“I benci dia! Benciii!!!” jerit
Maira sekuat hati. Bantal di atas katil disepak-sepak.
“Ya Allah, Ara. Hei... my pink baby.”
Kalut Hayati menyelamatkan patung Hello Kitty berwarna merah jambu
daripada menjadi mangsa sepakan Maira. Hampeh punya kawan, patung tak
bernyawa tu lagi penting rupa-rupanya. Pulang sahaja dari pejabat Fatah, dia
terus membelasah Honda CRV Harina ke rumah Hayati. Mujur juga Hayati ada di
rumah. Biasalah, pinjaman PAMA (Papa dan Mama) setiap bulan dapat. Tak perlu
fikir pasal kerja.
“Lelaki tak guna! Sehabis mungkin I setia macam orang bodoh.
Rupa-rupanya kat sini, dah dua tahun tidur peluk bini. Kahwin dengan Doraemon
betina tu pula! Itu memang I sakit hati. Bodoh!!!” Kali ini jeritannya
diselangi dengan air mata yang mengalir laju. Sejak tadi ditahan, kali ini
Maira hanya ingin menangis dan menangis.
“Apa you merepek ni? Ya Allah, takkan teruk sangat you belajar kat
sana, sampai otak you pun dah mereng? Datang sini, memekik, meraung. I
tak faham la.” Hayati menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Fatah dah kahwin dengan Husna. Dah kahwin!!!”
Untuk kesekian kalinya dia menyebut perkataan yang amat merobek
hatinya sendiri. Maira duduk memeluk lutut di atas katil. Meletakkan kepala di
atas kedua-dua belah lututnya. Melepaskan rasa sedih yang makin sukar
dibendung. Empat tahun dia bertahan tidak mengalirkan air mata. Empat tahun di
negara orang dia hidup dengan berpegang janji tidak akan menangis tanpa Fatah
di sisi.
“What?!!! OMG... OMG... Hot story. When?
Kenapa I tak tahu pun. Macam mana dia orang boleh kahwin. Tak ada pun papa I
cakap apa-apa.”
Hayati berjalan mundar-mandir di hadapan Maira. Mengibas-gibas
mukanya. Menandakan berita tersebut benar-benar panas.
“Dah dua tahun tahu tak? I kena tipu hidup-hidup. Sepatunya I yang
tanya soalan tu dekat you. You yang duduk sini. I kat sana, beribu-ribu batu
jauhnya...”
“I tak tahu apa-apa. Sedangkan papa Fatah itu rakan kongsi papa I.
Tapi papa I sendiri pun tak pernah bagi tahu apa-apa. Dan I tak pernah dengar
pula adanya sebarang majlis perkahwinan. Are you sure?”
“Dia orang kena tangkap khalwat. Mungkin nikah biasa-biasa aje.
Tak ada sebarang majlis.”
Air mata yang masih laju mengalir diseka. Berapa banyak kali dilap
pun masih juga tidak berhenti-henti mengalir membasahi pipi. Hatinya kali ini
memang benar-benar dilanda rasa kecewa dan kesedihan.
“Tak sangka Fatah sanggup buat kerja terkutuk tu. Memang dasar
lelaki senang digoda. Kalau you benci, I double benci. Memang dasar
lelaki perasan handsome. Mentang-mentang you dah bagi gelaran tu kat
dia, semudah tu pula dia test market dekat perempuan lain. Hampehhh!!!”
Makin kuat sedu sedan Maira sebaik saja mendengar kata-kata
Hayati.
“Dah la... Tak guna you menangis sebab lelaki macam tu. I tahu you
sayang dia. But remember, my dear... You layak dapat lelaki yang lebih
baik.”
“Lupakan dia okey...” pujuk Sabrina di talian Skype sebaik saja
Hayati menghubungi rakan mereka itu untuk menceritakan perkara yang berlaku
antara Maira dan Fatah.
“I sayanggg dia...” Untuk kesekian kalinya bayangan wajah Fatah
kembali terlayar di ruang mata.
Fatah. Lelaki yang cukup berkarisma. Cukup hebat di mata wanita.
Cukup hebat dengan kasih sayang yang menggunung tinggi. Tutur kata yang lemah
lembut. Seorang yang cukup lembut dalam menangani segala masalah yang melanda
hubungan mereka. Lelaki yang sentiasa tenang, hanya wajah yang sentiasa penuh
dengan senyuman. Mana mungkin dia dapat melupakan lelaki sehebat Fatah. Susah
untuk dia terima Fatah akan ditangkap khalwat dengan perempuan lain. Sedangkan
semasa mereka bersama, Fatah sentiasa menjaga tingkah laku mereka agar tidak
pergi terlalu jauh. Lima tahun Maira hidup dengan rasa cinta kepada Fatah. Lima
tahun Maira hidup dengan bayangan Fatah yang sentiasa ada didalam hidupnya.
“Lupakan dia... I tahu susah. But you have to do it.” Kini
giliran Sabrina pula yang mengalirkan air mata.
“I tak boleh. Lima tahun dia berada kuat dalam ni. Lima tahun I
hidup dengan cinta dia yang semakin mekar dalam ni.” Maira menepuk-nepuk
dadanya.
“You kena kuat. Kuat, Ara.” Hayati menguatkan pelukan.
Mereka sama-sama melepaskan tangisan. Sama-sama merasai kesedihan
dan kekecewaan yang dirasai Maira.
“I tak kuat. I rasa macam nak balik Moscow semula. Kat sini,
segala-galanya mengingatkan I dekat dia. I tak boleh...”
Maira mengambil selimut Hayati dan menghembuskan segala hingus
yang mengganggu sistem pernafasannya.
“Tak perlu sampai ke Moscow. You datang la sini. I akan pastikan
you akan dapat lupakan jantan poyo tu.”
“Really? You sanggup tengok muka sedih I ni hari-hari?”
“Yesss... Of course, my dear...”
“I pun. I akan sama-sama dengan you untuk mulakan hidup baru.
Percayalah, akan ada mister handsome yang sebenar-benarnya layak.”
Hayati menarik selimut miliknya dari tangan Maira. Melemparkannya
ke atas lantai. Kalau dibiarkan, mahu berat selimut berkenaan dengan
mukus-mukus Maira. Dan untuk kesekian kalinya, mereka sama-sama mengalirkan air
mata untuk harga sebuah janji setia milik Fatah Asraf.
KAKI diatur malas mendaki anak
tangga. Panggilan Harina dari ruang tamu langsung tidak dihiraukan. Dia tidak
punya hati untuk bercakap dengan sesiapa. Dia tidak punya hati untuk menjawab
sebarang persoalan. Dia hanya ingin tidur.
Pintu bilik ditolak perlahan. Suasana di dalam bilik kelihatan
agak suram ekoran waktu yang sudah berganjak hampir ke pukul sepuluh malam.
Seharian dia berperap di rumah Hayati. Seharian dia melepaskan tangisan dan
segala rasa kecewa dalam hati. Dia ingat dia kuat. Tetapi hakikatnya, dia tidak
pernah kuat untuk menerima hakikat yang dia harus melepaskan rasa sayang yang
sudah lama sebati di dalam hidupnya.
Badan disandarkan di kaki katil sambil membuang pandang ke luar
balkoni yang terbuka luas. Melihat langit yang gelap tanpa dihiasi sebarang
bulan dan bintang. Kelam dan suram. Seperti hatinya. Kegembiraannya dan
kebahagiaannya dirampas tanpa amaran.
“Inikah hadiah yang you berikan untuk I bawa pulang gelaran Doktor
Maira...” Maira merintih sendiri. Hidung yang merah dan mata yang kian
membengkak tidak dipedulikan. Seolah-olah air matanya langsung tidak ada tanda
mahu berhenti.
“Fatah, apa kurangnya I? Apa salah I?” Kepala dibenamkan ke atas
tilam. Tangan naik mencengkam cadar. Mengawal rasa sebak yang kembali
menyerang.
“I ikut semua cakap you. Kat sana I dah tak pakai seksi. I dah tak
menggedik. I dah tak jadi perempuan menggoda...” Sedu sedan semakin kuat.
“Empat tahun hidup sendiri, walaupun kadangkala I diserang rasa
rindu yang amat dekat you. I tak pernah menangis. I tak pernah mungkir janji
kita. I dah belajar sungguh-sungguh. I dah dapat gelaran doktor macam yang you
nak...”
Perlahan-lahan tubuhnya melorot jatuh ke atas lantai. Tangan
perlahan-lahan menumbuk-numbuk dada sendiri. Mengurangkan rasa sakit yang
membuatkan dadanya seperti hendak pecah. Ketukan di pintu bilik yang
bertalu-talu langsung tidak dipedulikan. Dia hanyut di dalam rasa tertipu dan
bodoh mempercayai lelaki seperti Fatah.
“Ini ke maksud you, I tak boleh menangis semasa I berada di sana?
I hanya boleh menangis bila balik ke sini, semasa you ada di sisi I. Inikah
maksud you...” Perlahan Maira merintih. Seolah-olah Fatah benar ada di
hadapannya. Dia rindu... rindu untuk melihat dan merasai cinta lelaki itu.
Maira mengiringkan tubuh. Menggigit bibir sendiri. Mengawal dari
melepaskan bunyi tangisan yang kuat. Pandangan dilemparkan ke sekeliling bilik.
Tiba-tiba pandangannya terhenti. Sesuatu di sudut bilik menarik perhatiannya.
Berkilat dan bersinar indah. Umpama cahaya yang dibawa kunang-kunang. Lama
Maira memerhatikan objek berkenaan. Sebelum akhirnya dia bangun. Dan berjalan
perlahan mendekati.
Tangan naik memegang kerlipan berkenaan. Kemudian melangkah
beberapa tapak untuk membuka suis lampu. Berdiri gah patung kaca ukiran lelaki
dan perempuan sedang menggayakan tarian indah.
“Gun...” Nama itu meniti perlahan di bibirnya.
Lampu kembali ditutup apabila kerlipan cahaya tadi hilang tatkala
suasana bilik diterangi cahaya. Sebaik saja bilik itu gelap, kerlipan tersebut
kembali muncul. Lampu kembali dibuka, Maira melangkah kembali mendekati patung
ukiran kaca setinggi dirinya itu. Tangan naik memegang tempat yang mendatangkan cahaya
berkenaan. Baru Maira perasan, selendang baldu yang melilit leher lelaki dan
perempuan berkenaan. Disulami benang indah di hujungnya. Kemudian beberapa
objek seperti bintang digantung di setiap penjuru selendang.
“Keith Rajh Dhan.” Sekali lagi nama itu meniti di bibirnya. Nama
yang tidak pernah mampu dia lupakan. Nama yang sentiasa ada jauh di lubuk
hatinya. Nama yang sering membuatkan dirinya seringkali hampir koma ditembak ayat-ayat
dan pandangan matanya. Namun nama itu juga sentiasa membuatkan dirinya menjadi
seorang Maira Khaisara yang istimewa.
Patung itu dipeluknya. Kemudian jatuh melorot sehingga ke kaki.
Air mata kembali menjamah pipi. Kali ini dia tersesak-esak dengan senyuman yang
terukir di bibir. Senyuman yang Maira juga tidak pasti untuk apa.
“YA ALLAH, sayang...”
Harina yang sudah menyerbu masuk ke dalam bilik berkenaan terkejut
melihat Maira yang sudah tersesak-esak di kaki patung berkenaan.
“Ana!!! Ana...” jerit Harina memanggil Fina.
“Bangun, Ara. Jangan macam ni, sayang. Bangun...” Harina yang
sudah menerpa ke arahnya memaut tubuh Maira.
“Cepat, Ana. Kita tolong kakak baring atas katil...” Arah Harina
sebaik sahaja Fina muncul di pintu bilik.
Maira hanya menurut apabila Harina dan Fina memapahnya kemudian
membaringkannya ke atas tilam. Dia tidak punya tenaga untuk membantah. Dia
tidak punya hati untuk melawan. Dia benar-benar lemah. Hatinya mati.
“Janganlah macam ni, Ara. Kamu kena terima semua ni sebagai qadak
dan qadar. Jangan buat ibu macam ni... Kamu buat ibu rasa bersalah sebab
rahsiakan semua ni. Maafkan ibu...”
Bergetar suara Harina memujuk. Hancur hatinya melihat anak
perempuannya yang selama ini begitu yakin diri kini sudah seperti kehilangan
arah hidup.
“Pandang mata ibu ni, sayang. Dengar cakap ibu, anak ibu kuat.
Bukan macam ni. Ara masih ada ibu, ayah dan Ana. Kami juga sayangkan Ara. Malah
lebih lagi sayangkan Ara daripada Fatah sayangkan Ara...”
Tangan tua itu naik mengusap dan menyapu segala air matanya. Maira
hanya membisu. Masih merenung hadiah pemberian Gun.
“Kakak. Ingat Tuhan ya. Kakak kena ingat, kasih sayang Tuhan
melebihi kasih sayang Abang Fatah. Dia tak layak untuk dapat kesedihan kakak
atas kebahagiaan dia. Kakak kena kuat semangat. Kakak kena tunjukkan kepada dia
yang kakak juga mampu hidup bahagia. Malah lebih daripada dia. Bangkit, kakak.
Bangkit untuk perjuangkan kebahagiaan kakak. Buktikan kepada lelaki macam tu,
dia memang tak layak untuk kita.” Ana mengambil tangan kakaknya dan menggenggam
erat.
Maira mengalihkan pandangan ke arah Fina yang sedia duduk di
sisinya. Inilah adik yang sering dia perkecilkan. Inilah adik yang langsung dia
tidak pedulikan. Tetapi adik dia inilah yang akhirnya masih setia berada di sisinya.
“Percayalah. Dia bukan lelaki yang mampu untuk menjadi pendamping
kakak. Kakak sepatutnya bersyukur sebab semua ni kakak tahu sebelum kakak
kahwin dengan dia. Selagi kakak percaya yang Tuhan tu sentiasa ada, selagi
itulah kakak kena percaya, yang Tuhan tu dah ciptakan pendamping kakak yang
amat indah. Malah mungkin lebih indah daripada rasa semasa kakak dengan Abang
Fatah.”
“Terima kasih...” Tulus dan ikhlas Maira membalas genggaman tangan
Fina. Memang Fina membesar dengan menjadi wanita yang amat sempurna. Malah
lebih sempurna daripada dirinya.
“Ana sayang kakak. Ibu, ayah... kami semua sayang kakak. Kalau tak
ada Abang Fatah pun, kami akan pastikan hidup kakak lebih bahagia.”
Untuk kesekian kalinya, kata-kata Fina meresap jauh ke dalam
hatinya. Benar, dia merasai bahagia. Bahagia melihat mata bening Fina yang
tulus menikam pandangan matanya. Pandangan dialihkan ke arah Harina yang
menahan sebak di sebelah kanannya. Kemudian pandangan kembali diarahkan ke arah
Fina sebelum memfokuskan pandangan ke arah hadiah pemberian Gun.
Terima kasih Gun... ucap Maira dalam hati. Baru kali ni dia faham,
mengapa Gun begitu menyayangi orang-orang yang menghargainya. Kerana kita juga
akan turut merasa bahagia apabila melihat orang yang kita sayang bahagia.
Melihat senyuman dan gelak ketawa orang yang benar-benar menyayangi kita lebih
bermakna daripada jutaan wang di atas dunia.
“Ara...”
Maira tersenyum kecil melihat Alimuddin yang baru masuk ke dalam
bilik dan berdiri di hujung katil.
“Ara minta maaf sebab dah buat semua orang risau...”
“Tak, sayang. Ara tak salah apa-apa pun.” Harina mengusap-usap
ubun-ubun Maira.
“Ayah...”
“Ya, kenapa?”
“Ara nak mintak izin. Ara nak pergi duduk dengan Rin. Ara nak
pergi Kelantan.”
Ya. Kali ini dia nekad. Dia harus memulakan langkah untuk
memulakan hidup tanpa bergelar tunangan kepada Fatah. Kali ini dia akan kembali
memegang gelaran perempuan yang bebas. Tanpa sebarang ikatan.
“Bila?”
“Esok.” Ringkas dan tegas.
“Abang, takkan abang nak izinkan anak kita pergi dengan keadaan
macam ni?”
Harina memandang Alimuddin. Kemudian beralih memandang ke arah
Maira.
“Ibu tak benarkan. Empat tahun Ara duduk jauh dengan ibu. Tak
sampai dua hari pun lagi, takkan Ara dah nak pergi lagi...”
Perlahan suara Harina memandang ke arah Maira. Berat hatinya ingin
melepaskan Maira pergi.
“Ibu, Ara janji. Nanti bila Ara balik, Ara akan balik dengan
senyuman untuk ibu. Izinkan Ara pergi, ibu. Bagi Ara masa untuk tenangkan diri
di tempat baru. Ara janji Ara akan balik sini bila semuanya kembali kepada
asal.”
“Ayah izinkan. Pergilah. Asalkan, bila kamu kembali nanti, ayah
nak anak ayah yang dulu. Perempuan yang cukup yakin dengan diri sendiri.”
Tenang Alimuddin menuturkan ayat kepadanya. Mengukirkan senyuman kepadanya
kemudian melangkah keluar.
“Ibu...” Kali ini Maira hanya perlukan persetujuan daripada ibunya
sahaja.
Harina memandang ke arah Fina. Fina menganggukkan kepala sambil
menepuk-nepuk tangan Harina. Memberi senyuman lebar menandakan dia juga
bersetuju dengan kata-kata Alimuddin.
“Baiklah. Kalau dah itu yang kamu nak. Ibu akan izinkan...”
Akhirnya Harina juga mengukirkan senyuman lebar.
Maira bangkit kemudian memeluk tubuh Harina. Mencium kedua-dua
belah pipi Harina. Dia menarik nafas kelegaan. Maira menanam janji kepada diri
sendiri, yang dia akan kejar kebahagiaan untuk dirinya sendiri. Bangkit
melupakan Fatah dan menggembirakan orang yang lebih menghargainya. Itu
janjinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan