Sabtu, 16 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta

Bab 12

TEGAK kepala Maira apabila ternampak Gun dan Kit yang berjalan menuju ke gelanggang tenis. Kenapa dari pandangan matanya dia merasakan Gun terlalu kacak pada hari ini? Dengan langkah yang kemas dan bergaya. Dengan susuk tubuh yang tegap dan kepala yang sentiasa tegak ke hadapan apabila melangkah. Benar-benar menampakkan Gun terlalu sempurna di matanya.
“Cikgu, Gun and Kit dah sampai tu. Bolehlah kita mulakan latihan.”
Maira hanya mengangguk setuju dengan pendapat Dini. Tidak perlu diberitahu, dari jauh lagi dia sudah perasan akan kehadiran Gun. Tidak perlu dia menjerit memberi arahan. Masing-masing sudah pandai mengambil tempat dan tugas masing-masing. Esok merupakan hari pertandingan. Hari penentuan sama ada dia layak digelar seorang guru yang serba boleh atau tidak. Jika dilihat dari segi persembahan, dia yakin kelas Enam Atas Ibnu Sina punya potensi besar untuk bergelar juara.
“Cikgu, kita ada masalah.”
“Masalah apa?” soal Maira terkejut. Baru sahaja dia hendak berangan-angan, tiba-tiba ada pula masalah yang datang.
“Ratna tak dapat sertai pertandingan kali ini. Tiba-tiba pagi tadi dia diserang demam panas. Masalah bagi kita untuk cari pengganti dia. Masa dah makin suntuk. Esok hari pertandingan,” terang Kit.
“Apa masalahnya? Bukan masalah besar pun. Cari aje pengganti dia. Ratna bahagian tarian Bollywood kan? Senang aje tu. Dua jam pun dah boleh mahir.”
“Kita dah tak cukup ahli, cikgu. Masing-masing dah ada bahagian sendiri. Kalau terpaksa ambil salah seorang daripada mereka, memang masalah, cikgu. Mana nak tumpukan pada step mereka, dan step tarian Bollywood. Dua dalam satu... masa dah suntuk. Tak sempat ni, cikgu.”
“Habis tu, macam mana... Batalkan ajelah tarian Bollywood tu. Kita masih banyak tarian lain yang tak kurang hebatnya, kan? Cikgu rasa, kalau kita tak buat tarian itu pun... kita masih boleh berjaya menarik perhatian pengadil.”
“Mana boleh, cikgu. Tarian Bollywood inilah kekuatan kelas kita. Kelas lain mana ada buat...”
“Habis tu, macam mana... Awak ada idea tak?”
Errr ada... tapi...”
Maira mengerut dahi. Kenapa Kit tiba-tiba tergagap pula ini? Nak cakap apa, cakap ajelah.
“Cikgulah gantikan tempat Ratna.”
Dia?? Dia menari Bollywood. Mahu roboh pentas nanti. Oh tidak!!! Kenapa Dini boleh terfikir idea seperti itu?
“Kata tadi mudah... Dalam dua jam pun boleh belajar. So, apa lagi, buktikan la. Kami tahu cikgu kami ini hebat dalam semua benda. Takkan tak boleh kut kali ini...”
Hampir mati berdiri dia dibuatnya saat mendengar ayat yang keluar dari mulut Gun. Laju menembak segala rasa takut di dalam dirinya. Ini mencabar ke apa?
“Okey! Boleh. Ingat cikgu tak boleh ke... Hah, apa lagi? Jom mulakan latihan. Ambil tempat masing-masing. Jangan buang masa.”
Dengan penuh keberanian Maira mengambil tempat. Mengelak pandang dari bertembung mata dengan Gun. Lelaki itu kalau tidak menghuru harakan dirinya memang tidak sah.
“Sopan hari ini... Tak tahu pula aku yang kau pun pandai pakai seluar panjang... Ada nak sorok apa-apa ke...”
Maira hanya diam membisu sehinggalah Gun tiba-tiba sahaja berdiri di hadapannya sambil memegang tangannya.
“Eh, apa ni... Yang awak sibuk kat sini kenapa pula?”
“Memang di sini tempat aku yang sepatutnya. Di sisi kau...” Gun memberi pandangan mata yang melirik penuh gaya seperti penggoda.
“Gun akan jadi couple cikgu dalam tarian ni. Hanya Gun yang pandai selok belok tarian Bollywood. Jadi memang dari awal lagi, sepatutnya Gun dengan Ratna. Tapi sekarang, kita terpaksa gantikan cikgu jadi couple Gun.”
Huwaaa!!! Apa semua ni? Kenapa mesti dengan Gun?!
Hatinya sudahlah asyik nak menggedik dan melompat-lompat keluar dari dada setiap kali berhadapan dengan lelaki itu. Ini kalau terpaksa menari bersama Gun, mahu hatinya terkeluar terus tergolek jatuh.
“Tak nak!!! Cikgu tak nak jadi couple dia... Tukar orang lain...” bentak Maira.
Then... kau nak ke Dini jadi couple kau? Kalau nak, aku tak kisah. Silakan.”
Tegak mata Maira memandang ke arah Dini sebaik sahaja mendengar bisikan daripada Gun. Perlahan namun cukup jelas di pendengarannya. Dini? Oh no... lagi dia tidak sanggup. Mengingati tanda love bite di leher Dini tempoh hari sahaja sudah cukup membuatkan dirinya merasa seram sejuk.
“Okey! Cepat kita mulakan.”
Eee! Gun ini kalau sehari tak menembak tak boleh ke? Sesuai sangatlah nama dengan tuan punya badan. Sebab itulah dipanggil Gun barangkali.
Good girl... Okey, Kit. Start the music...”
Gun tersenyum senget. Mulut memberi arahan kepada Kit. Tetapi mata masih tajam menikam matanya. Hampir sesak nafas Maira dibuatnya.
“Tapi cikgu tak pandai...” jujur Maira. Berharap agar Gun boleh bertolak ansur. Nanti tidak pasal dia yang diketawakan.
Up!” Terkejut Maira apabila Gun merapatkan tubuh mereka. Hilang segala rasa takut. Hilang segala rasa tidak yakin. Mata hitam milik Gun bersinar lembut menjamah matannya. Lagu Saanwali Si Ek Ladki yang dipetik daripada cerita Mujhse Dosti Karoge kedengaran memenuhi ruang gelanggang tenis.
Maira hanya mengikut rentak Gun. Gun menarik, menolak, memusingkan tubuhnya juga dia hanya mengikut. Segala pergerakannya diatur oleh Gun. Dirinya hanyut di sebalik pandangan mata Gun yang masih menatap wajahnya. Pandangan mata yang penuh dengan senyuman, kasih sayang dan kebahagiaan. Pandangan mata yang melekakannya.
“Ah...” jerit Maira gayat.
Melopong mulutnya tidak percaya apabila dirinya sedang elok di dalam pelukan Gun. Lelaki itu sedang mendukungnya tanpa amaran. Tangan memaut leher Gun bagi mengelakkan dirinya dari jatuh ke lantai. Makin kuat dia memaut leher Gun apabila lelaki itu selamba berpusing dan bergerak pantas sambil mencempung tubuhnya.
Sepertimana Gun sesuka hati mencempung tubuhnya, sesuka hati juga Gun melepaskan tubuhnya. Terasa jantungnya terlucut dari tangkai. Namun belum sempat punggungnya jatuh mencecah lantai gelanggang, terasa pinggangnya terlebih dahulu dipaut kemas oleh Gun. Sekali lagi Gun membuatkan dirinya seperti anak patung yang tidak bernyawa. Dipaut dan dipusing sesuka hati. Tangkas dan cekap, namun penuh kelembutan. Nasib dirinya tidak dilambung! Gun memusingkan tubuhnya sebelum lelaki itu melekap di belakangnya. Memaut tangannya memeluk tubuh sendiri. Dan tangan Gun berada di atas tangannya. Tidak ubah seperti lelaki itu juga sedang memeluknya.
Maira menahan debaran di dada. Merasai nafas Gun yang hinggap di telinganya. Dengan haruman milik Gun yang menerobos masuk ke dalam rongga hidungnya. Cukup membuatkan hati dan jantungnya bergelimpangan. Menyorok seram.
Baru ingin merasai keselesaan dengan suasana itu, tiba-tiba Gun menolak tubuhnya deras. Sehingga menyebabkan dia terdorong ke hadapan. Hampir tersungkur kerana tidak dapat menyeimbangi badan sediri. Namun dengan deras juga Gun kembali menarik tangannya. Tersembam Maira ke dada milik Gun.
Maira mengangkat kepala, memberanikan diri menentang mata milik Gun. Berani lelaki itu berbuat sesuka hati kepada dirinya. Mulut yang ingin menyembur kelakuan Gun terkunci rapat apabila Gun mengukir senyuman kecil. Jelas terlihat bibir merah Gun yang terbelah. Mengusik naluri wanitanya.
Dada terasa semakin sesak, jantung semakin berdegup laju. Hati semakin tidak keruan, sekejap kembang... sekejap kuncup. Cubaan Maira menolak tubuh Gun menyebabkan Gun semakin merapatkan tubuh mereka. Maira melekapkan tangan ke dada Gun, menghalang tubuh mereka dari bercantum. Gun semakin menguatkan pelukan di pinggangnya sehingga kaki Maira terjengket mengikut ketinggian Gun.
Untuk beberapa saat, Maira hanyut di dalam mata hitam milik Gun. Maira dapat melihat mata Gun yang lembut merenung matanya, kemudian memandang hidungnya pula. Menyebabkan Maira semakin lupa cara untuk bernafas. Jantungnya seakan-akan berhenti berdegup. Dan hatinya seakan-akan mati ditembak oleh Gun apabila lelaki itu menjatuhkan pandangan ke arah bibirnya. Maira semakin merasakan tidak keruan apabila Gun merapatkan wajah mereka. Mata dipejamkan, tangan yang berada di dada Gun mencengkam kuat kemeja milik Gun.
Poppp!!! Sepantas kilat Maira membuka mata apabila merasakan ada sesuatu yang melekat di hidungnya. Huwaa... terasa ingin menangis sekarang juga apabila Gun meletupkan gula-gula getah yang dibuat belon ke atas batang hidungnya. Hantu punya mister kacak!
Jeritan, sorakan dan tepukan kesemua pelajarnya menyedarkan Maira. Kuat Maira menolak tubuh Gun yang masih melekat di tubuhnya. Mata memandang sekeliling.
“Kau nampak sangat cantik dengan reaction macam ni. Tak sangka, penggoda macam kau ada perasaan malu. You look so interesting...” bisik Gun perlahan dan masih merenung lembut matanya.
When you are with me, be careful with your heart.”
Gun mengukir senyuman senget dan berlalu mendapatkan kawan-kawannya yang masih bersorak riang. Melangkah kemas dan nampak masih bertenaga. Seolah-olah langsung tidak terkesan dengan tarian yang dilakukannya tadi.
Be careful with your heart? Haah... Awak terlalu lambat memberi amaran, Gun. Hatinya memang sudah mati ditikam bertubi-tubi oleh pandangan dan aura Gun.



KEPALA didongakkan memandang ke arah langit yang membiru. Sesekali dia membetulkan juntaian rambut yang menutup wajah akibat ditiup angin petang. Kenapa jantungnya berdegup tidak sekata apabila berdepan dengan manusia bernama Gun itu? Kenapa bermacam-macam perasaan sering menjengah kotak hatinya apabila Gun berada di sisinya? Di mana rasa meluat dan sakit hati kepada lelaki itu dahulu?
“Jauh mengelamun? Ada nampak pari-pari ke kat langit tu? Sampai tak berkelip.”
Hampir melompat Maira apabila ditegur dari belakang.  
“Maaf-maaf. Saya tak niat nak buat cikgu terkejut...” Dini duduk di sebelah Maira dengan wajah bersalah. Bersandar tenang di bangku rehat yang terletak di taman sekolah tersebut.
“Lain kali bagilah salam hello ke hai dulu ke... nasib baik cikgu tak ada lemah semangat. Kalau tak, dah gol tahu tak...”
“Maaf, cikgu...” Sekali lagi Dini memohon maaf.
“Tak balik lagi ke?” soal Maira pelik.
Sisi wajah Dini diperhatikan. Kulit putih merah milik Dini kelihatan kemerah-merahan. Mungkin kerana berpeluh akibat latihan tarian yang dilakukan sebentar tadi. Oleh sebab hari itu merupakan hari terakhir latihan mereka sebelum pertandingan esok, maka semuanya menggunakan sehabis tenaga berlatih sebaik mungkin.
“Memang tadi dah nak balik, tapi tunggu Gun lambat sangat. Entah ke mana, itu yang Kit pergi cari. Takut nanti hilang, kena culik... Biasalah, anak tauke lombong... Manyak mahal itu tuan muda wooo...”
Maira tergelak kecil mendengar ayat Dini. Pertama kali mendengar Dini berbahasa dengan pelat Cina. Selama ini Dini fasih berbahasa Melayu.
“Awak nampak terlalu rapat dengan Gun dan Kit. Dah lama kenal mereka?”
Yup... Sejak dari dalam perut lagi.”
“Hah?”
Melopong Maira. Biar betul.
“Main-main aje la. Cikgu ni comel la... suka buat muka lurus bendul tu.”
Bergegar ketawa Dini memenuhi ruang taman di belakang Sekolah Persendirian Hamuddin Bistari itu.
Maira memalingkan wajah ke arah bertentangan sebaik saja mendengar pujian Dini. Dia comel? Oh no... dia cantik jelita okey! Hehehe.
“Loyar buruk juga awak ni ek?”
“Saya kenal Gun dengan Kit sejak sekolah rendah lagi. Tapi Kit lagi lama kenal Gun. Mereka berdua dah berkawan sejak kecil lagi,” terang Gun akhirnya setelah tawanya reda.
“Oh really? Lama tu... Tak sangka Gun pula bersikap setia kawan. Kalau tengok dari luaran, dia nampak terlalu keras dan sukar didekati.”
“Gun tu okeylah, cikgu. Sebelum kenal memanglah ramai yang cakap dia tu samseng yang bertopengkan kebaikan. Tapi sebenarnya, dia punya hati yang besar. Hati yang penuh dengan kasih sayang. Sesiapa yang rapat dengan dia, akan merasai kasih sayang yang ikhlas daripada hati dia. Saya tak perlu fikir akan keseorangan selagi dia ada dalam hidup saya. Susah atau senang, Gun sentiasa ada untuk kami.”
Hati yang penuh kasih sayang? Benarkah Gun memang mempunyai hati sebesar itu? Mungkinkah kerana itu dia merasakan perasaan yang berlainan setiap kali berhadapan dengan Gun? Menatap sepasang mata hitam bersinar milik Gun, membuatkan dirinya leka diulit rasa yang begitu indah.
“Kit dengan Gun bersahabat dari kecil? Maknanya... Kit anak angkat keluarga Gun. Macam itu ke?” soal Maira pelik.
Gun dan Kit yang berlainan agama... bagaimana mereka boleh kenal dan menjadi seakrab itu?
“Isy! Bukanlah... Keluarga Gun ada seorang permandu peribadi yang dipercayai, kami panggil dia babah. Atau nama sebenarnya, Arfandi. Lebih tepat... babah ni ayah Kit. Jadi tak hairanlah Kit memang dah biasa dengan keluarga Gun.”
“Oh, okey... Kit memang duduk dengan keluarga Gun ke?”
No. Mereka duduk di belakang rumah Gun. Uncle ada bina satu rumah untuk mereka. Sebab Kit kehilangan ibunya semasa dia berumur tiga tahun dan disebabkan tiada sesiapa yang menjaga Kit masa tu, uncle arahkan mereka duduk di rumah yang dibina khas untuk babah dan Kit. Kalau babah kerja, Kit akan ditinggalkan dengan umi.”
Umi? Itu kan nama panggilan yang Gun gelarkan untuk pengasuhnya sejak kecil.
“Babah tak kahwin lain ke?” soal Maira. Dia juga sudah turut terhasut menggunakan nama gelaran tersebut.
“Tak. Sebab babah nak tumpukan sepenuh perhatian kepada Kit. Tapi bila Kit umur lima tahun, baru babah kahwin. Itu pun tak bertahan lama... isterinya meninggal dunia tak lama lepas itu sebab kanser.”
“Kesiannya...” luah Maira. Tidak dapat dia bayangkan kehidupannya tanpa kasih sayang seorang ibu.
“Ya, kalau dengar memang kesian... Tapi Kit beruntung sebab dia duduk dalam keluarga Rajh Dhan. Hidup dia tak pernah kurang kasih sayang. Apa yang Gun dan Fetty dapat... Kit juga akan dapat. Macam mana uncle dan aunty sayang pada Gun dan Fetty... begitu juga mereka sayang kepada Kit. Kit sudah dianggap macam anak sendiri.”
“Awak pun kenal dengan umi?”
Yeah... of course. Wanita hebat yang saya sangat kagumi. Penuh kelembutan dan bersikap keibuan. Penuh kasih sayang. Mungkin kerana itu Gun, Kit dan Fetty menjadi manusia sempurna. Wanita yang menjadi kebanggaan Gun. Mereka beruntung kerana berpeluang merasai kasih sayang daripada umi,” terang Dini dengan semangat. Nampaknya Dini memang benar-benar menngagumi umi.
“Awak nampak terlalu banyak tahu mengenai keluarga Gun. Mesti awak dah biasa dengan keluarga mereka.”
Ermmm... bolehlah kalau nak dikira biasa... Tapi tak ada la rapat sangat.”
“Fetty tu memang betul adik kandung Gun ke?”
Maira sudah mula mengorek rahsia. Masih kurang percaya yang Fetty benar-benar adik kandung Gun. Mungkin saja lelaki itu menipu.
Yup. Memang adik Gun. Sama mak... sama ayah. Cuma rupa aje yang lain... Hehehe.” Dini tergelak sendiri dengan jawapannya.
Hmmm macam tak logik dan susah nak percaya aje kan...”
“Tau tak apa... Fetty cantik bak bidadari. Tapi Gun apa pun tak ada... Macam mana dia boleh jadi abang Fetty? Sepatutnya saya ni, baru layak. Sama cantik, sama handsome.”
Eh!!! Perasan pula Dini ni. Memang la dia handsome... ada rupa... Tapi Gun tetap lagi handsome dan menarik di pandangan matanya.
“Kalau awak jadi abang dia, tak dapatlah awak nak tackle dia...” Maira menyakat.
Tackle Fetty? Oh no!!!”
Why not?” Pelik Maira melihat Dini yang menggeleng bersungguh-sungguh.
“Nak mati kena rejam dengan Gun ke? Itu adik kesayangan dia... dah ibarat macam nyawa dia. Kalau sakit Fetty tu, Gun akan rasa lebih teruk sakitnya. Siapa yang nak ada isteri tapi kena berkongsi kasih sayang dengan abang ipar? Kalau Gun tak ada, rasanya dah lama saya terkam...”
“Begitu penting Fetty dalam hidup Gun? Sampai begitu sekali ke? Tipulah awak ni, Dini.”
“La buat apa pula saya nak tipu? Betullah. Nasib baik Fetty tu memang adik kandung dia aje... Kalau tak, agaknya memang Gun kahwin dengan Fetty. Hehehe...”
“Isy awak ni, ada pula cakap macam tu...” Maira menampar lembut bahu Dini.
“Hoi, nak balik ke tak nak... Orang suruh tunggu dekat kereta, bukan suruh merayau. Penat kami tunggu kau dekat kereta... tak muncul-muncul. Rupanya tengah syok buka diari dengan cikgu. Ada handphone... off. Lain kali, campak aje handphone tu kat landasan monorel... biar hancur... senang,” sergah Kit dengan tiba-tiba. Ayat macam marah, tapi tak menakutkan langsung. Marah dengan sopan dan santun... Muehehe.
“Ya. Ya... Sabar. Aku nak bangunlah ni. Mana Gun?”
“Tu...” Kit menjuihkan bibir ke arah lorong di hujung taman. Kelihatan Gun sedang bersandar tenang di tiang pondok yang terdapat di situ.
“Alaa jauh... kalau tembak pun tak kena...” Dini bangun sambil mengekori langkah Kit yang sudah berjalan mendapatkan Gun.
Bye sweetheart... Miss me okay!!!” Sempat Dini melambai ke arah Maira disertai kenyitan mata.
Dini dan Kit mendahului Gun berjalan laju ke arah tapak parkir kereta.
Maira hanya memerhati, melihat Gun. Otaknya kembali teringat akan peristiwa di gelanggang tenis sebentar tadi. Dini dan Kit yang memang sudah mengenali Gun dengan amat rapat pun takut ditembak ayat pedas Gun, inikan pula dia...
Tiba-tiba dia melihat Gun berhenti melangkah, lalu berpaling ke arahnya. Gun melirik ke arahnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Marah... atau menggoda...

Maira menahan debaran di dada. Hampir sahaja dia terlentang ditembak panahan mata milik Gun. Walaupun jauh... Gun tetap masih mampu menembak hatinya berkali-kali. Gun!! Awak kejam!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan