Jumaat, 15 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta

Bab 06


         KAKI melangkah masuk ke dalam kawasan gelanggang tenis. Kelihatan kesemua pelajarnya telah duduk bersila di atas kawasan gelanggang. Wah semua nampak seperti betul-betul bersemangat.
“Okey... Semua dah ada?” soal Maira.
Errr Gun, Kit dan Dini belum sampai, cikgu,” jawab Izuan selaku ketua kelas.
“Belum sampai? Gun tu sedar tak yang dia ketua bagi pertandingan ini. Hmmm... Nampaknya sudah ada yang kalah sebelum bertanding.”Maira tersenyum kemenangan. Tidak menyangka Gun akhirnya mengaku kalah. Penakut juga penyangak sorang tu.
“Pertandingan belum mula. Macam mana nak tahu sama ada kalah atau tidak...”
Maira berpaling ke belakang apabila mendengar suara Gun. Dilihat Gun bersama dua orang lagi pengikut setianya melangkah masuk ke kawasan gelanggang tenis.Maira mengetap bibir. Hmmm, boleh tahan berani. Tapi kita tengok setakat mana kemampuan peluru berpandu ini mampu pergi. Gun yang santai berseluar pendek paras lutut dipadankan dengan baju T-shirt lengan panjang itu dipandang lama. Lengan bajunya yang disingsing sehingga ke paras siku benar-benar membuatkan dirinya hilang pedoman. Kacak! Smart! Sehinggakan Kit dan Dini yang berada di belakang Gun langsung tidak menarik perhatiannya. Kawal, Ara... Ingat, dia hanya budak sekolah...
Why? Tergoda?” soal Gun berbisik di telinganya. Kenyitan mata daripada Gun menyedarkan dirinya yang terleka.
Errr. Ehem. Okey semua... ketua kita dah sampai. Sekarang mari kita mulakan latihan.” Maira menahan gugup. Tangan menyentuh dada yang berirama rock.
Dilihat kesemua pelajarnya bangun dengan penuh bersemangat. Dia hanya memerhati Kit dan Gun yang sedang sibuk memasang audio speaker. Ini semua mesti Gun punya perancangan.Setelah berbincang dengan kesemua pelajarnya, akhirnya terbentuk juga satu jenis tarian yang akan dipersembahkan. Bermula dengan tarian etnik tradisional, kemudian tarian berbentuk rap, K-pop dan akhir sekali antarabangsa. Bagi tarian antarabangsa, Gun telah menetapkan untuk melakukan tarian Bollywood. Mentang-mentang la dia berdarah India.
Melihat kesungguhan Gun menjalankan tugas membuatkan Maira mengukirkan senyuman tanpa sedar. Kesemua bentuk tarian banyak ditunjuk ajar oleh Gun dan dibantu oleh Kit dan Dini. Nampaknya Gun betul-betul tidak mahu nampak lemah di matanya. Leka dia memerhatikan kesemua pelajarnya ke hulu ke hilir melaksanakan arahan Gun. Dia selaku guru pula hanya terdampar di tepi gelanggang. Perasaan geram mula terbit apabila dirinya seolah-olah diabaikan.
“Cikgu rasa tak sesuai guna lagu ni. Kesemua lagu yang dipilih rentaknya seakan-akan sama. Tiada kelainan.
”Beberapa orang pelajar segera membuang pandang ke arah Maira.“Kami dah nak habis separuh step belajar, baru kau nak buat bantahan? Yang dari tadi jadi patung monumen kat tepi gelanggang tu buat apa? Aku tak kira, aku tetap nak guna lagu ni.
”Gun bercekak pinggang memandangnya. Wah... Gun marah... Baru hari ini dia nampak Gun berperasaan. Hilang terus muka tenangnya.
“Cikgu nak awak guna lagu yang cikgu bagi tadi... Baru la cheeky.”
“Tapi cikgu, kami dah buat step hampir separuh. Kalau tukar lagu, terpaksa ubah step juga.” Dini juga melancarkan bantahan.
“Kita masih ada seminggu. Banyak masa lagi. Kalau tiap-tiap petang kita turun buat latihan, mesti sempat. Cikgu nak tukar lagu juga.”Maira bergerak ke tempat sistem audio dan menukar lagu yang dipilihnya. Beberapa minit kemudian Sexy Love daripada T-Ara kedengaran dari sistem audio. Maira tersenyum bangga. Pasti tarian K-pop akan meletup dan seksi dengan lagu tersebut. Bersesuaian dengan tajuknya Sexy Love.
Gun yang sedang duduk di atas gelanggang dipandang sekilas. Diberikan senyuman kemenangan. Dia selaku guru, lagi berkuasa. Melihat muka Gun yang kembali tenang membuatkan Maira berasa panas hati. Dia lagi suka kalau mampu mengusik hati batu lelaki tersebut.
“Haaa, best kan lagu ni... Baru la seksi.”
“Rancak sangat, cikgu. Nampaknya memang kena tukar step juga la ni...” Dini menggaru-garu kepalanya. Rambut yang berceracak sebentar tadi habis berselerakan.
No dear... Rancak la baru best. Orang tengok pun bersemangat. Tak la layu aje... Betul tak?”Maira menyoal enam orang pelajarnya yang terlibat di dalam kumpulan tersebut. Masing-masing hanya menganggukkan kepala lambat-lambat. Terpaksa.
“Cikgu yakin... Dini mesti boleh buat step ikut rentak ni kan? Tak apa... cikgu bantu ya...” Bahu Dini yang tegap diusap-usap. Sesi pujuk memujuk dengan cara menggoda. Dia pasti Dini akan tersenyum lebar dengan anggukan kepala. 
Yahoo! Rasa ingin sahaja dia melompat bintang melihat Dini yang tersenyum meleret. Bukan susah nak pujuk lelaki ni...Tangan lincah mengeluarkan telefon pintar miliknya dan Google segala jenis tarian K-pop. Dini di sebelah hanya mengangguk setuju apabila dia menerangkan apa yang perlu dilakukan. Dunia IT zaman sekarang ni, bukannya susah. Semua di hujung jari... tekan-tekan, lepas itu pilih apa yang nak tahu.
Puas hatinya apabila beberapa pelajar lain juga turut mengangguk setuju dengan gerakan tarian yang dia mahukan.Sedang asyik memberi arahan dan melihat usaha Dini mengikut gerakan tarian di dalam video muzik kumpulan T-Ara tersebut, dilihat Gun tiba-tiba bangun lalu keluar gelanggang. Maira hanya memerhatikan muka tenang milik Gun berubah serius apabila selesai sahaja menjawab satu panggilan telefon.
Mata dilarikan ke arah bertentangan apabila melihat langkah deras Gun yang menghampiri Dini.  Berbisik sesuatu ke telinga Dini sebelum berlari-lari anak ke luar gelanggang. Muka yang selalu tenang itu berubah bengis dan menakutkan.
“Gun nak pergi mana tu? Kita belum habis sesi latihan lagi...” soal Maira kepada Dini apabila kelibat Gun hilang dari pandangan.
“Balik rumah...”
“Kenapa?”“Fetty kena... errr... Tak ada apa-apa la, cikgu. Gun sakit perut.”
Maira mengerutkan kening. Haih, macam ada sesuatu yang tak kena aje. Melihat Dini yang tergagap-gagap itu sudah cukup membuktikan lelaki itu berbohong.
Fetty... Siapa? Seperti dia pernah mendengar nama tersebut. Siapa Fetty? Kenapa Gun nampak terlalu emosi. Adakah gadis bernama Fetty itu terlalu penting sehingga Gun yang tenang boleh berubah menjadi seperti itu? Jelas dia melihat sebentar tadi riak muka Gun yang kelihatan risau dan nampak seperti marah. Isy, ini yang dia tidak suka. Kenapa selalu sahaja lelaki itu membuatkan hatinya dilanda garuda? Perasaan ingin tahu mengenai kehidupan Gun terlalu menyesakkan dadanya.
“Apa-apa aje la. Tak apa, dia tak ada pun kita kena teruskan latihan.”Bahu Dini ditepuk-tepuk perlahan.
“Nah, awak teruskan tengok video ni... Cikgu nak pergi tengok kumpulan yang lain...”   


KAKI melangkah malas menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Kelihatan Fina sedang khusyuk bermain PS3. Lumba kereta? Eeuwww tersangat la lelaki... Dah tak ada benda lain ke nak main Fina ni? Dengan duduk meniarap di hadapan TV seperti itu, nampak terlalu tidak senonoh di matanya.
“Duduk elok-elok tak boleh ke? Kita ni perempuan tak kira la kat mana sekalipun, imej kena jaga tau. Mana la tau kot-kot ada putera raja yang sedang mencari bakal isteri. Dia teropong dari jauh... boleh tembus masuk ke rumah. Kalau dengan cara duduk macam ni... reject terus.”
“Kakak ni drama tau tak. Tu cerita zaman dulu-dulu la... Mana ada putera raja macam tu dah sekarang ni. Kakak ni nampak aje moden tapi otak ketinggalan lagi rupa-rupanya.”
“Eh, kamu tu yang kolot. Sebarang kemungkinan boleh berlaku tau...”
Ermmm kalau putera raja tu macam tak logik sangat la, kakak. Tapi kalau musang berjanggut, Ana percaya... Haih kalau musang berjanggut... kakak la pula rugi...” Fina menayang gigi sambil duduk memeluk lutut di hadapannya.
“Kenapa kakak pula?”
“Sebab kakak tak pandai masak. Kalau musang berjanggut dah confirm la reject kakak terus...”Sebiji bantal dibaling tepat mengenai muka Fina.
“Eh kalau betul dia datang, tak sempat dia suruh kakak masak pun lagi terus dia masuk meminang tau. Tengok muka kakak yang cantik macam ni, tak sempat kelip mata punya. Lain la kalau kamu tu... belum sempat bagi salam dia dah pecut lima ratus meter tengok rambut kamu tu. Dah serupa penunggu gua...”
“Eh, ni fesyen la, kakak...” Fina memegang bahagian rambutnya yang hampir kusut masai.
“Fesyen apa? Kamu tengok majalah mana... Entah-entah kamu tengok fesyen terburuk... sebab tu la jadi macam tu...”
“Tak apa la, janji Ana tetap comel. Biar kakak sorang aje la pegang title cantik tu. Kalau semua dah cantik, siapa pula yang nak pegang title comel kan...”
“Menjawab aje kerja kamu. Tak malu ke perempuan pakai macam tu? Selekeh tahu tak? Malu kakak kalau nak jalan dengan kamu ni...”
“Alaaa, kalau lawa pun bukan kakak nak jalan dengan Ana juga.”
“Memang tak la... Sebab suara kamu tu bila bercakap, memalukan aje. Jadi perhatian hanya sebab suara kamu tu yang macam serombong kapal tu.”
“Okey apa... lain daripada yang lain.”“Biar kamu la. Kalau betul-betul ada putera raja nanti, jangan menyesal kalau dia pilih kakak.”
“Hah, baguslah tu. Kakak kahwin dengan putera raja, Ana boleh kahwin dengan Abang Fatah. Tak dapat anak raja, dapat mister handsome pun jadi la...”
Dush! Dush! Kali ini bukan sebiji lagi... tapi berbiji-biji bantal kecil di atas sofa itu habis dibalingnya ke arah Fina. Berani nak ambil mister handsome dia... Oh, tidak! Jangan harap!!!
“Hah, rasakan! Ada hati nak ambil Abang Fatah. Kalau kakak jadi kahwin dengan putera raja sekalipun, jangan harap sesiapa pun boleh dapat Abang Fatah. Sebab Abang Fatah akan jadi suami kedua kakak. Lagipun dia tak layak dengan sesiapa lebih-lebih kamu yang macam jin Ahmad Albab!”
“Amboi melampau la tu statement. Seburuk-buruk Ana pun, tak la sampai macam jin Ahmad Albab. Semua kakak nak. Tamak la tu!”Fina kembali membuat serangan balas. Ini tidak boleh jadi, asyik dia saja yang jadi mangsa. Maira terjerit-jerit mengelak balingan Fina yang laju berdesup. Ada sahaja kesempatan dia akan membuat serangan balas.
“Ya Allah budak bertuah... Eee, Ara! Ana!” jerit Harina dari arah dapur. Terkejut dia melihat kedua-dua anak perempuannya seperti dalam perang dunia ketiga.
“Abang!!!” pekiknya memanggil Alimuddin setelah melihat Maira dan Fina makin rancak membuat serangan balas. Bukan setakat bantal tetapi habis segala majalah dan surat khabar di meja kopi itu juga dijadikan bahan serangan.
“Anak ayah! Berhenti Ara, Ana!”Alimuddin memandang ke arah isterinya yang sudah ke hulu ke hilir di antara Maira dan Fina. Sekali tengok sudah macam aksi pengadil WWE pula.
Aksi membalas serangan masih diteruskan seperti dirinya tidak wujud. Suara Maira yang terjerit-jerit dan suara Harina yang memekik memanggil nama kedua-dua anaknya membingitkan keadaan.
Bammm! Tepat mengenai mukanya sebiji bantal. Bammm! Sebiji bantal lagi singgah di belakang badannya. Maira dan Fina terlopong melihat batang tubuh yang sedang berdiri di tengah-tengah antara mereka berdua... Alamak... ayah... Serentak Maira tersengih... melambai-lambai ayahnya.
“Hai, ayah...”
Alimuddin mengetap bibir. Sabar...Fina di belakangnya pula dipandang.
“Peace...” sebut Fina dengan muka seperti persalah menanti hukuman gantung.Harina sudah tersandar di atas sofa akibat keletihan. Pening!
“Apa hai-hai? Apa Peace-Peace? Ingat ayah ni tiang berhias ke?”
Errr... Bila ayah muncul? Kenapa tak cakap nak join contest ni... Ara dengan Ana memang saja main baling-baling macam ni. Baling-baling manja... menguatkan otot lengan... Kan, Ana?” Laju kepala Fina mengangguk bersetuju dengan Maira. Wah, tiba-tiba hari ini boleh satu kepala.
“Isi borang kat mana join contest ni?” soal Alimuddin sambil kedua-dua wajah ketakutan anaknya dipandang silih berganti.
Emmm... Contest dah tutup...”
“Tak apa... ayah buka balik. Ayah pun nak kuatkan otot lengan juga...” Serentak dengan itu, Alimuddin mengambil beberapa biji bantal dan lari bersembunyi di belakang sofa.
Bantal dibaling bertubi-tubi. Maira dan Fina yang tidak dapat mengagak tindakan Alimuddin, tidak sempat mengelak. Terjerit kedua-duanya. Mereka berdua juga pantas menyorok di belakang sofa dengan senjata serangan masing-masing.  
Harina yang melihat aksi serangan balas membalas itu menjerit nyaring. Kalau tadi Maira dengan Fina, sekarang bapak budak juga sudah masuk campur. Arghhhh... anak dengan ayah sama aje. Mental!


  HON ditekan berkali-kali. Keadaan Sabrina dan Hayati yang tergesa-gesa keluar dari pintu pagar mencetuskan perasaan geli hati. Semakin galak Maira menekan hon keretanya apabila melihat Sabrina menutup telinga dengan mulut yang terkumat-kamit. Membebel la tu...
“Eee, bingit la Ara,” marah Hayati sebaik sahaja menerobos masuk ke tempat duduk sebelah pemandu.
“Entah. Sejak bila pula kereta you ni dah jadi kereta jual aiskrim. Pon! Pon!” Giliran Sabrina pula yang membebel.Tangan menekan hon berulang kali sekali lagi membuatkan Hayati dan Sabrina menghadiahkan cubitan kecil ke lengannya.
“Mak ketam betul la... Kalau ada lebam kat lengan I ni, I saman you all berdua...” cebik Maira sambil menggosok-gosok lengannya. Berbisa betul tangan!
“Habis tu, memekak aje kerjanya. Malu kat jiran-jiran I tahu tak? Nanti dia ingat I berkawan dengan orang tak berapa cukup otak.”
“Wah, sesedap mulut aje Cik Hayati kita ni bercakap... I yang cantik macam ni boleh you kata tak berapa cukup otak...” Maira menjeling tajam.  
Pedal minyak ditekan sebelum meninggalkan pekarangan rumah banglo milik keluarga Hayati. Di dalam kereta, Sabrina dan Hayati menari-nari kecil mengikut rentak lagu di radio.
Arghhhh... my future husband!” jerit mereka serentak apabila lagu Sway dari Michael Buble berkumandang menggantikan lagu Grenade.
“I punya la...” marah Hayati.
“I la! You rendah sangat. Dia lagi sesuai dengan I.” Sabrina mencelah sebelum sambung menyanyi lagu berkenaan.
“Rendah dengan tinggi la sesuai. Kalau dua-dua tinggi nanti jadi pasangan KLCC pula.”
Okay, what... Dari macam KLCC dengan Menara Telekom, lagi tak sesuai, okey.”
“Eee, jangan nak berebut Michael Buble depan girlfriend dia, okey!” pintas Maira sebelum sempat Hayati menghabiskan ayat.
Girlfriend?” soal Hayati sebelum memandang Sabrina di tempat duduk belakang antara kerusi pemandu dan penumpang. Sebelum beralih pandang kepada Maira yang masih memandu.
“Semua lelaki handsome I punya...”
“Tamaknya you.” Sabrina membuat muka tidak puas hati.
So... kalau semua lelaki handsome you punya, maknanya... Gun pun you punya la ya... Ah, sesuai. Pencuri hati dan peluru berpandu.” Hayati menepuk-nepuk tangannya dengan gaya gedik.
“Eh, since when pula Gun tu masuk list mister handsome I?” bangkang Maira cepat. Gun? Handsome? Tak setuju!
“Dia memang tak handsome...”
“Ha, tau pun.”
“Tapi double handsome.” Laju Sabrina menyambung kata.
No! I tak akan mengaku dia handsome sebab dia memang tak layak.”“Ops, ada orang tercabar la... Kecantikan dikalahkan dengan kekacakan...”
Okay, fine. Gun handsome. Tapi hanya pada you all berdua. Finish it! Tak habis-habis sebut nama dia. Dah la setiap pagi pun I kena menghadap muka dia. You all sebut-sebut ni nanti tak pasal muncul penyangak tu.” Maira segera menaikkan volum radio ke tahap maksima. Stereng kereta dipulas kasar untuk menukar lorong ke bahagian paling kanan.
Arghhhh!!!” jerit mereka bertiga serentak apabila tiba-tiba ada sebuah kenderaan yang masuk ke lorong berkenaan sebelum Maira sempat berbuat demikian.
Cepat Maira kembali memusing stereng kereta supaya kembali ke lorong asal. Nasib baik keadaan jalan raya agak lengang. Jika tidak, pasti keretanya akan dihentam dari belakang. Membuntang mata Maira apabila melihat kereta yang hampir melanggarnya sebentar tadi. Honda hitam... stiker naga yang menghiasi kereta tersebut amat dikenalinya. Baru dia sebut, kini betul-betul muncul dan hampir mencium keretanya. Pedal minyak ditekan kuat sebelum kereta menderum laju mengejar kereta hitam berkilat tersebut.
“Ara! You gila ke? Slow down okey.”
Maira tidak mempedulikan jeritan Hayati di sebelahnya. Sabrina di kerusi belakang sudah bersandar sambil memejamkan mata.
“Ara. Slow down. Laju sangat ni!”
“I nak kejar kereta naga tu. You tak nampak? Hampir-hampir dia nak cium Volkswagen I ni tadi.”
“Tak payah la. You pun salah... nak tukar lorong tak tengok dulu.”Hayati menarik tali pinggang keledar. Waktu-waktu macam ini baru teringat untuk mengambil langkah-langkah keselamatan.
“You tak payah nak drama sangat boleh tak?” Mata dijegilkan apabila melihat Hayati yang mengangkat tangan seolah-olah berdoa.
“I tak kahwin lagi...”
Kereta berdesup ke kiri dan kanan tanpa mempedulikan kata-kata Hayati. Mungkin kerana menyedari diekori. Kereta milik Gun juga menderum laju.Maira mendongkol dalam hati. Geram! Jaga kau naga.Maira tersenyum puas apabila kereta naga itu mampu dilintasinya. Pasti muka tenang milik Gun sekarang telah berubah bentuk. Ya... itu yang dia suka. Cermin pandang belakang dipandang dua tiga kali bagi memastikan kedudukan kereta naga berkenaan tidak mempunyai peluang untuk memintasnya. Sedang elok memerhatikan cermin pandang belakang, hampir sahaja dia melanggar kereta yang tiba-tiba berada di hadapannya.
Akibat kejutan itu, Gun telah mengambil kesempatan memintasnya apabila Maira kelam-kabut menekan brek.Maira berdecit marah apabila mendengar kereta tersebut sengaja mengaum-ngaumkan enjin kereta semasa melintasinya. Pedal minyak kembali ditekan mengejar kereta milik Gun. Jangan harap dia nak mengalah!
Yahoo... Hahaha...” jerit Maira kegirangan apabila kereta Gun dilintasinya setelah hampir lima minit dia mengejar.
Huhuhu... Padan muka kau, naga!”
“Ara, kau gila tahu tak? Kalau tu samseng jalan raya macam mana? Eee, aku nak hidup lama lagi...” Hayati menarik-narik hujung lengan dress Maira setelah lama mendiamkan diri.
Haih! Diamlah.” Tangan menepis tangan Hayati sambil mata masih mengawasi kereta Gun yang berada dekat di belakangnya. Tiba-tiba pandangan matanya melekat pada simbol minyak keretanya yang berkelip-kelip.
“Tak guna!”
“You kenapa... macam samseng tahu tak? Sejak bila kau jadi kasar macam ni,” bebel Hayati apabila melihat Maira yang menjerit marah sambil menghentak stereng kereta.
“Kereta I nak habis minyak.” Stereng kereta dipusing masuk ke lorong kecemasan. Hati mendongkol marah apabila melihat kereta milik Gun dengan bergaya melintasinya. Menderum laju ke hadapan.
What?”
“Kereta I habis minyak. You pekak ke... tak dengar? Sekali lagi I ulang, kereta I habis minyak. Okey,clear?” ulang Maira apabila melihat muka terkejut Hayati sampai ternganga mulut.
Sudah la dia tengah bengang kerana terpaksa mengalah kepada peluru berpandu tersebut. Hayati pula boleh berkelakuan hodoh.
“I tahu la. Tapi macam mana you bawa kereta sampai minyak dah nak habis pun tak sedar.”
“I ingat tadi. Memang cadang nak isi. Tapi sebab kereta naga tu tadi... I lupa nak pergi isi...” Maira tersengih comel.
“Huh! You ni kan... Habis macam mana sekarang ni? Macam mana kita bertiga nak pergi spa ni? Takkan spa tepi lebuh raya ni.”
Bertiga? Serentak Maira dan Hayati berpaling ke belakang melihat Sabrina yang sedari awal langsung tidak bersuara.
“OMG!!!”
Terkejut mereka melihat keadaan Sabrina yang sudah melekat di tepi tingkap sambil tangan menutup mulut. Rambut yang pada awalnya disanggul kemas kini hampir sahaja bergerbangan.
“I pening...” adu Sabrina perlahan. Tangan masih menutup mulut.Maira dan Hayati saling berpandangan sebelum mengalih pandang ke arah Sabrina yang telah meluru keluar kereta.
Laju Maira dan Hayati mendapatkan Sabrina yang telah terbongkok-bongkok di tepi jalan.
Euwww... Rin...” Maira menggosok-gosok belakang Sabrina perlahan.Mata dipandang ke arah bertentangan. Tidak sangup melihat apa yang keluar dari mulut sahabatnya itu.
“You okey, Rin?” soal Maira apabila melihat Sabrina yang telah bangun berdiri.
Sabrina hanya menganggukkan kepala sambil tangan menyambut huluran tisu daripada Hayati. Masing-masing berpandangan sesama sendiri sebelum ketawa kuat. Sudah pakai cantik-cantik, sudah merancang untuk pergi memanjakan diri di salun kecantikan, akhirnya terpaksa berjemur di tengah panas terik seperti itu.
“I rasa macam duduk dalam bola dan digoncang-goncang kiri kanan tahu tak...”
“You tanya budak Ara ni, Rin... Sibuk nak jadi samseng jalanan. Tak padan dengan pakai dress pendek macam tu. Ada hati nak jadi samseng... Eee, I cekik-cekik juga anak Alimuddin ni nanti.”
“Kecut perut I tadi tahu tak? Nasib nyawa I panjang. Kalau tak, dah terbang melayang...”
“Alaa relaks la... Apa ingat ratu macam I ni tak mampu jadi samseng ke?” Maira tersengih comel.Vroom! Vroom!!! Serentak mereka bertiga berpaling apabila melihat kereta yang berhenti di hadapan kereta milik Maira.
“Alamak, Ara! Kereta tadi la... You la ni. Cari pasal dengan siapa entah. You tengok kereta dia tu... dengan stiker naga segala... Kongsi gelap mana la ni...” Cepat Hayati menyorok di belakang Maira. Macamlah Maira tu tegap sangat nak buat tempat perlindungan.
“Mati la kita... Eh, dalam kereta you ada pisau tak... parang ke...” Tangan menampar bahu Sabrina yang kelam-kabut ingin membuka pintu kereta.
“Relaks okey... Jangan jadi macam mak nenek boleh tak? Kalut semacam la you all ni...”
Maira menyilangkan tangan memeluk tubuh. Huh! Sibuk saja nak patah belakang semula.
“OMG... mister hand...”
Cepat Maira mengangkat tangan memberi isyarat diam. Tahu sangat ayat yang akan keluar dari mulut dua orang sahabatnya itu apabila melihat lelaki yang melangkah keluar dari kereta tersebut.Lelaki tersebut yang melangkah tenang ke arahnya diperhatikan. Dengan cermin mata hitam yang melekat di wajah serta T-shirt putih sendat menampakkan bentuk tubuhnya.Maira menelan air liur... Erkkk kacak! Kacak okey... bukan mister handsome...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan