Khamis, 14 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta

Bab 04

“SESIAPA yang ada idea dan pandangan, bagi tahu, mungkin lebih banyak pandangan akan lebih mudah kita memilih.” Wajah satu persatu para pelajar diperhatikan oleh Maira. Ada yang sedang tepat memandang ke arahnya. Ada juga yang sedang bercakap-cakap dengan teman sebelah. Mungkin sedang mencari dan berkongsi pendapat. Apabila pandangan jatuh ke arah Gun... serta-merta matanya menjeling. Menyampah! Cool, Ara...
“Saya rasa kita buat tarianlah, cikgu. Kelas-kelas lain dah banyak yang buat drama la... sajak la... dikir barat
pun ada. Setakat ini hanya ada satu kelas sahaja yang buat tarian,” cadang Maisara.
Maira menganggukkan kepala faham. Mata memandang ke arah pelajar lain sambil memberi isyarat mata jika ada idea lain. Hari kebudayaan sekolah yang akan diadakan pada awal bulan hadapan, jadi dia perlu
memastikan kelas Enam Atas Ibnu Sina akan memenangi pertandingan pada hari kebudayaan itu. Dia tak pernah kalah. Jadi dia tidak mahu kalah.
“Okey... nampaknya seperti semua sudah bersetuju. Cikgu pun berminat dengan idea daripada Maisara. Jadi kita akan buat tarianlah, ya. Setuju?” Jeritan persetujuan daripada seluruh kelas membuatkan Maira kelegaan. Nasib tiada bantahan. Kalau tak, pening pula nak fikir cari idea lain. Sekarang dia harus
memikirkan jenis tarian yang akan mereka buat sahaja.
“Bagus... kalau semua dah setuju, kita kena fikir pula tema tarian kita. Maisara awak ada idea tak nak buat
jenis tarian yang macam mana?”
“Zapin, cikgu.”
Erkkk. Zapin? OMG! Pandai ke dia...
“Selain daripada itu...” soalnya. Resah dalam hati ditutup sebaik mungkin.
“Errr... kita buat rap la, cikgu. Baru gempak,” cadang Hakim dengan bersemangat. Siap berdiri lagi.
“Okey... akan dipertimbangkan. Lagi?”
“Kita buat tarian tradisional la, cikgu... Kami tak reti rap-rap tu semua.” Faizuni membuka mulut.
Beberapa pelajar perempuan yang lain mengangguk setuju. Tetapi cikgu tak reti zapin!
“Cikgu. Tarian K-pop la. Baru stylo! Sekarang kan demam K-pop...”
Wah... K-pop. Maira teruja.
“Haaa... yang itu cikgu setuju.”
“Kami tak pandai la, cikgu...”
“Tak apa... tak pandai boleh belajar...” pujuk Maira.Janganlah zapin, boleh mati berdiri dia.
“Gun awak ada apa-apa idea?” Sengaja dia menyoal Gun yang hanya mendiamkan diri sedari tadi. Kaki melangkah mendekati Gun yang sedang enak bersandar malas di kerusi. Seronoknya jadi pelajar tua ni!
“Tarian naga.”
Ringkas. Perlahan. Tetapi cukup membuatkan hatinya menggelegak marah. Argh! Kalau dengan lelaki
bernama Gun, hilang terus keayuannya. Seisi kelas gawat dengan ketawa, tetapi Maira langsung tidak boleh ketawa apatah lagi untuk tersenyum.
“Good idea... Boleh la awak yang jadi bapak naga. Suits you well, my dear.” Punggung dilabuhkan ke birai meja Gun. Tangan disilang ke dada memeluk tubuh. Senyuman menggoda diukir.
“Kalau aku jadi naga, orang pertama yang aku nak adalah kau... Bukan untuk disembur, tetapi untuk dimakan dan ditelan hidup-hidup. Nampak menyelerakan.”
Bedebuk! Terasa jantungnya gugur dibelit usus-usus apabila tangan Gun menjalar ke atas pahanya yang
dilapisi skirt labuh. Sepantas kilat dia bangun dari bertenggek di atas meja berkenaan.
“How dare you!” Bibir diketap menahan geram. Suara dikawal sebaik mungkin. Ikutkan hati... mahu sahaja
dia memanggang kepala lelaki itu dengan tangannya. Biar leper!
“Jangan berserah kalau belum bersedia nak menyerah... Jangan nak menggoda kalau belum bersedia
untuk digoda. Jangan fikir untuk menjadi yang hebat selagi belum bertemu dengan yang terhebat.” Kepala masih menunduk. Hanya mata sahaja yang dinaikkan ke atas memandang Maira. Panahan mata naga itu tepat memanah ke arahnya. Bibir tersenyum senget. Sinis.
Jawapan yang keluar dari mulut Gun benar-benar membuatkan dirinya seperti ditimpa kontena. Sesak. Tidak
bernafas. Itulah, tadi berani sangat untuk menjadi penggoda. Dia fikir semua lelaki akan terpaut dengan
pencuri hati sepertinya.
Malas melayan Gun yang masih beriak selamba. Kaki pantas diatur ke hadapan kelas. Sempat matanya
melirik ke arah Kit dan Dini yang tersenyum mengejek.
Bagus! Sokonglah kawan awak yang perosak bangsa tu!
“Okey, kelas... back to the earlier topic. Cikgu dah putuskan, kita akan buat tarian campuran. Zapin, pop, rap dan sebagainya kita akan gabung dalam satu tarian.”
Suara sengaja dikuatkan bagi menghilangkan rasa malu kerana kalah menggoda peluru berpandu.
“Siapa yang akan jadi ketua, cikgu? Rasanya kita perlukan ketua untuk memudahkan sesi latihan nanti.”
“Soalan yang bagus, Sufian...” Terbit idea jahat daripada fikirannya.
“Gun. Awak akan jadi kita punya ketua untuk hari kebudayaan. Tiada alasan atau bantahan. Muktamad. Deal?” Mata memandang tepat ke arah Gun yang masih beriak tenang. Mata memberi isyarat ‘ada berani’? Puas hatinya dapat mengenakan Gun, walaupun reaksi Gun seperti tidak terkesan dengan cabarannya.
“Deal...”
Jawapan yang memeranjatkan. Gun menyahut cabarannya. Dilihatnya lelaki itu yang selamba melurut rambut ke belakang sebelum menyumbat telinga dengan fon telinga MP3.
“Cikgu akan cari lagu-lagu yang sesuai. Awak semua pun kalau ada lagu yang menarik boleh bawa nanti.
Petang esok kita akan mulakan sesi latihan. Cikgu harap... tiada yang terkecuali...” Sengaja ditekankan perkataan terkecuali supaya Gun faham akan maksudnya. Walaupun dia sendiri tidak pasti sama ada telinga yang disumbat dengan fon telinga MP3 itu masih berfungsi untuk mendengar suaranya ataupun tidak.



PINTU diketuk perlahan sebelum melangkah masuk. Kelihatan Alimuddin sedang khusyuk memerhati
komputer riba di depan mata. Punggung dilabuhkan ke atas kerusi di hadapan Alimuudin.
“Ayah busy ke?”
“Tak adalah. Tengah semak aktiviti tahunan sekolah... Kenapa tak balik lagi ni? Selalunya masa macam
ni, Ara dah selamat dengan kawan baik Ara dua orang tu.” Alimuddin melihat jam di tangan sekilas.
“Ara ada perkara nak tanya ayah...”
“Mengenai apa? Ara ada masalah dengan kelas ke?”
“Tak. Ara nak tanya pasal studen Ara.”
“Kenapa? Ada studen yang cuba menggoda anak ayah ni ke...”
“Bukanlah...”
Isy, Alimuddin ni. Tahulah dia cantik seperti ratu, tetapi takkanlah sampai studen sendiri pun ada yang nak
menggoda. Kecuali Gun yang memang tak cukup sifat itu. Tapi itu bukan menggoda sebaliknya nak membunuh dirinya.
“So?”
“Ayah kenal tak dengan Keith Rajh Dhan atau Gun?”
Melihat ayahnya menganggukkan kepala, makin bersemangat Maira untuk bertanya.
“Danny Ah Yen atau Dini. Dengan Mohd Syukri bin Arfandi atau Kit. Ayah kenal?”
“Ya... of course ayah kenal... Studen ayah yang cukup terkenal.”
“Jadi ayah tahu pasal mereka? Kenapa pihak sekolah tak ambil apa-apa tindakan?”
“Tahu yang bahagian mana tu? Terlalu banyak pasal mereka yang semua orang berminat nak tahu.
Terutama sekali Gun.”
“Apa yang ayah tahu?” Maira pula yang bermain teka-teki dengan Alimuddin.
“Ayah tahu dia anak pemilik lombong emas Amrith Rajh Dhan. Seorang yang kaya raya dan banyak
menyumbang kepada sekolah kita. Dan ayah juga tahu dia seorang yang terlalu mempersona sehingga Ara pencuri hati turut terkena personanya.”
“Owh, please... Persona Ara lagi kuat daripada dia,” bantah Maira tidak mahu kalah. Tolonglah ayah ni!
Dia nak terpersona dengan Gun? Tidak mungkin!
“Apa yang Ara nak tahu pasal dia?”
“Ara nak tahu, kenapa pihak sekolah boleh biarkan mereka bertindak sesuka hati? Datang lambat...
balik awal daripada studen yang lain. Lepas itu, langsung tidak menghormati guru yang mengajar. Mereka seolah olah datang ke sekolah hanya untuk menghabiskan masa. Takkan ayah nak biarkan saja? Semua tu boleh memberi imej yang buruk kepada pelajar-pelajar lain. Apa yang specialnya mereka bertiga?”
“Selagi mereka tidak mengganggu pelajar yang lain, kita memang tidak boleh berbuat apa-apa, Ara. Yang
penting mereka datang ke sekolah dan yuran sekolah dibayar tepat pada waktunya. Lagipun mereka bertiga tu memang dah bayar yuran untuk setahun sekali gus. Sama ada mereka hendak belajar ataupun tidak... Itu terpulang. Ini sekolah persendirian, Ara... kita tiada hak untuk memaksa. Jika betul mereka tidak mahu belajar, mereka tidak mungkin akan datang ke sekolah ini. Kalau sampai mereka mendatangkan kecederaan atau membuat gangguan kepada pelajar atau guru, baru pihak sekolah boleh mengambil tindakan.”
Maira terdiam sejenak. Alimuddin memerhati anak gadisnya yang terdiam seperti memikirkan sesuatu. Dari awal lagi dia sudah boleh mengagak akan perkara ini. Pasti Maira akan membangkitkan isu tersebut. Maira pasti akan berminat untuk mengetahui perihal lelaki yang berani menolak kebenaran nilai kecantikannya. Namun Alimuddin juga tidak boleh berbuat apa-apa kerana setakat ini Gun, Kit dan Dini tidak pernah bertindak di luar batasan. Mereka hanya berada di dalam dunia mereka sendiri. Lagi pula, Amrith Rajh Dhan ialah penyumbang terbesar tabung kebajikan sekolah mereka.
“Tapi tadi dia raba Ara!”
Terbangun Alimuddin dari kerusi yang didudukinya. Maira ditatap lama. Seketika kemudian, dia
kembali duduk. Tersenyum tenang. Terkelip-kelip Maira memerhatikan ayahnya.
“Ayah... Dengar tak ini... dia raba Ara...”
“Ya... ayah dengar...”
“Habis tu, kenapa ayah masih nak senyum-senyum...”
Maira bengang. Suka agaknya orang raba anak dia.
“Sebab ayah tahu anak ayah macam mana...”
“What?”
“Dia tak akan berani raba Ara kalau Ara tak berani untuk menggoda dia... I know you very well... Lagipun Ara sendiri yang cakap sebelum ini. Gun langsung tidak tertarik kepada Ara. Then why should he do that?”
Dushhh! Terasa pijar kulit muka ditempelak ayahnya.
“Ara... errr... Ara... tak akan goda dia la. Dia... Dia bukan cita rasa Ara...” Tergagap-gagap Maira membela diri.
“Ara... Setakat ini Gun tak pernah buat kes lagi... Kalau dia berani goda Ara, macam pelik pula. Kalau orang lain yang goda dia, ayah percayalah. Betul ini Ara tak tergoda dengan dia? Gun memang mampu mencuri perhatian. Jangan tipu ayah. Ayah tahu anak ayah. Selalu sangat test market sebagai pencuri hati.”
“No! Ara tak akan terpikat dengan dia. Menjengkelkan. Dingin. Berlagak. Sombong...” tekan Maira.
“Hmmm... Okey... Ayah akan siasat perkara ini. Terima kasih sebab mengambil berat mengenai perkara ini.”
“Kalau Ara dapat buktikan dia memang berniat tidak baik kepada Ara, Ara nak ayah buang dia dari sekolah
ni.”
“Kenapa Ara tak suka sangat dekat Gun? Kit dan Dini tidak ada pula Ara sebut-sebut.”
“Sebab Gun tu yang ketua penyangak. Kit dan Dini tu cuma pengikut yang setia...”
“Ara tak jawab lagi... Kenapa Ara tak suka sangat dengan Gun...”
Ligat kepala Maira berfikir.
“Sebab Ara tak suka la. Menyampah. Tak ada sebab lain.” Tidak mungkin dia hendak memberitahu ayahnya
bahawa dia benci dengan sikap Gun yang sentiasa membuatkan jantungnya bergolek jatuh. Wajah tenang itu
benar-benar mencabar dirinya sebagai pencuri hati. Hilang persona ratunya setiap kali berdepan dengan wajah kacukan Indian Germany itu. Dia juga benci untuk menatap mata naga milik Gun yang selalu sahaja membuatkan hatinya hangus terbakar.
“Jawapan macam budak-budak...” Alimuddin ketawa kecil.
Maira merengus geram.
“Okey... Ara akan buktikan kepada ayah yang ketua penyangak tu memang tak layak ada dalam sekolah
ini. Umur dah tua macam tu memang otak dah beku.” Maira bangkit. Kaki dihentak-hentak geram sambil melangkah ke arah pintu. Sengaja, protes!
“Ara... kontrol... Ingat... pencuri hati kena sentiasa senyum menggoda. Jangan yakin sangat, nanti hancur
ditembak peluru berpandu.” Alimuddin mengingatkan Maira mengenai tingkah lakunya yang berjalan dengan kasar. Dapat didengar dengusan kuat Maira yang kegeraman ditegur begitu sebelum pintu biliknya tertutup rapat.
Alimuddin menggelengkan kepalanya. Nasib baik juga Maira masih sanggup untuk terus menjadi guru kelas
Ibnu Sina. Sedegil-degil Maira, dia tahu Maira tidak akan buat kerja separuh jalan. Semangat tidak mahu mengalah anak gadisnya itu terlalu kuat. Dan dia juga yakin Maira pasti akan dapat mengubah seratus peratus hidup Gun suatu hari nanti. Peluru berpandu dan pencuri hati... siapa yang akan mengalah dahulu...
Maira menutup kuat pintu keretanya. Geram! Geram kerana gagal menghasut ayahnya dengan fakta-fakta
jahat mengenai Gun. Kenapa semua orang seperti dipukau dengan kuasa lelaki bernama Keith Rajh Dhan itu? Di dalam kelas juga seperti semua pelajarnya sangat menghormati Gun. Ahhh... mungkin kerana faktor umur Gun yang sudah terlajak. Alunan lagu primadona daripada kumpulan Marina and The Diamond mengejutkannya. Siapa pula yang hantar mesej masa dia tengah berangin satu badan ini?
Namun angin sejuk mula menyerang hati apabila melihat nama Fatah. Terasa bahagia dalam hati. Laju tangan
menekan butang Open.

Sayang... you kat mana? -Fatah

Kat sekolah. Baru nak balik. Why? Miss me?-Maira

Rindu... itu sudah semestinya... -Fatah

Then. Jom jumpa I. -Maira

Sorry dear... I ada kes sekejap lagi. Saja mesej you ni. Ambil semangat. -Fatah

Kalau nak lebih semangat, biar I jumpa you... -Maira

Dapat mesej dengan you pun dah cukup buat I bersemangat. -Fatah.

Ahhh... bahagianya... Ayat-ayat Fatah sentiasa membuat hatinya berbunga-bunga bahagia.

Tapi you tak nampak muka I... – Maira

Muka you sentiasa ada dalam hati I. Terselit kemas di sudut hati I. Kalau jumpa you nanti, I takut I tak sampai hati pula nak pergi mahkamah tinggalkan you... -Fatah

Maira tersenyum simpul. Pencuri hati yang kalah dengan aura Fatah.

Darling... You are so sweet... Jangan sesakkan dada I dengan ayat-ayat manis you. -Maira

I hanya mampu buat ayat manis bila ada kekasih semanis you... -Fatah

Semakin lebar senyuman Maira. Hanyut dilamun cinta dengan Fatah si mister handsomenya. Skrin telefon ditatap penuh minat. Wallpaper gambar dirinya dan Fatah sewaktu majlis pertunangan mereka tiga bulan lepas. Fatah yang segak bergaya dengan kemeja hitam putih. Sedondon dengan dirinya memakai dress putih bersih. Dialah insan paling bahagia apabila sah menjadi tunangan kepada lelaki itu. Dia sentiasa berdoa agar hubungan mereka yang telah terjalin hampir dua tahun itu akan menemui pengakhiran yang bahagia. Hatinya telah sarat dengan perasaan cinta dan sayang kepada Fatah. Tidak mungkin dia mampu untuk menghapuskan nama lelaki itu yang telah tersemat kukuh dalam hatinya.
Terasa diri diperhati. Pantas kepala dipusing ke arah tingkap. Hampir sahaja dia melatah apabila melihat Gun yang berdiri memeluk tubuh di tepi tingkap keretanya. Pandangan mata naga milik Gun tajam memandang ke
arahnya. Leka... khayal dia memerhati wajah tenang tanpa sebaris senyuman itu. Menggelabah dirinya apabila tersedar dia hampir saja musnah ditembak peluru berpandu. Mata dijegilkan memandang Gun. Kantoi tersenyum berangan akan tunang sendiri sebentar tadi. Gun membuat isyarat dengan menggunakan jari telujuknya. Dipusing-pusingkan di bahagian tepi kepalanya. Mulut bergerak menyebut perkataan gila.
Panas. Terbakar. Itulah reaksinya setiap kali berhadapan dengan Gun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan