Sabtu, 16 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta-Bab 25


(Telah berada di pasaran pada Ogos 2014)
“LAMA ke you nak masuk ke dalam?” soal Hayati sebaik sahaja mereka tiba di dalam bangunan kedai buku milik Sabrina.
“Tak. Sekejap aje. Sain apa yang patut. You all duduk la dulu.”
Sabrina terus melangkah naik ke tingkat atas setelah menjawab pertanyaan Hayati. Tingkat dua yang menempatkan pejabat pentadbiran. Kedai buku sederhana besar itu mereka perhatikan. Nampak lengang, mungkin kerana sekarang waktu bekerja. Salah satu cawangan kedai buku Pustaka Pertama. Selain Kuala Lumpur, memang Pustaka Pertama mempunyai banyak cawangan di kawasan pantai timur.
“I nak round kat luar kejap.”
“Okey. Be careful. Jangan jauh-jauh, you tak biasa lagi dengan tempat ni.”
Peringatan Hayati hanya dibalas dengan anggukan. Kaki melangkah keluar dari kedai buku berhawa dingin tersebut. Membawa kakinya menyelusuri kaki-kaki lima di barisan bangunan yang sama. Jalan raya kelihatan agak sesak dengan kenderaan walaupun pada waktu bekerja. Mungkin kerana faktor kepadatan penduduk.
Bulat matanya apabila sesekali kereta-kereta mewah melintas lalu. Sekarang, Kelantan memang sudah maju. Malah mungkin penduduk-penduduk di sini lebih kaya daripada manusia-manusia bertaraf Dato, Tan Sri di bandar-bandar besar yang jauh lebih maju.
Kaki terhenti di sebuah kedai emas. Maira menilik ke arah pameran barang kemas yang dipamerkan dari dinding kaca. Silau biji matanya melihat kilauan barangan tersebut. Mata melilau ke dalam kedai, nampak mewah dan eksklusif. Seorang perempuan tua keluar dari pintu kedai. Bulat matanya melihat deretan gelang di tangan perempuan tersebut. Hanya berbaju kurung dan bertudung lusuh. Tapi, barang kemas dah gaya nak roboh tangan.
Pintu kedai ditolak sebelum melangkah masuk. Niatnya hanya satu, ingin melihat semurah manakah barangan kemas di tempat tersebut. Seorang gadis yang kelihatan masih muda menyambutnya. Mungkin masih belasan tahun. Lengkap beruniform kuning terang. Maira hanya membalas senyuman yang diberikan oleh gadis tersebut. Dia hanya memberikan isyarat ingin melihat-lihat dahulu apabila gadis tersebut mengekorinya.
“Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam, Encik Riz.”
Terpempan Maira mendengar suara tersebut. Kaku kakinya. Kepala ditundukkan, mengintai dari celah-celah rak. Kelihatan seorang lelaki yang segak memakai kemeja putih bersih dan berseluar slack hitam sedang berdiri membelakanginya.
“Invois Selesa Contruction dah sampai?” soal lelaki tersebut sambil sibuk membelek sesuatu di atas meja kaunter.
“Sudah, Encik Riz. Kak Najah dah hantar ke bahagian akaun. Laporan kewangan bulan ni pun Kak Najah dah letak atas meja Encik Riz,” tutur gadis di bahagian kaunter tersebut dengan suara yang dilembutkan.
Maira hanya melihat sahaja mata gadis tersebut yang tidak berkelip memandang wajah lelaki di hadapannya. Senyum diukir. Maira menilik-nilik dari celah rak. Ingin melihat dengan lebih jelas wajah lelaki tersebut. Suara itu seperti sudah biasa di pendengaran telinganya.
“Okey. Good.”
Rizky berpaling ke belakang. Ingin meninjau keadaan di dalam kedai tersebut. Sudah seminggu dia tidak datang ke kedai tersebut. Sibuk menguruskan agensi perlancongan yang baru ingin berkembang maju. Tiba-tiba matanya tertancap akan kelibat seseorang yang berada di sebalik rak barangan yang dipamerkan.
“Tu ada customer. Kenapa tak pergi layan? Apa guna saya hire pekerja ramai-ramai kalau seorang customer pun tak boleh handel. Saya tarik balik saya punya good tadi,” tegas Rizky menegur pekerjanya yang sudah menayang muka serba salah.
Kaki diatur pantas menuju ke arah Maira yang dikatakannya pelanggan sebentar tadi. Maira pula sudah tidak tentu arah. Kalut dia mengatur langkah ingin menyembunyikan diri. Akibat terlalu gelabah, Maira lupa yang dia sedang berada di tengah-tengah rak kaca yang mempamerkan barangan kemas mewah.
Berdegang!!! Bergegar rak kaca tersebut dilangarnya. Nasib tidak tumbang. Kalau tak, mahu dia meraung nak bayar ganti rugi.
Miss, are you okay?” soal Rizky sebaik sahaja sampai di hadapan gadis berkenaan.  
Terkejut juga dia tadi apabila melihat salah sebuah rak yang berada di situ hampir tumbang. Nasib tidak tumbang dan pecah.
Errr. Hai...”
Maira mengangkat tangan. Melambai-lambai tangannya ke arah Rizky dengan muka serba tidak kena. Melihat sahaja wajah gadis di hadapannya, Rizky menahan senyuman. Cik pencuri hati rupa-rupanya. Senang pula mereka berjumpa walaupun secara kebetulan seperti itu. Kuat betul agaknya jodoh mereka.
“Cik okey?” soal Rizky berpura-pura tidak kenal. Wajahnya diseriuskan sehabis mungkin.
“Okey. Eh... mestilah okey. Okey aje ni, ha... barang awak ni pun okey lagi. Teguh juga rak ni ya.”
Maira memegang rak yang dilanggarnya itu tadi. Senyum yang diukir terasa benar seperti dibuat-buat... Bukan takut sebab terlanggar rak, tapi takut sebab yang berdiri di hadapannya kini ialah lelaki semirip Gun.
“Bukan rak tu yang saya risaukan, tapi keadaan cik. Cik boleh berisiko mendapat kecederaan kalau rak ni pecah dan tumbang tadi.”
“Tak la. Okey aje ni. Sorry. Saya tak sengaja. Teruja sangat dapat tengok kedai yang cantik dan eksklusif macam ni.”
Sengaja Maira memberikan sedikit pujian, harapanya agar lelaki di hadapannya itu dapat melupakan apa yang baru terjadi. Maira mengalihkan pandangan matanya ke arah bertentangan. Tidak kuat hatinya ingin menatap wajah tersebut. Ya Allah, mengapa mereka harus berjumpa dalam keadaannya seperti sekarang? Sangatlah tidak meletop.
Yeah? Thanks. But... now... I don’t think so. Mungkin dah tak eksklusif lagi.” Rizky memberi isyarat mata ke arah tangan Maira. Bergelora perutnya menahan ketawa melihat Maira sudah seperti cacing kepanasan. Wajah itu sudah memerah, mungkin menahan malu. Kali pertama dia melihat sisi Maira yang malu-malu seperti itu.
“Alamak. Maaf, maaf. Saya tak sengaja. Maaf, tuan. Abang... errr encik. Saya tak sengaja. Betul-betul tak sengaja.”
Sekali lagi Maira diserang rasa malu apabila melihat aiskrim di tangannya sudah cair. Menitik-nitik ke atas lantai kedai. Kalut Maira memasukkan lebihan aiskrim yang masih tinggal ke dalam mulut. Disumbatnya semua sekali.
“Huh?”
Bulat mata Maira memandang ke arah sapu tangan yang dihulurkan oleh Rizky. Sapu tangan kotak-kotak berwarna biru muda tersebut hanya dipandang sepi.
“Ambillah. Guna untuk lap tangan tu.”
Sekali lagi Rizky menyuakan sapu tangan tersebut ke arah Maira. Isyarat mata diberikan menandakan dia ikhlas. Teragak-agak Maira menyambut huluran tersebut. Dia juga tidak punya pilihan. Takkan dia nak lap pada baju pula, memang taklah!
“Terima kasih.”
My pleasure.”
“Maaf. Saya dah kotorkan kedai awak. Tak sepatutnya saya bawa masuk aiskrim. Habis lantai ni... Emmm... tuan. Abang. Eh, encik...”
“Rizky.”
Tersenyum kecil Rizky melihat reaksi Maira. Pertama kali dia tengok Maira gelabah berhadapan dengan lelaki. Selalunya pantang, memang asyik nak tunjuk aura penggoda dia tu.
“Oh, Encik Rizky...”
Perlahan Maira menyebut semula nama tersebut. Entah mengapa, terbit rasa kecewa di dalam hatinya apabila mengetahui nama lelaki itu ialah Rizky. Bukan Keith Rajh Dhan yang dia harapkan.
Yeah. Rizky.”
Sengaja Rizky menyebut sekali lagi namanya. Kali ini sengaja dia tekankan sedikit perkataan Rizky itu. Bukan dia tidak nampak, air muka Maira yang berubah apabila dia menyebut namanya tadi.
“Maaf Encik Rizky, saya tak sengaja. Kalau encik nak saya bersihkan, saya boleh bersihkan.”
“Eh, tak apa. Cik...”
“Maira.”
“Maira. Nice name...”
Wah, Rizky. Pandainya berlakon. Berpura-pura tidak kenal konon. Padahal nama itulah yang selama ini diingatinya siang dan malam.
“Tak apa. Sikit aje tu. Nanti saya suruh pekerja saya buat. Tini, clean this please!”
“Sapu tangan awak?”
Kali ini Maira menunjukkan pula sapu tangan Rizky yang berada di tangannya. Serba salah pula dia nak pulangkan sapu tangan yang sudah menjadi mangsa aiskrim Sollero miliknya tadi.
“Tak apa. Awak simpanlah. Setakat sapu tangan lima ringgit aje pun. Pasar malam. Kalau awak nak buang pun tak apa.”
Terbantut niat Maira hendak membalas kata-kata Rizky. Rizky sedang sibuk memberi arahan kepada pekerja bernama Tini tadi untuk membersihkan sisa aiskrim di atas lantai. Kesempatan itu Maira ambil untuk meneliti wajah Rizky sepuasnya. Mereka seperti orang yang sama. Suara, tingkah laku, wajah... semuanya milik Gun. Hanya nama sahaja yang membezakan mereka.
“Cik Maira. Please...”
Rizky menundukkan sedikit badan untuk mempersilakan Maira supaya mendahuluinya ke bahagian hadapan kedai. Maira hanya menurut. Walaupun langkahnya sudah sumbang, terasa kekok untuk dia berjalan di hadapan Rizky. Keyakinan dirinya sudah lesap entah ke mana. Rizky yang sangat gentleman. Gun pula lebih kepada bersikap kasar dan keras.
“Ada yang Cik Maira berminat ke? Saya boleh bagi spesial diskaun. Yang ini, semua design kedai kami yang paling latest,” tutur Rizky yang lembut menarik perhatian Maira.
Kali ini dia dapat melihat perbezaan Gun dan Rizky. Barang kemas yang ditunjukkan Rizky diperhatikan. Cantik, memang cantik. Tetapi dia buta dalam menilai kualiti sesuatu barang kemas. Kerana dia bukanlah perminat aksesori seperti itu.
“Saya ni... tak berapa tahu sangat mengenai barang macam ni...”
Lambat-lambat Maira mengaku kelemahan dirinya.
“Ya. Saya dah agak. Sebab tengok daripada diri awak, hanya ada jam tangan dan gelang silver. Simple, but nice. Sebab tu Cik Maira nampak masih macam budak sekolah. Tak berkelip-kelip dengan kilauan emas.”
Budak sekolah? Maira menahan rasa kelakar. Helo... dia dah dua puluh empat tahun. Tapi bagus juga, itu menandakan dia awek muda. Satu lagi perbezaan Gun dan Rizky. Rizky bermulut manis... Gun bermulut peluru berpandu.
Bunyi telefon bimbit mengejutkan Maira. Terkebil-kebil dia memandang ke arah Rizky.
“Telefon awak...”
Melihat senyuman kecil dari bibir Rizky, Maira terkedu sendiri. Itu milik Gun! jeritnya dalam hati. Kenapa banyak sangat perkara yang awak sama dengan Gun? Ini pasti Gun, bukan Rizky.
Kelam-kabut Maira menyelongkar beg tangannya. Benda yang senang untuk jumpa pun jadi susah gara-gara hatinya yang sudah tidak menentu. Melihat sahaja nama Sabrina di skrin telefon, Maira menepuk dahi sendiri. Kaki melangkah beberapa tapak ke tepi agar sedikit jauh dari Rizky.
“You kat mana?!” terjah Sabrina sebaik sahaja Maira menjawab panggilan. Maira menjarakkan sedikit telefon bimbit menjauh dari telinganya. Menggosok-gosok sedikit telinganya. Bingit!!!
“Assalamualaikum, Cik Sabrina...”
“Waalaikumussalam, Cik Maira Khaisara. Boleh saya tahu cik di mana sekarang?”
“Ada kat kedai dekat-dekat sini aje. Jangan la risau sangat. Bukannya I nak pergi terjun sungai pun.”
“Yang tu I tak risau sebab I tahu you memang takut air. Tapi I risau nanti you hilang. Apa I nak jawab dengan parents you? Ingat sikit, sini dekat dengan Thailand tau. Nanti dibuatnya orang kidnap you, jual kat sana, baru you tahu, berani sangat jalan seorang diri macam tu. You bukan biasa lagi dengan tempat ni, orang pun you tak kenal.” Panjang lebar Sabrina berleter.
“Ya, I tahu. Dah, jangan membebel la. Kesian telinga I ni tahu tak? Sekejap, I pergi kedai you sekarang.”
Pantas telefon bimbit terus ditutup. Malas mahu mendengar balasan daripada Sabrina. Kalau nak tunggu dia habis berceramah, esok pun belum tentu habis.
“Maaf, Encik Rizky. Saya dah nak kena pergi ni. Nenek kebayan dah murka,” tutur Maira sebaik sahaja melangkah kembali ke arah Rizky yang masih tenang memandang ke arahnya.
“Nenek kebayan?” soal Rizky dengan riak muka pelik. Sejak bila pula Maira berkawan dengan nenek kebayan?
“Isy, Encik Rizky ni. Ada-ada aje. Bukan nenek kebayan la. Kawan saya, Sabrina. Dia ada kedai buku kat hujung sana.”
Bukan Rizky tidak nampak gerak-geri Maira yang serba tidak kena. Kalau dahulu, pantang ada orang pandang, mulalah jalan nak mengangkat dada. Kini, tersipu-sipu malu. Langkah pun sumbang. Bergelojak perutnya menahan senyum. Tidak mahu terlalu nampak yang dia begitu mengenali gadis tersebut.
“Pustaka Pertama? Yeah... I know.
Tangan dimasukkan ke dalam poket seluar. Cuba menahan hati. Terasa berat ingin melepaskan Maira keluar dari kedai tersebut. Namun dia tahu, kalau Tuhan itu sudah tentukan Maira yang terbaik untuk dirinya, pasti selepas ini akan ada lagi pertemuan mereka.
“Ha, betul la tu. Errr, okeylah ya. Saya pergi dulu. Maaf sekali lagi pasal tadi.”
“Okey. Terima kasih sebab sudi masuk ke dalam kedai saya.”
Maira hanya melemparkan senyuman. Pandangan mata hanya ditujukan ke arah lantai. Kaki melangkah laju ke arah pintu. Sebaik sahaja melepasi pintu keluar, nafas kelegaan dilepaskan. Tangan naik menampar-nampar pipi sendiri. Kemudian mengetuk-getuk kepala sendiri. Kenapa dia kelam-kabut sangat ni? Tenang... dia bukan Gun, Maira. Dia Rizky, pesan Maira kepada dirinya sendiri.

Tanpa Maira sedari, dari dalam kedai, Rizky memerhatikan tingkah laku Maira. Mungkin Maira tidak menyangka, segala perlakuannya, mampu dilihat dari dalam kedai. Rizky ketawa kecil. Geli hatinya melihat kelakuan Maira. Memang sudah jauh berubah. Tiada lagi si penggoda, kini si clumsy pula yang muncul. Nampak begitu menarik di matanya. Nampak gayanya pasti dia akan tersenyum sepanjang hari, penangan daripada gadis berkenaan.

12 ulasan:

  1. akak bila nak sambung citer nie?? best. huhuhu :(

    BalasPadam
  2. KAK ILAH THIS NOVELS WAS SUPERB..N THUMBS UP FOR YOU SIS...BG LAAA BAB SELANG2..PUHLEASE..LANGKAH 10,20 BAB MACAM TU..NAK TAU PKEMBANGAN ..LAMBAT SIKIT BOLEH BELI NOVEL????pUH~LEASE....kAK iLAH..WINK~WINK...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pandai la dia kn... hihii. Tak boleh la up lbh dr 25 bab yunk. Nt penerbit cantas..hahaa. apapun...thanks aulia..

      Padam
  3. Cerita ni dah ada novelnya ke? Best la....bikin saya pun tenggelam sama.hihihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sudah ke versi cetak yunks. Untuk pembelian blh order dari october love. Ngee...

      Padam
  4. Best sangat cerita ni.. How i wish i could order this book right now..hehe

    BalasPadam
  5. Brpe hrga untk novel ni?

    BalasPadam
  6. ada lg stok x sy cr x ada pm 0132616659

    BalasPadam
  7. Miss llah,saya baru baca citer ni. Menarik sangat, ada kluakan lg x

    BalasPadam