Sabtu, 16 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta

Bab 09

PENDINGIN HAWA diturunkan ke tahap suhu paling rendah. Tubuh dihenyakkan malas ke atas katil bercadar corak rama-rama berwarna merah jambu. So gegirls... Menikmati perasaan lega dapat meluruskan pinggang setelah seharian ke hulu ke hilir bersama kawan baiknya yang berdua itu. Baru sahaja matanya ingin terlelap tiba-tiba dirasakan tilam di belakangnya senget sebelah.
“Ana!!!” jeritnya nyaring apabila melihat Fina sedang elok bergolek di atas tilamnya.
Terpisat-pisat Fina menggosok telinga mendengar suara lantang Maira. Tegak segala bulu romanya.
“Apa kakak ni jerit-jerit? Ana bukan pekak la.”
“Lagi mahu banyak bunyi. Yang Ana tiba-tiba masuk bilik kakak ni apa hal?!”
Maira bersila di atas katil menghadap Fina yang masih enak berbaring sambil memeluk bantal golek.
“Saja. Bosan sorang-sorang. Boleh girls talk dengan kakak.”
“Banyak la awak punya girls talk. Sedar sikit diri tu. Perangai macam jantan. Mahu mati topik kakak kalau bercakap dengan awak. Dah, bangun cepat!”
“Tak nak!”
Fina mengeraskan badan apabila Maira menarik lengannya.
“Bangunnn!!!”
“Tak nakkk!!!”
Semakin kuat jeritan arahan Maira, semakin kuat juga jeritan Fina.
Okay, fine. Tapi duduk diam-diam. Jangan nak dekat-dekat dengan kakak.”
Tersengih Fina apabila akhirnya Maira mengaku kalah. Hurmmm... macam tidak percaya pula Maira mengaku kalah dengan mudah.
“Kenapa kakak tak nak cakap dengan Ana? Kita ni berdua nama aje adik-beradik. Kalau kakak tak nak cakap dengan Ana, habis tu Ana nak cakap dengan siapa lagi?”
“Pergilah cakap dengan ayah, ibu.”
“Ayah dengan ibu dah dating berdua. So kita berdua la. Adil.”
“Kakak tak ada apa nak cakap dengan awak. Selagi awak tak jadi perempuan sejati, jangan harap kakak nak dating dengan awak.”
“Laaa... nama pun dating. Haruslah lelaki, perempuan.”
“Loyar buruk pula!”
“Sakit la udang galah...”
Kelam-kabut Fina mengelak cubitan yang singgah ke badannya. Cubitan Maira boleh tahan, macam kena pulas dengan pemutar skru. Berbisa...
“Kalau nak loyar buruk, pergi masuk Lawak Ke Derrr. Kakak tak ada masa nak bergurau dengan awak.”
“Alaaa... itu pun nak ambil serius. Suka-suka kan membawa bahagia.”
“Kalau dengan awak, kakak tak pernah nak kenal erti bahagia.”
“Yalah tu... Suatu hari nanti baru kakak sedar yang Ana ni satu-satunya adik kakak. Sebenarnya penting dalam hidup kakak.”
“Dah... tak payah nak buat sesi Bersamamu pula kat sini. Kalau nak bising-bising, keluar.”
Fina mengangkat tangan membuat aksi tabik mendengar arahan Maira. Tubuh kembali berbaring membelakangkan Fina. Mata kembali dipejam bagi merehatkan otak seketika.
“Wah! Stylo gila ar... Kakak! Kakak...”
What... Tadi dah janji kan tak nak buat bising?”
Dengan mata yang masih terpejam, tangan menepis tangan Fina yang menggoncang-goncangkan bahunya.
“Tengok la ni. Pergh... Hot gila la. Bodi dia kemas. Tegap. Gagah. Ni kalau dapat, memang peluk tak lepas.”
Bulat terus mata Maira. Hot? Bodi kemas? Tegap? Gagah? Lelaki kacak!!! Sepantas kilat Maira bangun menghadap Fina.
“Manaa... Mana!” Bersinar-sinar biji matanya.
Wah... boleh tahan juga Fina ni. Ingatkan jantan sangat. Rupa-rupanya layan juga lelaki-lelaki terkacak ini.
“Nii...” Hampir juling biji matanya melihat apa yang ditunjukkan oleh Fina.
Wohaaa!!! Dia sudah terasa ingin membuat aksi lompat bulan dua puluh kali. Bukan kerana teruja melihat lelaki kacak, tetapi kerana ingin membuang rasa panas terbakar yang sudah marak dalam hati. Superbike? OMG... ini bukan kacak. Ini boleh bikin rambut terpacak.
“Fina Khairana. Ini sudah melampau!!!”
Laju Maira mengambil majalah yang berada di tangan Fina. Fina segera menyelamatkan diri menyelinap masuk ke dalam comforter. Jika tidak, pasti badannya menjadi mangsa pukulan Maira. Silap hari bulan boleh masuk kes dera.
“Keluar. Jangan nak menyorok. Ingat badan awak tu kecik sangat ke?”
Sehabis tenaga Maira cuba menarik comforter yang menjadi benteng persembunyian Fina.
Sorry... Ana gurau aje. Kakak ni cepat sentap betul la.”
Akhirnya Maira terpaksa mengalah. Penat dia mahu berlawan tenaga dengan Fina. Silap hari bulan dirinya yang lebam, bukan Fina. Gadis itu bukan boleh kira, kasar yang amat.
“Kakak ni garang betul. Tak takut ke Abang Fatah cari lain?”
“Kakak garang hanya dengan orang-orang yang masuk list menjengkelkan.”
Ops lupa. Kalau dengan Abang Fatah, kakak bertukar jadi Marilyn Moore. Ahaksss... gediks gitu...” laung Fina dari dalam comforter.
“Mulut tu, jangan nak start lagi.”
Beberapa minit keadaan kembali senyap sunyi. Terhendap-hendap Fina mengeluarkan kepala dari comforter. Dilihat Maira sedang duduk menghadap almari pakaian. Entah apa yang dibelek pun tidak pasti.
“Kakakkk...” Meleret Fina memanggil.
“Apa lagi?!” sahut Maira tanpa menoleh.
“Betul ke kakak nak sambung studi dekat Volgogorad State Medical.”
“Betul la. Bila pula kakak kata main-main? Ingat kakak macam awak ke, tak ada matlamat hidup.”
“Jangan pandangku sebelah mata... Hanya kerana aku bukan wanita...”
Maira menjeling geram mendengar nyanyian yang disumbangkan oleh Fina. Loyak buruk lagi!
“Mengaku pula! Awak tu bukan macam perempuan.”
“Lagu aje pun. Nampak aje Ana macam ni, tapi still ramai admire tau. Sekali kenyit beratur yang pegang borang.”
Fina mengenyitkan matanya sambil tersenyum lebar memandang ke arah Maira. Dia ni bukan reti kena marah, 24 jam sengih. Sesuai mintak kerja jadi badut sarkas.
“Hah mana! Tak ada pun yang beratur... Kata tadi sekali kenyit...”
Hehe...” Sekali lagi tersengih.
“Tak risau ke tinggalkan tunang kakak tu lama-lama? Empat tahun, lamaa tuuu...”
“Kenapa? Awak nak masuk jarum?”
“Eh, bukan la macam tu. Walaupun kakak tak berapa suka dengan Ana ni, tapi Ana adik yang baik tau. Tak mungkin Ana tikam kakak sendiri dari belakang. Tapi Ana akan tolong jadi spy untuk kakak sepanjang kakak tak ada nanti.”
Spy konon... Tak payah. Kakak percaya dengan tunang kakak sendiri.”
“Isy, orang lelaki ni jangan percaya sangat. Kakak ni nama aje pencuri hati. Takkan tak masak lagi dengan perangai lelaki? Lebih-lebih lagi, Abang Fatah tu five stars. Markah penuh! Muka kacak gila, berduit, sweet-sweet... Memang dari jauh lagi dah nampak sinaran berkelipan. Haih... berbahaya!”
Wah melampau betul budak Fina ni!
“Bukan main lagi memuji. Dah, awak jangan nak racun fikiran kakak.”
Maira mengecilkan mata memandang ke arah Fina yang masih enak bersantai di dalam comforter.
“Sepatutnya kakak takutkan dengan semut gatal tu!”
Heh! Banyak la dia punya sumpahan. Semut gatal?
“Semut gatal apa pula awak ni?”
“Ala Husna tu. Perempuan perasan hot tu la. Semut gatal la tu, pantang ada gula mahal. Tahu aje. Cepat aje nak datang hurung.”
“Semut gatal awak panggil dia? Hahaha. Ha, kali ni kakak setuju dengan awak.” Boleh tahan juga mulut Fina ni.
“Betul apa. Pantang ada Abang Fatah, mula la nak mengatal. Meluat Ana tengok. Baik kakak hati-hati. Kakak ada pun dia berani nak menghurung, ini kan kakak tak ada. Empat tahun tu, macam-macam cara dia boleh buat tau.”
Terdiam Maira mendengar kata-kata Fina. Hurmmm kadang-kadang bijak juga Fina ni.
“Semut gatal tu memang kakak tak percaya. Tapi dekat Fatah, kakak percaya dia dua ratus peratus. Dah, jangan nak racun fikiran kakak lagi. Pergi keluar, kakak nak mandi.”
Tuala di penyidai dicapai malas dan mengorak langkah masuk ke dalam bilik air. Lagi lama melayan Fina, makin banyak pula ayat yang membuatkannya tidak sedap hati. Dia tahu, Fatah seorang yang setia dan boleh dipercayai. Dia pasti dia tidak salah menilai.



“KENAPA ni... Tiba-tiba aje ajak jumpa. Petang tadi I mesej ajak keluar, you kata nak rehat?” soal Fatah apabila punggung Maira mencecah kerusi di tempat duduk penumpang. Akibat asyik memikirkan kata-kata Fina, akhirnya Maira membuat keputusan untuk menemui Fatah.
“Sayang... Dengar tak I tanya ni?” soal Fatah lembut sambit mencuit hidung Maira.
“Dengar...” jawab Maira sepatah.
Then...”
I miss you...”
Tersenyum Fatah mendengar suara Maira yang meleret manja. Dengan sebelah tangan memegang stereng kereta, sebelah lagi mencari jemari Maira. Jemari kanan Maira ditaut dan dibawa ke bibirnya. Dikucup lembut.
Darling...” panggil Maira lembut. Badan dipusingkan menghadap ke arah Fatah yang tenang memandu.
Hmmm...”
“You sayang I tak?”
Tertoleh kepala Fatah memandang ke arah Maira sebaik saja mendengar soalan tersebut. Tumpuan kembali difokuskan ke arah jalan raya yang agak lengang.
Of course I do...” Jemari Maira digenggam kuat. Cuba menyalurkan keyakinan ke dalam diri Maira.
Sayang, are you okay?” soal Fatah apabila melihat Maira hanya diam dan tidak bertindak balas. Hanya memandang ke arahnya tidak berkelip.
Dia memberhentikan kereta di bahu jalan. Brek tangan ditarik. Badan dipusingkan menghadap ke arah Maira.
Are you okay?” soal Fatah lembut. Membetulkan juntaian rambut Maira yang menutupi dahi.
Tersenyum kecil Maira dengan perilaku Fatah. Melihat renungan lembut milik Fatah sahaja sudah cukup membuatkan hatinya jatuh cinta berkali-kali.
“Okey. I cuma takut you dah tak sayang I...”
Fatah menarik Maira masuk ke dalam pelukannya. Memeluk tubuh itu kemas. Beberapa detik mereka hanya diam tanpa bersuara.
“Perasaan sayang I kepada you tak mungkin akan hilang. Even, kalau betullah kehidupan selepas kematian itu wujud, I tetap nak you jadi perempuan istimewa dalam hidup I. Seorang Maira Khaisara yang begitu istimewa. Tiada yang kedua mampu menjadi sehebat you.”
Terasa ketat dadanya, sebak mendengar ucapan yang keluar dari bibir Fatah. Ya... lelaki itu memang terbaik untuk dirinya. Hanya dia yang tidak yakin kepada hati yang tulus milik Fatah. Kenapa dia harus mempercayai kata-kata daripada Fina? Sebagai tunangan lelaki itu, seharusnya dia yang lebih memahami perangai sebenar Fatah.
“Kenapa tanya soalan bonanza macam tu... Hmmm?” soal Fatah seraya melepaskan pelukan.
“I cuma risau nak tinggalkan you nanti. Empat tahun bukan sekejap. Macam mana kalau semut gatal tu datang hurung you?”
“Semut gatal?”
“Husna...”
Ketawa kecil Maira dengat kata-katanya sendiri. Semut gatal. Nampaknya dia sudah terpengaruh dengan jolokan yang diberikan oleh Fina kepada Husna.
“You panggil dia apa?”
“Semut gat...”
“Semut gatal.”
Belum sempat ayatnya dihabiskan, Fatah terlebih dahulu menyambung. Luas senyuman Fatah mendengarkan perkataan tersebut.
“Kenapa you panggil dia macam tu?”
“Ana yang cakap. Tapi memang betul pun, semut yang pantang nampak benda manis. Cepat aje datang menghurung. Lebih-lebih lagi kalau semut gatal, sambil menghurung sambil menggigit.”
“Baik dia hurung you. You lagi manis. Sampaikan I sekarang tak boleh lagi dah makan benda manis. Takut kena kencing manis. Yalah... hari-hari tengok muka you yang manis ni pun dah cukup berisiko nak kena potong kaki.”
“Amboi... ayat tak menahan.”
Lebar senyuman Maira mendengar ayat manis bergula Fatah. Orang cakap pasal dia, dia cakap pasal kita pula.
“Haa kan sweet senyum macam tu. Sayang... Hurmmm you jangan la risau pasal I. Semut gatal tu takkan mampu menandingi ratu semut depan mata I ni. I yang sepatutnya risau you duduk jauh kat negara orang tu.”
Alahaii comel betul Fatah buat mulut muncung macam tu. Peguam hebat bertukar jadi kanak-kanak Ribena.
“Kenapa pula I?”
“Yalah, sebab you tu cantik menarik. Pandang berkali-kali pun tak puas. Dibuatnya nanti you menggoda lelaki bermata biru kat sana, I juga yang merana...”
“Mengarut you ni. I sayang you sorang aje. Only you, my mister handsome! Tak mahu dah lelaki lain, mata biru ke... hijau ke... kuning merah sekalipun. I nak yang bermata hitam depan I ni aje...”
Melihat muka kacak di hadapannya, tangan mulalah gatal memainkan peranan. Lengan Fatah digosok-gosok lembut. Dari lengan naik ke bahu. Tindakan luar kawalan jika bersama lelaki itu.
“You tak payah pergi sana la. Kalau you tak belajar tinggi-tinggi pun I still mampu tanggung you. Marry me please?”
“You lamar I ke?”
Yeah... Daripada I terpaksa tahan godaan you macam sekarang ni, lebih baik I ajak you kahwin.”
Fatah mengukir senyuman nakal. Terhenti tangan Maira yang asyik menjalar.
“Gatal!” Lembut Maira mencubit lengan Fatah.
“Dia yang gatal... Cakap I. Siapa yang goda siapa dulu?”
Tersenyum Maira membalas pandangan mata Fatah yang merenung lembut ke arahnya.
“Sayang, you tak payah pergi la...”
No, Fatah. You tahu kan I memang dah tunggu lama peluang ni. Lagipun ini harapan parents I juga. You jangan la risau, I takkan menggoda atau jadi pencuri hati kat sana. Sebab hati ni pun dah dicuri oleh encik abang handsome ni. I janji... I akan setia dengan you. Selagi cincin ni ada di jari manis I, selagi itu I akan tetap jadi tunang you.”
Hurmmm okey...” Akhirnya Fatah mengalah juga dengan pujukan Maira.
“Tapi you kena janji satu perkara.”
What?”
“Jangan pakai seksi seksa macam ni kat sana.”
Fatah memuncungkan mulutnya ke arah pakaian Maira. Maira juga ikut memandang ke arah pakaian yang tersarung di tubuhnya. Legging berwarna merah dipadankan dengan blaus besar yang berwarna putih bersih. Santai. Seksi ke ni?
“Seksi ke macam ni?”
Of course. Warna merah tu buat kaki you nampak menarik.”
“Okey... fine... Nanti I pakai kain batik dengan baju kurung Kedah aje sepanjang masa. Ha, baru la gaya orang yang mencintai pakaian tradisional.”
“Main-main ya!”
Tergelak Maira melihat Fatah yang menjegilkan mata. Nak marah, tapi muka tak garang langsung.
“Lagi satu kat sana, you jangan nak goda sesiapa macam apa yang you buat kat I tadi.”
Amboi, siap angkat jari telunjuk lagi... tanda amaran la tu kononnya. Comel pula bila Fatah terang-terangan menunjukkan rasa risau akan dirinya.
“Senyum pula. Faham tak ni?”
“Faham, darling... You are so sweet...” Leher Fatah dirangkul dan tubuh tegap itu dipeluk erat. Menzahirkan perasaan sayangnya yang tidak terhingga.
“Baru aje I tegur tadi, you dah jadi penggoda semula. Faham ke tidak sebenarnya you ni, sayanggg...” Meleret suara Fatah, manja.
“Faham, sayanggg... I cuma goda you aje...” ajuk Maira meniru aksi manja Fatah.
“Nakal!”
Hidung Maira ditarik perlahan sebelum mereka ketawa bahagia.
I love you,” lafaz Fatah tiba-tiba.
I love you more, more and more!!!” ucap Maira juga serius.
Hurmmm sebelum kita buat aksi terlarang kat sini, lebih baik kita gerak... I bukan tak kuat iman, cuma hati I ni aje yang tak kuat berdepan dengan pencuri hati...”
Fatah mengukir senyuman senget. Merenungnya dengan pandangan penuh kasih sayang sebelum memasukkan gear. Dan kereta milik Fatah menderum laju membelah jalan raya.

Maira mengukir senyuman bahagia dan lega. Lega kerana tidak terpengaruh dengan kata-kata daripada Fina. Dan lega kerana dia kini yakin, tunangnya ialah seorang lelaki yang tidak pandai mengambil kesempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan