian yang kamu berdua lakukan masa pertandingan itu. Dan... kalau betul Fatah yang bagi, mesti kamu dah melompat suka. Terus telefon Fatah nak menggedik...”
Maira tertunduk malu. Benar, memang itulah reaksinya sekiranya Fatah yang memberikannya hadiah.
“Kamu memang dah tahu dari awal ya patung itu Gun yang bagi?”
Maira hanya menganggukkan kepala. Masih tidak berani mengangkat wajah.
“Kamu ada apa-apa ke dengan Gun? Emmm maksud ayah, something special. Bukan hanya antara studen dan guru.”
“Tak ada. Gun hanya anggap Ara guru dia.”
“Ara pula?”
“Ara hanya anggap dia kawan biasa...”
“Tak ada murid yang peka dengan kehidupan gurunya sehingga begitu sekali. Patung itu menceritakan segalanya. Dia tahu segalanya mengenai kamu. Ini siapa yang tergoda dengan siapa pula?”
“Ayah. Betul, Ara memang tak ada apa-apa dengan dia. Mungkin itu hanyalah hadiah dia sebagai tanda terima kasih. Ayah jangan risau ya.”  
Kali ini tangan Alimuddin dicapai. Dengan ayahnya, sukar untuk dia berahsia.
“Kamu sayang Fatah?”
“Sayang! Dia lelaki paling penting dalam hati Ara,” jawab Maira yakin. Memang Fatah masih kekal menjadi orang yang paling dia sayang. Tidak pernah dia terfikir ingin menduakan lelaki itu.
“Amboi... habis tu, ayah ni tak penting ke...”
“Ayah mestilah penting juga.” Ketawa Maira melihat muka ayahnya seolah-olah ingin merajuk.
“Dah. Pergilah siap. Nanti kesian pula Fatah tunggu lama.”
“Okey...” Maira bergegas ke bilik air setelah Alimuddin berlalu keluar dari bilik.


SENYUMAN diukir semanis mungkin apabila melihat Fatah yang sudah duduk menunggunya di atas sofa. Sabar betul Fatah melayan kerenahnya. Namun senyumannya mati apabila melihat mata Fatah yang sedang memandang tepat patung kaca hadiah daripada Gun sebentar tadi.
Darling. Jom, maaf I lambat.” Maira segera menarik lengan Fatah bangun.
“Siapa punya tu? Cantik.”
Errr...”
“Hah turun pun dah kamu. Bersiap bukan main lama. Kesian Fatah tunggu dari tadi. Sudahlah bagi hadiah cantik macam ni, kamu boleh pula buat Fatah tercongok seorang.”
Belum sempat Maira menuturkan ayat menyelamatkan keadaan, ibunya yang baru keluar dari dapur terlebih dahulu memotong kata-katanya.
“Hadiah? Patung ni saya yang bagi? Tak adalah, aunty. Fatah tak ada hantar apa-apa pun.”
“Habis tu... siapa yang bagi?” soal Harina hairan.
Fatah hanya menjongketkan bahu. Kemudian kedua-duanya memandang ke arah Maira yang hanya diam membatu. Fatah menjongketkan kening sebagai tanda meminta penjelasan.
“La, tak pergi lagi ke? Cepatlah. Cepat pergi, cepat boleh balik. Kamu tu nak berangkat esok dah. Malam ni kena rehat awal. Buat final check apa yang patut. Esok tak adalah tertinggal apa-apa.” Alimuddin muncul dari tingkat atas. Mengerti maksud pandangan mata ayahnya, Maira segera menarik lengan Fatah.
“Jom la, sayang.”
Fatah hanya menurut. Persoalan yang masih belum dijawab dibiarkan tergantung. Apa yang penting sekarang, masa yang ada harus digunakan sebaik mungkin.

Maira pula sudah menarik nafas kelegaan. Mujur juga ayahnya datang menyelamatkan keadaan. Jika tidak, pasti Fatah akan merajuk besar. Tidak sanggup rasanya dia hendak pergi meninggalkan lelaki itu dalam keadaan merajuk. Pasti tidak tenang hidupnya sepanjang berada di sana. Baginya, Fatah tetap segala-galanya. Gun hanyalah sesuatu yang belum pasti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan