Sabtu, 16 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta

Bab 13

“WAH... Bukan main bersemangat lagi ayah tengok anak ayah hari ini. Awal daripada ayah...”
Alimuddin melabuhkan punggung di kerusi meja makan bertentangan Maira. Maira mengukir senyuman lebar. Haruslah semangat. Hari ini merupakan hari yang dinanti-nantikan. Tak sabarnya... Eh? Tak sabar nak bercekerama dengan Gun lagi ke... Hihi...
“Mestilah!!! Hari ini Ara akan buktikan yang anak ayah ni boleh menang dalam pertandingan tu. Kelas Ara memang superb la... persembahan kita orang akan lain daripada yang lain tau. Lebih-lebih lagi bila guru kelasnya yang cantik meletopsss ni pun turut terlibat. Haruslah gempak... Mesti semua pengadil akan terpaku dan terpukau.” Begitu bersemangat Maira bercerita.
“Ara pun join juga pertandingan ni ke?”
Of course, my lovely father!!! Ara akan menari dalam salah satu tarian nanti. Mesti glamor punyalah. Ayah tengok tau nanti... Peluang keemasan... rugi kalau tak tengok.”
Maira menolak pinggan yang masih bersisa nasi goreng ke tepi. Tak boleh makan banyak... nanti semput.
“Apa yang emas-emas ni, Ara... Bukan main semangat lagi ibu tengok kamu,” tegur Harina yang baru menuruni tangga. Anggun berjubah moden warna biru dipadankan dengan tudung warna senada.
“Kalau ibu nak tahu, tunggulah... Ibu pun pergi sekolah tengok hari kebudayaan hari ni, kan?” soal Maira ingin tahu. Padahal jika melihat dari segi ibunya berpakaian sahaja dia sudah tahu ibunya mahu keluar. Dia memang sedia maklum yang ibunya pasti akan turut serta jika ada sebarang acara di sekolah. Isteri pemilik Hamuddin Bistari, haruslah tunjuk muka.
“Pergi. Kalau tak, kenapa pula ibu nak bertudung, berminyak wangi pagi-pagi ni? Dah tahu, sengaja nak tanya lagi. Kamu jemput Fatah tak?”
Errr, jemput. Tapi dia ada kena jumpa klien pagi ni... Kalau sempat dia pergilah. Ibu, Ara pergi dulu la... Jumpa kat sana ya.”
“Pantang ibu kalau ibu nak bagi nasihat, cepat aje nak angkat kaki. Tak macam adik kamu tu, degil-degil dia pun, kalau ibu cakap apa-apa, dia angguk dan dengar sampai habis. Yalah, kamu dah besar kan... manalah nak dengar lagi orang tua ni bercakap...”
Maira menayang sengih. Alaaa... macam bunyi orang nak merajuk aje.
“Ibu, kita ni jadi perempuan jangan cepat nak merajuk... jangan cepat nak melenting. No, no... tanam sifat, anak menjadi keutamaan... haaa, baru sejuk perut ibu mengandung...”
“Eh, budak ni! Memang nak kena. Kita nasihatkan dia, boleh pula dia kenakan kita balik.”
Alolo... Ibuku sayang... Tak mau la merajuk-merajuk. Ara memang nak cepat ni. Nanti balik, ibu sambung ceramah lagi ya.” Maira melembutkan suara.
“Pandailah kamu nak menggoda. Ha yalah, elok-elok bawa kereta tu.”
Tangan Alimuddin disalam. Maira mencium kedua-dua belah pipi Harina sebelum melangkah keluar dari rumah.
Setelah setengah jam perjalanan dan menempuh sedikit kesesakan lalu lintas, akhirnya Maira tiba di kelasnya. Kelihatan kesemua pelajarnya sudah siap berpakaian mengikut tema tarian masing-masing. Wah!!! Maju. Cepat betul mereka bertindak. Nampaknya masing-masing kelihatan begitu bersemangat.
Morning class...”
Morning, cikgu!!!” jawab mereka serentak. Mungkin baru sahaja menyedari kehadirannya. Yalah... masing-masing sedang sibuk bersiap.
“Wah, Kit... you look so handsome with that baju Melayu. Red... warna yang begitu berani,” puji Maira apabila melihat Kit yang sedang sibuk membetulkan samping.
Kit hanya tersenyum malu dan mengucapkan terima kasih. Ikhlas daripada hatinya, dia memang mengaku yang Kit memang nampak begitu gagah di matanya. Seperti pahlawan Melayu terakhir. Pasti junior-junior perempuan akan menjerit melolong apabila melihat Kit.
“You too... Sekali tengok dah macam Won Bin. Pelakon Korea tu, so hot... Pandai kamu menggayakan pakaian. Bagus, cikgu suka semangat kamu.”
Kali ini matanya melekat pula ke arah Dini. Ringan sahaja mulutnya memberi pujian. Dini akan menari tarian K-pop. Jadi memang sesuailah dia berpakaian seperti itu. Nampak begitu menarik di mata perempuan sepertinya. Dilihat Gun sedang enak bersantai dan bersandar di kerusi sambil mengunyah kacang.
“Gun, awak tak siap lagi ke?”
“Aku punya Rani Mukerji tak siap lagi, macam mana aku nak siap? Nanti dibuatnya dia lari atau tak datang, takkanlah aku nak berpusing atas pentas tu syok sendiri.”
Gun!!! Memang tak pernah serius. Kalau bercakap, tak selit rasa sakit hati dekat orang lain memang tak boleh agaknya.
“Mana baju saya?” soal Maira, malas mahu memanjangkan perbualan. Kalau lama-lama bercakap dengan Gun ini, hanya ada dua kemungkinan. Pertama, hancur ditembak pandangan mata yang memukau. Atau hancur ditembak ayat panas bernaga Gun.
“Dalam beg tu. Pergilah tukar. Ada dua helai, pilih la mana satu. Baju Fetty, aku pinjam.”
“Padan ke? Fetty lagi tinggi daripada saya.”
Memang Fetty berbadan kecil. Namun gadis itu tinggi lampai. Dia pula, hanya cukup-cukup inci sahaja.
“Padan... Biarlah labuh pun. Asyik nak pakai baju yang nampak tiang lampu isyarat tu buat apa? Sekali sekala pakai la yang labuh-labuh, baru nampak kelainan. Kalau tak padan, pakai aje karung guni.”
“Eh, suka-suka hati aje awak panggil kaki saya ni tiang lampu isyarat. Awak tak tahu, inilah aset berharga saya tahu tak! Dasar lelaki tak reti menilai. Biar saya la nak pakai apa pun, barulah sesuai dengan imej saya sebagai pencuri hati.” Mencerlung Maira memandang Gun yang masih selamba duduk bersandar sambil sibuk mengunyah kacang. Langsung tak mendongak memandang dirinya.
“Nak curi hati orang tak payah nak tunjuk segala kulit yang ada kat badan. Kalau dah hari-hari tengok, bukan namanya curi. Itu namanya, sengaja bagi. Berapa banyak hati yang kau nak curi... Jangan nanti sampai hati kau tu pula yang kena ragut. Tak bernyawa nanti.”
“Sibuk! Takkan ada yang mampu curi mahupun ragut hati saya? Hati saya ni dah diberi pagar elektrik, tak semua boleh masuk. Dahlah, kat mana saya nak tukar baju ni?”
“Tandas la... Takkan kau nak tukar depan aku ni pula? Jangan salahkan aku pula nanti kalau aku curi apa yang tak sepatutnya.”
Tegak telinga Maira mendengar ayat Gun.
“Benci!!!” Maira menyambar beg kertas yang berada di sisi Gun. Melangkah ke bilik persalinan. Kaki dihentak. Protes!



TABIR yang melindungi belakang pentas diselak sedikit. Mengintai penonton yang sudah memenuhi tempat duduk. Terdiri daripada kesemua pelajar dan para ibu bapa. Suasana dewan yang luas itu menjadi sedikit hingar. Maira menahan debaran di dada. Tadi okey sahaja, tapi apabila melihat jumlah penonton yang agak ramai membuatkan dirinya dilanda gemuruh. Mampukah dia melakukan tarian tersebut dengan baik? Setakat berlatih sekali sahaja, itu pun banyak dimonopoli oleh Gun. Dia hanya menjadi mangsa ditarik dan ditolak sesuka hati oleh Gun. Gun pula sejak mereka sampai ke dewan itu, langsung tidak kelihatan.
Jangan dia lari sudah la... Mahu meraung Maira di atas pentas itu nanti sorang-sorang.
Gaun labuh berwarna putih bersih di tubuh dinaikkan sedikit ke atas. Memudahkan dirinya untuk bergerak pantas.
“Izuan, awak nampak Gun?”
“Tak tahu. Tadi dia ada... Cuba cikgu tanya Dini.”
Maira berjalan ke arah Dini yang sedang sibuk melihat klip video lagu yang bakal dia tarikan sebentar lagi.
“Gun mana, Dini? Cikgu tak nampak dia pun.”
“Ada. Tengah tukar baju. Nanti sekejap lagi adalah tu...”
Maira mengeluh lega. Tukar baju rupa-rupanya, jangan dia buat perangai gila sudah. Bukan boleh percaya dengan otak Gun yang suka bertindak sesuka hati tu.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengetua Sekolah Menengah Persendirian Hamuddin Bistari. Siapa lagi, kalau bukan ayahnya.
Masuk ke persembahan keempat, Maira semakin tidak senang duduk. Apatah lagi apabila kelibat Gun masih tidak muncul. Dia memerlukan Gun bukan setakat pasangannya nanti, tetapi juga sebagai sumber kekuatan. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa, namun apabila Gun tiada di sisinya, membuatkan dirinya dilanda gelabah dan rasa takut yang amat. Ke mana Gun pergi? Gun tolonglah, saya perlukan awak!!!
Maira melangkah keluar dewan, menjauhi suasana yang bingit dan agak kelam-kabut dengan persiapan peserta. Cuba mencari ketenangan, kakinya melangkah ke arah pancutan air terjun hiasan di belakang dewan.
Punggung dilabuhkan ke atas birai kolam, cuba mengawal debaran di dada yang masih tidak mahu hilang. Sejak bila dia menjadi seperti ini, ke mana hilangnya keyakinan dia dahulu? Ke mana hilangnya semangat dia pagi tadi? Lebih penting, ke mana hilangnya Gun? Dia tidak mahu, disebabkan dirinya... kelas mereka akan mendapat malu. Mereka sudah banyak berkorban masa dan tenaga.
Kepala ditundukkan memandang ke dalam kolam. Air kolam yang jernih menampakkan bayang-bayang dirinya. Maira merenung dirinya, adakah dia mahu mengalah atau berjuang tanpa kehadiran Gun? Boleh atau tidak?
“Gun... mana awak ni? Janganlah main-main masa macam ni...” rungut Maira sendiri. Seolah-olah bercakap dengan bayang-bayang dirinya sendiri. Tiba-tiba muncul wajah Gun di dalam air kolam. Maira mengerdipkan matanya berkali-kali. Alamakkk!!! Gun ini makhluk halus ke? Sebut nama... tiba-tiba muncul dalam air.
“Kenapa awak suka sangat buat hati saya tak tenang?” Seperti orang bodoh Maira menyoal bayang-bayang Gun di dalam air.
“Awak selalu buat hidup saya tak tentu arah. Awak orang pertama yang buat saya kalah dengan imej saya sebagai Maira Khaisara. Awak kena ada dengan saya hari ni, Gun. Awak yang libatkan saya dalam tarian ni, awak kena ada dengan saya. Awak kena ada... Awak kena ada... Please Gun... berikan saya kekuatan... Saya perlukan awak sekarang.” Kali ni nada suaranya semakin perlahan. Rasa macam nak menjerit, tapi tak mampu.
“Hoi!!! Nak jadi bawang putih bawang merah pula ke...”
Ehh! Itu macam suara... Gun?!!!
Sepantas kilat Maira berpusing ke belakang. Melihat seorang lelaki yang lengkap memakai sut sepersalinan putih. Kasutnya juga turut berwarna putih. Begitu memukau dan menggoda. OMG! My mister handsome... Gun???
“Gun!!!” terkam Maira. Tubuh Gun dipeluk kemas. Ya Allah leganya dia... Ini memang Gun, bukan makhluk halus.
“Awak jahat! Gun... Awak hampir bunuh keyakinan saya. Mana awak pergi? Saya dah nak mati ketakutan bila tengok awak tak muncul-muncul. Kenapa awak suka buat hati saya hancur ditembak berkali-kali? Awak kena ada di mana saya ada. Kena ada!!!”
Belakang badan Gun ditumbuk berkali-kali oleh Maira. Melepaskan rasa geram dan dalam masa yang sama rasa lega. Kalau tadi Gun tak muncul, memang tanpa segan silu dia akan menangis meraung. Kali ini dia memang tiada keyakinan langsung.
Syhhh... Aku ada kat sini. Aku tak ke mana-mana... Yes... I'll always be with you. Always...” Gun berkata-kata penuh kelembutan dan begitu menenangkan. Mengusap-ngusap kepala Maira yang melekat kemas di dadanya.
“Tapi tadi awak tak ada. Awak hilang, awak tinggalkan saya seorang diri kat belakang sana. Awak tinggal...”
“Maaf. It’s okay, dear... I’m here now. With you...” ucap Gun memotong kata-kata Maira.
Hati Maira yang saling bertumbuk sebentar tadi kembali tenang. Tenang setenang tenangnya... Jantung yang buat acara kompang sebentar tadi juga sudah senyap sunyi.
“Dah? Do you feel better now?” soal Gun sambil meleraikan pelukan.
Kedua-dua belah pipi Maira dipegang. Membuatkan kedudukan wajah mereka begitu rapat. Maira hanyut dibuai mata hitam milik Gun yang bersinar indah. Adakah ini Gun? Lelaki yang menyakitkan hatinya pagi tadi. Tapi sekarang... kenapa dia bertukar jadi mister handsome?
“Okey... Saya cuma nak awak...” tutur Maira perlahan. Entah apa yang hendak diungkapkannya juga dia tidak tahu. Mulutnya berbicara ikhlas mengikut kata hati.
Gun tersenyum manis. Pertama kali tersenyum dengan lebar sehingga menampakkan baris giginya yang putih bersih.
You look so beautiful with this dress. Macam pengantin. Pengantin perempuan yang paling cantik pernah aku tengok. Sehinggakan burung merak pun akan menyorokkan kepaknya bila ternampak kau...”
Tangan Gun naik mengelus pipi Maira. Mengusik kening Maira sehingga terpejam mata Maira dibuatnya. Inilah Gun, cepat benar berubah karakter. Namun, dia lagi rela Gun yang sengal daripada Gun yang bertukar jadi mister handsome. Kerana dirinya tidak dapat menahan hatinya yang melompat-lompat ingin masuk ke dalam hati milik Gun.
“Sehinggakan rama-rama juga akan malu untuk terbang di sebelah kau... Mata kau... bersinar indah sehingga bulan juga akan malap dikalahkannya.”
Sebelah tangan Gun membetulkan-betulkan rambutnya. Tangan Gun melurut rambut paras bahu milik Maira sebelum turun melekapkan tangan di belakang badannya. Maira memejamkan mata... Sentuhan lembut Gun begitu mengasyikkan. Dia benar-benar seperti sudah hanyut di lambung ombak asmara peluru berpandu.
“Rambut kau... begitu memikat... beralun indah. Sehinggakan bintang di langit hilang sinarnya. Dan... diri kau...”
Gun terdiam lama tidak menyambung ayatnya.
Maira membuka mata, menentang pandangan mata Gun. Dada kembali berdebar kencang. Kali ini bukan berdebar yang tidak menyenangkan. Tetapi berdebar yang begitu mengasyikkan menunggu kata-kata milik Gun. Tidak tahu mengapa, dia rasakan ayat yang dituturkan Gun begitu ikhlas. Menembak terus ke dasar hatinya...
“Jom. Sekejap lagi giliran kita...”
Gun membetulkan selendang yang menutupi bahunya. Labuh sehingga ke bahagian belakang tubuhnya.

Tangannya ditarik masuk ke dalam dewan. Maira terkedu. Hati berasa tidak puas kerana tidak dapat mendengar ayat yang ingin dituturkan oleh Gun. Maira hanya mengikut langkah Gun tanpa bantahan. Aneh, dia boleh menjadi sebaik itu dengan Gun. Malah genggaman tangan Gun turut dibalas. Apa yang dia tahu, dia hanya mahu Gun ada di sisinya. Dekat dengannya... sentiasa berada dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan