Sabtu, 16 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta-Bab 20


EMPAT tahun kemudian.
Maira mencelikkan mata. Memerhatikan sekeliling ruang bilik yang bercat oren dan merah jambu tersebut. Mengerlipkan mata beberapa kali. Sah. Dia memang sudah berada di Malaysia, dan di dalam biliknya sendiri. Bilik yang sudah empat tahun ditinggalkan. Akhirnya dia berjaya juga mengharungi hidupnya untuk bergelar seorang doktor. Maira bangkit bergerak ke balkoni biliknya. Menolak pintu gelangsar dan melangkah keluar.
Menarik nafas panjang, menghirup udara Malaysia. Pandangan dilemparkan ke sekeliling kawasan rumah. Tidak banyak yang berubah. Hanya pasu-pasu bunga ibunya sahaja yang sudah semakin bertambah. Semalam sampai ke rumah pun sudah lewat malam. Akibat penat duduk di dalam pesawat masih tidak habis, dia terus tidur tidak sedarkan diri.
Maira mendongak ke bawah. Melihat Miss Polonya yang masih elok seperti dahulu. Malah kelihatan makin berkilat. Maira melangkah masuk ke dalam bilik air, ingin membersihkan diri sebelum turun ke bawah.
“Dah bangun, Ara? Meh duduk sini, kita makan sama-sama. Pagi tadi kamu tak makan apa-apa kan? Tengok kamu macam penat sangat, tak nak la ibu ganggu,” tegur Harina sebaik sahaja Maira melewati pintu menuju ke dapur. Kelihatan ibunya sedang lincah mengeluarkan pinggan untuk dibawa ke meja makan.
“Ibu masak apa hari ni?”
“Masak spesial untuk kamu. Daging salai gulai lemak. Ibu tahu kamu memang suka kan? Pergi duduk dulu. Sekejap lagi ibu hidangkan.”
“Biar Ara tolong ibu...”
Kecur liurnya mendengar masakan yang dimasak oleh ibunya. Sudah lama tidak merasa masakan Melayu. Memang tekaknya benar-benar rindukan masakan sebegitu. Tambahan pula dia tidak menjamah sebarang makanan sejak semalam. Memang dia lapar betul sekarang. Tangan pantas mencapai gelas dan disusun ke dalam dulang.
“Bagusnya anak ibu sekarang. Rajin nak tolong ibu. Dulu, kalau boleh makan pun nak kena bersuap.”
“Itu dulu... Sekarang Ara dah dua puluh empat tahun, ibu. Tak lama lagi dah bakal nak jadi isteri orang pun.”
Hmmm...”
Maira pelik melihat reaksi Harina yang tiba-tiba sahaja seperti tidak berminat mahu meneruskan perbualan.
“Lepas makan ni, Ara ingat nak pergi jumpa Fatah. Semalam pun dia tak ada datang jemput. Dahlah dua tahun langsung tak jenguk Ara kat sana. Call pun susah. Busy sangat ke Fatah sekarang ni, ibu? Dia selalu tak jenguk ibu kat sini?” soal Maira sambil menyendukkan nasi.
Harina masih lagi membisu. Masih tekun menyusun lauk pauk di atas meja.
“Ibu...” panggil Maira. ‘
”Abang mari duduk. Ana mana, tak panggil sekali ke?” soal Harina kepada Alimuddin yang baru menapak masuk ke ruang meja makan. Soalan Maira dibiarkan sepi.
Maira hanya mengerutkan kening melihat perilaku Harina. Seolah-olah ingin menyembunyikan sesuatu. Tadi elok sahaja berbual dengannya, kenapa apabila soal Fatah dijadikan perbualan, ibunya seperti tidak berminat?
“Ada. Tu haaa... Tengah melenggang lenggok.” Alimuddin memuncungkan mulutnya ke arah Fina yang sedang melangkah menghampiri meja makan.
“Maaf lambat...” tutur Fina lembut. Tangan mengambil alih tugas Maira. Memberi isyarat supaya Maira duduk.
Maira memandang ke arah Fina yang sudah jauh berubah. Semasa tahun ke tiga dia di sana, keluarganya ada datang melawat. Bukan main terkejut Maira melihat Fina yang sudah bertudung litup. Nampak begitu manis dan ayu dengan jubah moden yang tersarung di tubuh. Tingkah lakunya juga tidak lagi sekasar dahulu. Lemah lembut dan sentiasa tersenyum manis. Cuma sikapnya yang sentiasa happy go lucky itu sahaja yang masih kekal tidak berubah.
Fina kini sudah mengambil alih tugas Alimuddin sebagai pengetua di Sekolah Hamuddin Bistari. Menyebut nama sekolah itu, membuatkan hati Maira semakin teruja untuk pergi ke sana. Sekolah yang banyak memberikannya kenangan yang semuanya manis bagi dirinya.
“Makan, kakak... Sambal belacan ni Ana yang buat. Mesti kakak dah rindu nak bau belacan yang harum ni kan?”
“Yalah kamu tu...” Satu lagi kejutan untuk dirinya. Fina sudah pandai memasak.
“Makan banyak sikit, Ara. Ayah tengok kamu dah makin kurus. Cengkung. Tak cukup makan atau tak cukup tidur?”
“Mana ada, ayah. Mungkin tak cukup rehat aje. Jangan risau, lepas ni Ara nak rehat puas-puas. Biar badan Ara ni kembang balik macam pau,” seloroh Maira seraya mencedok daging masak lemak cili api yang terhidang di depan mata.
“Bunyi macam tak nak start kerja lagi aje.”
“Nampaknya macam tu la, ayah. Ara nak rest dulu. Nanti otak ni dah normal semula, baru Ara start kerja ya.”
“Ha, jangan lama sangat. Klinik yang kamu suruh cari tu ayah dah uruskan. Tinggal nak renovate aje. Tak lama lagi siap la...”
Yeah? Thanks ayah. Sayang ayah ketat-ketat.”
Memang itulah perancangan awal Maira. Ingin membuka klinik khas bagi ibu-ibu tunggal. Diharap segala niat baiknya akan dipermudahkan oleh Tuhan.
“Ayah aje? Habis ibu ni...”
“Sayang ibu juga...”
“Ana pula?”
“Sibuklah!”
Maira menjegilkan mata ke arah Fina yang berada di hadapannya. Harina dan Alimuddin pula hanya ketawa kecil. Sudah lama tidak lihat gaduh-gaduh manja antara kedua-dua anak perempuan mereka itu.


“ARA. Come, sayang. Duduk sini dulu. Ada perkara yang ayah nak bincangkan.”
Maira yang baru sahaja ingin menyarungkan sandal berpaling mendengar suara Alimuddin. Langkah segera diatur ke ruang tamu. Niat awalnya dia ingin keluar berjumpa Fatah. Ingin memberi kejutan kepada lelaki yang bergelar tunangnya itu.
“Ya, ayah. Kenapa...” Maira melabuhkan punggung di sebelah Harina.
“Nak keluar jumpa Fatah ke?” soal Alimuddin memandang tepat ke arahnya.
“Abang...” Harina menyampuk.
Dapat dilihat dengan jelas dari mata Maira yang ibunya sedang memberikan isyarat gelengan kepada ayahnya.
“Kita kena bagi tahu dia. Lambat laun dia akan tahu juga.”
“Biar la dulu, abang. Ara baru sampai...” Kali ini Harina bangun dan duduk di sebelah Alimuddin. Tangan lelaki itu dicapainya.
“Tak boleh. Awak pun tahu kan, dia nak pergi jumpa Fatah. Awak sanggup tengok anak kita menagih kasih pada yang tak sepatutnya?” Alimuddin menepuk-nepuk tangan Harina. Seperti memberi kekuatan.
Maira semakin pelik.
“Ayah, ibu. Kenapa ni? Ara ada tertinggal apa-apa berita ke?”
Alimuddin berpaling sekilas ke arah Harina. Kemudian kembali memfokuskan pandangan ke arah Maira.
“Nak pergi jumpa Fatah. Ara tahu ke Fatah kat mana? Fatah tahu Ara dah balik?”
Soalan dibalas dengan soalan. Maira semakin bertambah pelik. Lebih pelik apabila melihat Harina yang hanya menundukkan wajah.
“Ara tak tahu Fatah ada kat mana. Tapi Ara yakin dia ada kat ofis. Kalau tak ada pun, Ara boleh tunggu.”
Soalan Alimuddin dijawab Maira dengan yakin. Ya, dia harus yakin. Fatah mungkin sedang menunggunya.
“Ara tak payah la pergi jumpa dia...”
But why? Ibu... kenapa ni? Ayah... apa maksud ayah? Ara tak faham.” Rasa yang pelik sebentar tadi kini bertukar menjadi rasa tidak sedap hati. Adakah sesuatu yang buruk sudah menimpa Fatah?
“Ayah harap.. anak ayah kuat. Ayah tahu, anak ayah bukan seorang yang lemah. Tapi ayah tak sanggup nak rahsiakan lagi. Dah sampai waktunya Ara tahu cerita sebenar. Fatah seharusnya tak wujud lagi dalam hati Ara...”
“Apa maksud ayah ni?! Ara tak faham. Kenapa dengan Fatah? Ibu! Bagi tahu Ara. Please... Fatah okey kan?” Kini Maira sudah berdiri tegak. Menghadap kedua ibu bapanya yang masih kelihatan tenang.
“Sayang, Fatah bukan tunang kamu lagi...”
Harina yang sedari tadi diam membisu, akhirnya membuka mulut. Maira terpempan mendengar ayat yang keluar dari bibir Harina. Dia memegang kepalanya. Cuba mencerna segala apa yang baru didengarinya.
“Maksud ibu? Ibu dengan ayah putuskan pertunangan kami? Macam tu ke? But why?” Sedaya upaya Maira mengawal nada suaranya kepada Alimuddin dan Harina.
“Bukan macam tu sayang, tetapi ibu dan ayah terpaksa juga putuskan pertunangan tu. Keadaan yang memaksa. Fatah dah berkahwin dengan orang lain.”
Gedegang!!!
Terasa sesak nafasnya dihentak ayat yang meluncur laju dari mulut Alimuddin. Maira kembali jatuh terduduk di atas sofa. Fatah sudah berkahwin. Tapi kenapa? Dengan siapa? Pelbagai persoalan menghenyak ruang fikirannya.
“Tak!!! Ibu tipu. Ayah tipu. Ini semua tipu kan? Fatah masih tunang Ara kan? Ayah, please cakap dengan Ara, ini semua tipu kan? Jangan main-main macam ni dengan Ara.” Maira memegang kepalanya. Ditundukkan memandang hujung jari kaki.
“Sabar sayang... Kami tak tipu. Ibu tahu memang susah nak terima berita ni. Tapi inilah hakikatnya. Mengucap, sayang... Ingat Tuhan banyak-banyak. Kita kena percaya dengan jodoh pertemuan, semua di tangan Tuhan. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk Ara.”
Harina sudah kembali duduk di sebelah Maira. Mengusap-usap belakang Maira yang masih menundukkan wajah. Maira meraup wajahnya berkali-kali. Mengucap berkali-kali. Cuba menerima berita yang baru diterimanya dengan tenang.
“Fatah kahwin dengan siapa, ayah?” soal Maira setelah kembali tenang.
Aneh. Air matanya langsung tidak mengalir walaupun hatinya dipasak teruk dengan rasa sakit yang mencengkam jiwa.
“Husna. Mereka ditangkap khalwat lebih kurang dua tahun lepas.”
Maira tersenyum kelat mendengar nama yang disebut oleh ayahnya.
Akhirnya, apa yang ditakutinya terjadi juga. Apa guna janji setia yang mereka ikrarkan selama ini? Apa guna kata sayang yang sering dilafazkan selama ini?
Thanks ayah untuk kebenaran ni...” ucap Maira sambil merenung cincin yang masih setia di jari manisnya. Kebenaran yang pahit untuk diterima. Namun dia pasti, kebenaran yang manis akan menemuinya nanti.
“Lupakan dia. Mungkin Ara bukan ditakdirkan untuk Fatah. Satu aje Ara kena ingat, lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Percayalah, ada yang terbaik untuk Ara.”
Don’t worry. Ara okey.”
Ya... Maira memang yakin. Dia okey menerima segala berita tersebut. Tidak tahu mengapa, dia masih boleh bertenang sedangkan perempuan tersebut ialah Husna, si ahli sihir yang sangat tidak setanding dengan dirinya.
“Nak ke mana tu?” soal Harina apabila melihat Maira melangkah ke arah pintu.
“Ara nak keluar sekejap... Pergi dulu.”
Sepantas kilat Maira berlari mendapatkan kereta. Panggilan Harina langsung tidak dihiraukan. Kali ini, Honda CRV milik ibunya yang menjadi mangsa untuk dia membelasah.



SETELAH hampir setengah jam menunggu di ruangan pejabat milik Fatah, akhirnya lelaki itu muncul di sebalik pintu. Segak berkot hitam dan berkemeja putih. Mungkin baru balik dari mahkamah.
Fatah kelihatan terkejut menerima kehadirannya. Wajah yang sentiasa penuh dengan senyuman itu kini berwajah kelat. Mister handsomenya memang sudah jauh berubah.
“Hai darling...” Maira mengukir senyuman paksa. Berpura-pura masih tidak tahu akan kebenaran.
“Hai, bila sampai? Tak bagi tahu pun.”
Fatah kelihatan serba salah. Dia terus berjalan mendekati meja kerjanya dan melabuhkan punggung. Maira yang berdiri tegak di sisi meja langsung tidak dihiraukan. Memang sudah jauh berubah. Kali ini langsung tiada pelukan kasih sayang yang sering Fatah lakukan apabila berjumpa dengannya.
“Semalam. I kan dah e-mel you. I call you langsung tak nak jawab. Don’t you miss me?” soal Maira sengaja menguji.
Dia mengambil tempat duduk berhadapan dengan Fatah. Wajah itu dipandang lama. Sudah jauh banyak berubah. Rambut yang dulunya sentiasa kemas kini sudah sedikit panjang dan berserabai. Tubuh tegap itu juga sudah semakin susut. Misai dan jambang tumbuh meliar. Wajah yang amat dirinduinya selama empat tahun ini.
Sorry. I busy sikit.”
Hanya itu yang Fatah mampu berikan kepadanya. Menyibukkan diri dengan segala fail di atas meja dan langsung tidak memandang wajahnya. Mengapa begitu cepat Fatah melupakan dirinya? Di mana cinta, sayang, rindu yang selalu keluar dari bibir Fatah selama ini? Adakah ini balasan atas kesetiaan Maira selama ini?
Hati yang tadinya tenang tiba-tiba seperti ditoreh pisau belati. Sakitnya mencengkam dada. Dada semakin ketat dengan rasa sebak yang tiba-tiba menyerbu datang. Kecewa melihat reaksi Fatah. Jelas sekali yang lelaki itu memang sudah tidak menyayanginya lagi.
I miss you...” tutur Maira perlahan. Antara keluar dan tidak sahaja. Perkataan itu lahir ikhlas daripada hatinya. Memang dia sangat merindui Fatah selama ini.
Fatah mengangkat wajah. Merenung ke arahnya sebelum kembali menundukkan wajah. Menumpukan perhatian kepada fail yang berada di tangan.
Maira menggigit bibir bawah. Cuba mencari kekuatan. Perlahan-lahan dia menarik keluar cincin yang sudah menghuni jarinya hampir lima tahun. Diletakkan ke atas meja. Di hadapan Fatah.
“Maaf. I lambat pulangkan.”
Fatah yang sedari tadi sibuk membelek fail di tangan terhenti. Memandang cincin di atas meja. Kemudian memandang Maira sebelum kembali memandang cincin berkenaan.
I’m sorry...” ringkas Fatah menuturkan ayat. Begitu mudah menuturkan kata maaf.
“Kenapa you tak bagi tahu I? Patutlah dua tahun you hilang tanpa khabar berita. I tak sangka, sanggup you khianati cinta kita.” Maira menahan sebak yang semakin mencengkam dada.
Fatah bangun dari duduk. Mengambil kerusi dan duduk berhadapan dengan Maira. Tangan Maira diambil. Digenggam kuat.
Maira menarik tangannya. Tidak sanggup lagi disentuh dan dirayu oleh lelaki yang sudah merobek kepercayaannya.
“Sayang, I mintak maaf. I bukan nak rahsiakan. Tapi I tak sanggup nak sakiti hati you. I tahu I salah sebab dah kahwin dengan orang lain. Tapi trust me... I hanya sayang you seorang. Hanya you!” Fatah kembali meraih tangannya. Kali ini digenggam kuat.
“Sayang apa yang you maksudkan? Sayang bagaimana yang you nak tunjukkan? Dengan mengahwini orang lain, itu yang you cakap sayang?”
“I tak salah. I terpaksa... I tak tahu macam mana I boleh ada dalam bilik tu dengan dia. Trust me, sayang. I tak pernah curang dengan you.” Bersungguh-sungguh Fatah menuturkan kata-kata.
Maira hanya tersenyum sinis. Mana ada orang salah nak mengaku kesalahan sendiri. Mungkin selama ini dia yang silap menilai. Mungkin dia lupa, jika dia dapatkan Fatah melalui godaan yang dia buat, maka tidak mustahil jika Fatah mudah juga digoda oleh perempuan lain. Memang dasar lelaki tak tetap pendirian.
Maira bangkit dari duduk. Niat untuk memulangkan cincin sudah dia laksanakan. Pengakuan dari bibir Fatah juga sudah dia dapatkan. Memang benar, Fatah kini bukan lagi mister handsome yang selama ini menjadi kebanggaannya. Kini sudah menjadi Mr. King Cobra!!!
“Sayang. Please, percaya kat I. Bagi I masa... I pasti akan kahwin dengan you.” Fatah menarik tangan Maira.
“Simpan aje sayang you tu. Muak I dengar.” Maira menjeling tajam. Sakit hatinya diperlakukan seperti itu.
“Sayang...”
Stop calling me sayang!!!” jerit Maira lantang. Tiada lagi suara lembut mendayu. Tiada lagi aksi gedik pujuk memujuk. Hatinya sudah remuk ditikam berkali-kali. Tiada ruang untuk menempatkan sebarang kemaafan.
“I tak pernah menyesal sebab setia dengan you... Tapi I menyesal sebab dah list kan you dalam senarai mister handsome I. Hakikatnya, you langsung tak layak.”

Habis sahaja menuturkan ayat tersebut, Maira melangkah keluar dari ruangan pejabat mewah berkenaan. Langsung tidak berpaling. Panggilan daripada Fatah langsung tidak dihiraukan. Sekali dia melangkah pergi, tidak mungkin dia akan kembali. Itu tekadnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan