Sabtu, 16 Ogos 2014

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta

Bab 10

KEPALA dijengukkan ke luar tingkap. Memerhati alamat di tangan dan kembali memerhati ke luar tingkap. Setelah pasti dengan alamat yang berada di tangan, pintu kereta dibuka dan melangkah keluar. Disebabkan Gun masih lagi tidak hadir ke sekolah, hasilnya dia sedang berdiri tegak di hadapan pintu pagar rumah Keith Rajh Dhan. Egonya direndahkan, semata-mata mahu memujuk lelaki itu kembali ke sekolah. Niatnya cuma satu, minta maaf dan memujuk lelaki yang sedang merajuk itu. Merajuk... hmmm yalah kut!
Air liur ditelan berkali-kali. Tegak kepalanya memerhatikan pintu pagar yang tersergam indah di hadapannya. Tinggi menjulang sehingga apa yang berada di sebaliknya langsung tidak dapat diagak. Kaki diatur beberapa langkah ke hadapan, mendekati pintu pagar berwarna emas dan hitam itu. Terukir gah dengan corak labah-labah. Persis seekor labah-labah gergasi yang sedang mengawal pintu gua.
Dengan tembok-tembok batu yang menjadi benteng di sekeliling rumah, membuatkan Maira berpeluh seram. Selamat ke kalau dia masuk? Dibuatnya Gun itu betul-betul kongsi gelap macam mana? Haih fikir positif, Maira.
Dengan lafaz bismillah, loceng di pintu pagar itu ditekan. Tidak sampai beberapa minit, sedikit bahagian di tepi pintu pagar itu terbuka. Cukup untuk menampakkan bahagian dada sehingga ke kepala.
“Ya, cik... Cari siapa?” soal seorang lelaki Melayu yang agak berusia. Mungkin pengawal keselamatan berdasarkan daripada unifrom coklat muda yang dipakai.
“Ini rumah Gun ke? Errr maksud saya... Keith Rajh Dhan?” soal Maira.
“Ya, betul. Cik ini siapa?”
“Saya guru kelas dia. Nama saya Maira. Saya datang ini untuk berjumpa dengan Gun. Dia ada?”
“Guru kelas dia?”
Dilihat wajah pengawal tersebut memandang hairan kepadanya. Atas bawah dibelek.
“Sekejap ya...” pinta pengawal tersebut sebelum bercakap sesuatu dengan alat seperti walkie-talkie.
Tiba-tiba pintu pagar yang kemas tertutup tadi terbuka perlahan-lahan. Terundur beberapa langkah Maira ke belakang akibat terperanjat. Seperti melihat seekor labah-labah yang bergerak dan ingin membahamnya. Dan bertambah rasa terperanjatnya melihat apa yang berada di sebalik labah-labah gergasi. Kat mana ni? soalnya kepada diri sendiri seperti tidak percaya...
“Cik boleh masuk...”
Maira hanya tersenyum sumbing mendengar arahan pengawal tersebut. Mengawal rasa terkejut yang masih bersisa.
“Eh cik nak ke mana...”
Errr nak masuk la...” Gagap Maira menjawab.
“Kereta cik...” soal pengawal itu dengan senyuman. Rasa takut sebentar tadi sedikit menghilang melihat layanan baik daripada pengawal tersebut. Sopan dan berhemah.
“Kena bawa kereta ya?”
“Kalau cik rasa nak jalan kaki pun tak salah... Senaman kaki.”
Haih... ya tak ya juga. Takkan dia nak jalan kaki, rasanya hampir tiga ratus meter tu.
Dengan senyuman yang dibuat-buat, akhirnya Maira bergerak juga masuk ke dalam keretanya. Elok sahaja Volkswagen miliknya melepasi pagar, labah-labah gergasi itu kembali tertutup rapat. Megah berdiri. Menghadang pemandangan yang berada di sebaliknya. Dia kini umpama berada di alam lain yang dipisahkan oleh penunggu gua.
“Subhanallah. Tempat apa ni...” omel Maira perlahan seorang diri.
Hampir tiga ratus meter di hadapannya, berdiri gah sebuah patung berbentuk pelik. Bentuk kepala seperti singa tetapi badan direka dengan bentuk seperti naga. Gagah berdiri umpama pintu gerbang.
Ya Allah... sampai begini kayakah keluarga Gun sehingga pintu gerbang sebegini disalut emas? Kilauannya sahaja sudah cukup membuktikan kekuasaan keluarga kaya raya ini. Dia tahu ayah Gun ialah seorang pemilik lombong emas. Tapi dia tidak menyangka kehidupan mereka sebegini mewah. Maira mula merasakan dirinya begitu kerdil jika mahu dibandingkan dengan harta kekayaan milik keluarga Gun.
Kaki melangkah lambat-lambat untuk keluar dari perut kereta. Cuba memusatkan pandangan ke arah sebuah rumah umpama istana yang tersergam indah di hadapannya. Hampir sakit lehernya mendongak memandang puncuk tertinggi rumah tersebut. Maira sudah mula hendak jadi seperti rusa masuk kampung. Rumah berwarna kelabu dan biru laut itu cukup mempersona. Nampak begitu gah berdiri. Tertoleh-toleh kepala Maira mencari pintu masuk. Dia betul-betul seperti orang bodoh.
Tiba-tiba kedatangan seorang lelaki yang juga berbangsa Melayu menyelamatkan kebuntuan dirinya. Juga memakai uniform berwarna coklat. Kaki diatur mengikut langkah pengawal tersebut.
Hampir terkeluar biji matanya memerhatikan deretan kereta mewah yang tersusun elok. Umpama bilik pameran kereta yang berhawa dingin. Hummer, Audi, BMW dan juga Ferrari? OMG... semua kereta mewah. Paling murah pun ialah Honda Civic hitam berkilat milik Gun itu.
Ini betul-betul kaya...
Mata dikecilkan melihat dinding kaca di sebelah kanan mereka pula. Haiyakkk... ini pameran motor berhias ke??? Kawasaki, superbike... motor yang dia sendiri tidak pernah lihat pun ada. Tidak pernah pula dia tahu di dalam Malaysia ini terdapat jutawan seperti ini. Mungkin inilah yang dikatakan, orang kaya yang tidak suka mempamerkan kekayaan kepada umum.
Akhirnya mereka tiba di sebuah pintu berukir naga. Besar dan menggerunkan. Pengawal itu menekan butang berwarna merah yang terdapat di hujung ekor ukiran naga tersebut.
“Jemput masuk, miss...” Muncul seorang perempuan Cina yang agak muda di muka pintu. Tersenyum manis dengan uniform merah putih seperti pramugari AirAsia. Rambut juga disanggul kemas.
Pengawal lelaki sebentar tadi menunduk badan sedikit ke arahnya sebagai tanda ingin meminta diri. Maira hanya tersenyum mengucapkan terima kasih sebelum mengekori perempuan tersebut. Angin dingin menyerbu muka apabila berada di dalam ruangan di sebalik pintu gergasi sebentar tadi. Waaa! Nak balik... Ini memang kongsi gelap. Mana ada orang kaya macam ni kat Malaysia. Terketar-ketar kakinya mengikut langkah perempuan tersebut.
Miss, have a seat. Saya panggilkan tuan muda.”
Errr... Saya nak jumpa Gun. Bukan tuan muda.”
“Ya... Jemput duduk dulu,” pinta perempuan tersebut yang masih pelat berbahasa Melayu. Tersenyum manis dan menghilang di sebalik tiang-tiang roman di dalam rumah tersebut. Besar menjulang hingga ke siling.
Teragak-agak Maira melabuhkan punggung ke atas kerusi berwarna emas di ruangan tersebut. Mata dikecilkan membelek fabrik kain sofa tersebut. Kot-kot la emas juga. Nasib baik bukan, harus dia mati keras kalau dibuat daripada emas.
Mata memerhati sekeliling ruangan tersebut. Terhad kerana dilindungi tiang-tiang yang tinggi melangit. Akhirnya mata Maira melekat ke arah dinding yang berada di hadapannya. Maira bangun melangkah ke hadapan. Ingin memerhati dengan lebih jelas gambar tersebut. Walaupun sudah cukup besar, namun rasanya belum cukup puas jika tidak tengok depan mata.
Gambar seorang lelaki seperti berbangsa India. Dengan badan tegak dan tinggi lampai. Berumur dalam lingkungan 40-an. Berhidung mancung dan berkening lebat hitam pekat. Kot hitam yang tersarung di tubuhnya menampakkan lelaki itu sungguh berkarisma dan bergaya. Mungkin inilah ayah Gun, Amrith Rajh Dhan.
Mata beralih pula ke arah gambar seorang wanita yang sangat anggun. Mempersonakan. Melihat sahaja wajah itu, dia sudah tahu siapakah gerangannya. Pasti ibu Gun kerana wajah itu sudah jelas menunjukkan berwajah kacukan. Dengan rambut blonde dan panjang mengurai. Dengan badan yang cukup menawan. Ditambah dengan senyuman yang cukup manis menggoda. Persis seseorang, tetapi Maira sendiri tidak pasti siapa.
Terbit senyuman kecil di bibirnya apabila matanya jatuh ke arah foto seorang lelaki yang segak berkemeja putih. Dengan butang yang sedikit terbuka di bahagian atas, cukup membuatkan lelaki itu nampak seksi dan mengghairahkan.
Erkkk? Seksi? Ghairah? Oh no... itu Gun. Lelaki di dalam foto itu Gun. Kenapa dia boleh panggil Gun seksi pula ini? Semua ni mengarut. Tak sepatutnya dia datang ke rumah lelaki bernama Keith Rajh Dhan itu.
Baru kakinya ingin melangkah, tiba-tiba pergerakannya terhenti apabila matanya melekat ke arah sebuah lagi foto. Seorang gadis manis dan beraksi manja. Fetty. Dia cukup kenal wajah manis itu. Dengan lesung pipit di pipi dan rambut blonde itu, dia pasti itu Fetty.
Tapi siapa Fetty sehingga foto gadis itu boleh tersergam indah sebaris dengan foto keluarga kaya raya ini? Hampir jatuh rahangnya apabila menyedari wajah Fetty terlalu mirip dengan foto perempuan anggun tersebut. Mereka berkongsi rambut blonde dan senyuman manis yang sama. Terlalu mirip. OMG... adakah ini bermakna...
Sis!” Terguran dari arah belakang memeranjatkan Maira yang sedang asyik berteka-teki. Terjerit kecil dia dibuatnya.
Sorry, sis. Fet buatkan Kak Ara terkejut ya?”
“Eh, tak...” dalih Maira. Baru sahaja sebut tiba-tiba Fetty sudah muncul di hadapannya.
“Datang seorang saja ya? Lama dah tunggu? Sorry, Fet baru siap mandi. Nancy bagi tahu tadi, Cikgu Maira datang. Fet cepat-cepat siap,” terang Fetty dengan aksi manjanya yang sentiasa ada.
Oh, Nancy rupanya nama perempuan Cina tadi.
“Fet, Kak Ara tanya sikit boleh?”
“Boleh!” Fetty merangkul lengannya dan menarik dirinya agar duduk ke atas sofa. Manja dan bersahaja. Tidak dibuat-buat. Nampak begitu comel di matanya.
“Gun tu... Errr... Abang Fet ya?”
Dummm! Dummm!
Rasa macam dia ditembak mati dua kali oleh peluru berpandu Keith Rajh Dhan apabila mendengar jawapan Fetty.
“Yesss... My lovely brother...”
“Abang kandung ke?” Masih tidak percaya.
“Yalah... Lucu la, Kak Ara ni. Kakak tak tahu ke?” soal Fetty sambil ketawa manja.
Errr... tak adalah. Sebab confuse, Fet dengan Gun tak seiras...”
“Bukan Kak Ara aje yang rasa macam tu. Ramai yang cakap kami bukan macam adik-beradik. Tapi kami memang adik-beradik. Fet memang ikut wajah mummy. Cuma Gun dia dah campur genetik belah mummy dan daddy. Itu yang muka macam tak berapa siap. Nak kata Indian pun tak boleh sebab tak gelap. Tapi nak kata German pun tak boleh sebab rambut tak blonde dan kulit tak putih. Dia dah jadi anak Melayu.”
Hampir tergelak Maira mendengar ayat Fetty.
“Fet memang fasih berbahasa Melayu ya?”
Yeah. Dari kecil kami diasuh oleh umi. Pengasuh yang memang diupah khas oleh daddy. Seorang wanita yang sama hebat dalam hati Fet dan Gun. Sama hebat seperti mummy. Kami memang dah anggap dia seperti ibu kandung. Berbahasa Melayu dan paling penting, umi beragama Islam. Itu yang kami berdua fasih bertutur bahasa Melayu.”
“Oh... How old are you? You look so young.”
Ketawa kecil Fetty dengan persoalan Maira.
Seventeen.”
Tujuh belas tahun? Patutlah nampak terlalu manis dan comel. Manjanya juga boleh tahan. Pasti anak kesayangan keluarga kaya raya ini.
“Mudanya. Tapi kenapa Fet tak sekolah? Sama macam Gun. Dia yang tua bangka itu pula yang sibuk nak pergi sekolah.”
Nope. Daddy upah private teacher untuk datang mengajar ke rumah ini setiap hari. Hehehe... Gun tu sengaja ingin menghabiskan masa lapang. Saja buang tabiat.”
Habiskan masa lapang? Buang tabiat? Ada juga manusia seperti Gun itu di dalam dunia ini. Sungguh tidak sangka.  
“Jom. Fet bawa Kak Ara jumpa my brother.
Fetty menarik lengan Maira memaksa gadis itu mengekorinya.
“Eh kita tunggu sini aje la, Fet.”
“Tak payah la. Nak tunggu Gun turun waktu macam ini memang susah.”
Mulut yang ingin bersuara akhirnya tertutup rapat. Kagum dengan keindahan reka bentuk hiasan rumah tersebut.
Makin bulat mata Maira menyaksikan ruang tamu yang begitu besar. Luas dan kelihatan terlalu mewah. Berwarna emas dan perak. Dengan lampu hiasan yang tergantung indah di siling ruang tersebut. Berkilauan. Hampir menyilaukan biji matanya. Dibuat daripada emas juga ke?
Terasa dirinya begitu kerdil dan hampir sahaja membunuh segala rasa berlagak dan ego dalam dirinya. Selama ini, dia fikir keluarganya sudah cukup mewah. Namun keluarga ini lebih mengagumkan dirinya.
“Kak Ara okey? Sejuknya tangan.”
Pertanyaan daripada Fetty mengejutkan dirinya. Itulah... khusyuk sangat membelek rumah orang.
Don’t worry. Gun nampak aje macam meriam, menakutkan. Tapi dia seorang yang berhati lembut. Baik kita dengan dia, baik la dia dengan kita.”
Kuat genggaman tangan Fetty. Memberi keyakinan kepada dirinya. Hampir sahaja semangatnya tadi jatuh merudum. Mujur juga ada Fetty, gadis yang pernah dianggapnya sebagai perempuan simpanan Gun.
Perasaan bersalah mula bersarang. Dia memang selayaknya meminta maaf kepada Gun. Menuduh lelaki itu tanpa usul periksa. Lebih-lebih lagi kepada Fetty. Gadis itu terlalu baik melayan dirinya umpama sudah bertahun mereka berkenalan.
“Kita nak pergi mana ni?” soal Maira pelik apabila mereka berada di dalam sebuah mini lif bercorak flora yang begitu menarik minatnya.
“Kita jumpa Tuan Muda Dhan...”
“Tuan Muda Dhan?”
“Keith Rajh Dhan. My handsome brother...”
Maira mengukir senyuman kelat. Erk... Handsome?
Keluar sahaja dari perut lif, kaki seolah-olah digam. Terasa menanggung berat yang bertan-tan. Sehingga tidak mampu untuk melangkah. Memerhatikan apa yang berada di depan mata. Sebuah lorong yang disinari cahaya cantik berwarna biru kelam. Cukup indah di dalam pandangan matanya. Terasa seperti berada di dalam sebuah kelab malam bertaraf eksklusif.
“Jom sis...”
Fetty menarik tangannya sebaik sahaja mereka tiba di hadapan sebuah pintu di hujung lorong. Hati sudah mula rasa berbelah bahagi. Dimanakah dia berada sekarang?
“Fet, ini tempat apa?” soal Maira takut-takut.
Fetty membuat muka pelik. Memandang keadaan sekeliling sebelum kembali menghadap muka Maira yang sudah penuh tanda soal.
“Inilah bilik tuan muda. Ops... maksud Fet, your student, Gun.”
“Bilik ke macam ni? Kak Ara tengok dah macam sebiji rumah. Besar macam ini duduk berapa orang dalam bilik ni? Atau abang Fet tu ada buat sindiket jual orang. Besar macam ini, senang nak sorok.”
Maira sudah mula buat spekulasi sendiri. Mata masih meninjau sekeliling. Dari pintu masuk dia boleh lihat sudut ruang tamu yang tersusun kemas. Piano berwarna putih diletak di sudut ruang bersebelahan dengan balkoni yang terbuka luas. Angin sepoi-sepoi bahasa masuk menampar kulit muka. Ruang tamu dipisahkan dengan dinding yang diperbuat dari buluh. Nampak begitu menenangkan dengan pokok-pokok bunga besar yang diletak di setiap sudut bilik. Dijaga rapi agar kelihatan tetap segar.
“Gun memang ada dunia sendiri. Dia ada di rumah atau tak, sama aje. Masa dia banyak dihabiskan di dalam bilik dia. Makan pun tak pernah nak turun. Sebab tu kadang-kadang Fet terpaksa datang ke bilik dia ini semata-mata tak nak makan sorang diri. Mummy, daddy busy. Gun pula... hmmm macam itu la... So terpaksa la kita yang pandai curi masa dia.”
Fetty melangkah ke arah balkoni. Kemudian masuk semula ke dalam dan melangkah ke arah belakang dinding buluh.
“Gun, Maira here...” Terdengar Fetty menjerit memanggil nama Gun.
Keadaan kembali senyap sebelum Fetty kembali muncul dengan mulut memuncung.
“Benci... Selalu busy dengan cinta hati dia tu,” omel Fetty lalu mencebik.
Cinta hati? Haih. Salah masa la maknanya dia datang.
Errr tak apa la. Kak Ara balik aje la. Gun tengah busy tu. Kakak tak nak ganggu dia date.”
Maira sudah berkira-kira ingin bangun sebelum tangannya kembali dipaut oleh Fetty.
“Kak Ara pergilah masuk dalam...”
“Ha?! Eh, tak apa. It’s okay. Kak Ara datang next time aje la ya.”
“Ala. Kalau tak pergi, jawabnya memang sampai sudah la dia asyik dengan cinta hati dia tu.”
“Fet cakap aje la kat Gun nanti, Kak Ara datang lain kali.”
Lain kali? Eh, macam ada niat nak datang lagi aje. Tetapi tidak mungkin dia akan masuk ke dalam, menemui Gun dengan cinta hatinya. Owhhh no!


KEPALA didongakkan memandang ke langit, memandang bulan yang penuh bercahaya. Cantik dan begitu indah. Nafas ditarik perlahan sebelum bibir mengukir senyuman. Peristiwa di rumah Gun kembali terlayar di ruang fikiran.
“Isy awak ni tak malu ke hah?!” jerit Maira seraya berpaling ke arah bertentangan.
Akibat desakan Fetty, akhirnya dia melangkah juga masuk ke dalam bilik lelaki tersebut. Pertama kali dalam hidupnya menjejakkan kaki masuk ke dalam bilik anak teruna orang. Dan pertama kali juga dia melihat sesuatu yang hampir membuatkan kornea matanya berubah paksi.
“Kau cakap pasal aku ke... atau pasal kau? Kau yang masuk bilik aku dulu.”
“Ingat saya hingin sangat ke? Fet yang paksa saya masuk... Kalau saya tahu awak tengah buat aksi 18SX, dari awal lagi saya tak masuk. Merosakkan hati saya aje.” Mulut membebel tapi badan masih lagi membelakangkan Gun.
“Eh, tak payah nak sentap sangat. Macamlah tak pernah tengok. Atau sebenarnya... kau suka tengok aku macam ni...”
Terdengar suara dekat di belakangnya. Ketawa itu perlahan namun cukup seperti menyindir dirinya.
Excuse me! Ingat awak hot sangat ke... Oh please la.”
Kali ini Maira berpusing pantas ke belakang, panas hatinya diketawakan oleh Gun.
Hampir gugur jantungnya apabila melihat Gun yang berdiri tegak begitu hampir dengan tubuhnya. Melihat batang tubuh Gun yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek, cukup membuatkan segala bulu roma di tubuhnya tegak mencacak.
Dengan rambut yang sedikit berserabai dan basah. Dengan senyuman dan pandangan mata yang tajam. Walaupun itu bukanlah pertama kali melihat Gun tersenyum, namun itu merupakan pertama kali dia melihat Gun dengan aksi tidak berbaju. Maira terasa ingin ghaib sekarang juga. Tetapi akal dan fikiran tidak selari. Akal berfikir hanya untuk lari, tetapi hati lebih banyak menggedik. Terasa matanya tidak mampu untuk berkelip melihat keadaan Gun. Terasa begitu seksi dan cukup menggoda. Erk? Seksi?
“Cakap tak serupa bikin.”
Petikan jari Gun di hadapan mata mengembalikan Maira ke alam realiti. Melihat Gun yang melangkah tegap kembali terjun ke dalam kolam renang. Berenang dengan berbagai cara dan gaya seolah-olah dirinya tidak wujud. Cukup bersahaja namun begitu tangkas dan nampak seperti profesional. Menyelam dan timbul dipermukaan tanpa henti.
Inikah yang dikatakan cinta hati Gun oleh Fetty sebentar tadi? Fetty... gadis itu sendiri sudah menghilang apabila dipanggil oleh Nancy. Meninggalkan dirinya yang hampir mati akibat terkejut berdua-duaan dengan Gun dalam keadaan seperti ini. Melihat aksi Gun, tanpa sedar kaki juga ikut melangkah menghampiri kolam renang. Mendekati tangga kolam itu dan duduk melunjurkan kaki ke dalam kolam.
Tadi mulut bukan main mengutuk, tetapi sekarang asyik memerhatikan aksi-aksi Gun.
Mata kemudian memerhati keadaan sekitar bilik tidur yang nampak mewah. Dengan katil bersaiz king yang dibina dengan bentuk bulat. Cukup menampakkan kelainan. Diletakkan sedikit meninggi di atas astaka bertentangan dengan kolam renang. Nampak seperti pelik, kerana tempat tidur disambung sekali dengan kolam renang. Hanya dipisahkan dengan pagar yang diperbuat daripada kayu jati yang dipotong bulat. Disusun berderet antara laluan kolam renang dan katil.
“Apa ni?!” marah Maira apabila merasakan percikan air di mukanya.
“Berangan!”
Maira merengus geram. Malas memulakan pergaduhan. Dia harus ingat tujuan utamanya datang ke rumah lelaki tersebut. Mata hanya memerhatikan tindak tanduk Gun yang bersantai di birai kolam.
“Kau lagi nampak cantik kalau tak bersuara. Bagus kan kalau macam ini selalu? Tak adalah asyik nak dengar kau membebel hari-hari. Pantang salah sikit, mula la nak menyembur. Macam dia bagus sangat. Yalah kan... orang cantik, mana pernah nak kalah.”
“Siapa yang start sekarang ini? Saya tak pernah gaduh dengan sesiapa kecuali dengan awak. Menyakitkan hati. Kenapa la awak ini tak sama langsung dengan Fetty? Jauh beza macam matahari dengan bumi.” Mulut membebel namun mata tetap dijaga rapi agar tidak melihat aurat anak teruna orang. Yalah tu... padahal takut tergoda. Ahaks... gediksss.
“Siapa? Perempuan simpanan aku tu?”
Mendengar nada sinis dari bibir Gun, Maira menahan rasa malu dalam hati.
“Saya minta maaf.” Perlahan Maira menuturkan kata. Dia sendiri tidak sangka semudah itu perkataan maaf akan keluar dari mulutnya.
“Apa dia?” soal Gun tidak percaya.
“Maaf...”
“Apa?”
Maira mengetap bibir menahan rasa hati. Ini betul-betul tak dengar atau sengaja buat-buat tak dengar. Pekak betul-betul baru tahu.
“M.A.A.F. Saya minta maaf. Maaf sebab dah salah sangka dengan awak. Dengar? Atau awak nak saya pakai pembesar suara.”
“Itulah, lain kali jangan nak membuta tuli menuduh tanpa usul periksa. Jangan nak anggap diri kita ni hebat. Kita aje yang betul. Kita aje yang baik.”
Maira hanya diam. Tidak mengangguk, tidak juga menggeleng. Hanya menelan kata-kata Gun.
“Dah. Kau pergi tunggu kat depan dulu. Aku tukar baju. Nanti aku datang.”
Gun bangun dan melangkah. Beberapa tapak kemudian, kembali melangkah mendekati Maira yang masih tidak berganjak.
“Yang tak bangun lagi ini kenapa? Nak teman aku tukar baju?”
Maira mendongak melihat wajah Gun yang kelihatan tenang. Tidak marahkah lelaki itu dengan dirinya?
Terkebil-kebil Maira memandang Gun. Kemudian matanya menangkap senyuman nakal yang terukir di bibir nipis lelaki itu.
“Atau... kau nak aku dukung...”
“Tak nak!!!”
Kalut Maira bangun apabila dapat mengesan apa yang bermain dalam fikiran Gun. Terkedek-kedek dirinya melarikan diri apabila Gun sudah berkira-kira mahu menarik tangannya. Terdengar kuat ketawa Gun memenuhi ruang kamar milik lelaki itu.
Sampai sahaja di ruang tamu bersebelahan bilik Gun, Maira mengurut dada kelegaan. Jantungnya mengepam laju, dadanya terasa sesak dengan bermacam-macam rasa yang tiba-tiba datang menjengah. Tergugatkah dia dengan lelaki itu? Adakah memang benar kata-kata Sabrina dan Hayati bahawa aura milik Gun lebih menyerlah daripada dirinya?
Piano berwarna putih itu didekati. Tangan menyentuh dan menjalar di atas permukaan piano yang kelihatan berkilat dan dijaga rapi. Nampak seperti selalu sahaja digunakan. Punggung dilabuhkan ke atas kerusi menghadap piano. Cuba berlagak seperti seorang pakar bermain alat muzik tersebut.
Terkebil-kebil matanya memerhatikan piano di hadapan mata, namun masih tidak tahu apa yang fungsi dan apa yang permulaan yang perlu dibuat.
Tinggg!
Sepasang tangan milik seseorang tiba-tiba sahaja menyentuh permukaan kekunci piano.
Maira memanggung kepala dan menolak kerusi ke belakang pantas. Tindakan refleks akibat terkejut.
Akibat tindakan itu, belakang tubuhnya melekat rapat dengan tubuh seseorang di belakang. Kepala didongakkan. Wajah Gun betul-betul berada di belakang kepalanya.
Melihat mata lelaki itu yang seperti tersenyum memandangnya, membuatkan Maira hilang kata-kata. Kepala pantas dipusingkan ke hadapan semula. Bibir diketap kuat mengawal rasa dada yang sesak seperti ditembak beratus-ratus peluru berpandu. Tembus sehingga ke dasar hati.
Wangian yang dipakai oleh Gun menerobos masuk ke dalam hidung. Membuatkan rasa yang sungguh damai dan terleka seketika. Dengan sepasang tangan milik Gun yang berada di atas piano kiri dan kanan, membuatkan dirinya seperti dipeluk oleh lelaki itu. Perasaan yang sama semasa lelaki itu memeluknya di lebuh raya tempoh hari.
“Pandai main piano?” soal Gun lembut sambil mendekatkan lagi tubuh mereka.
“Ehem... Errr, pernah. Eh, tak pernah.” Kalut Maira menjawab.
Tangan yang berada di atas paha dipatah-patahkan. Membuang rasa gugup dan mengawal rentak jantung yang semakin tidak sekata.
“Mana yang betul ni. Pernah ke tak pernah?”
“Tak pernah.” Ringkas jawapan Maira.
Dalam hati sudah bermacam-macam doa yang dia baca. Doa qunut, doa makan, doa naik kenderaan pun habis dia baca. Jarakkanlah lelaki ini dari dia. Kalau lagi lama dalam keadaan seperti itu, semakin parah hatinya akibat ditembak bertalu-talu.
“Minat?”
Maira memandang ke arah Gun. Mencari keikhlasan dari wajah yang sedang tunak memandang ke arahnya. Melihat mata hitam yang penuh milik Gun, membuatkan kepalanya mengangguk. Seperti disihir.
“Nanti aku ajar... Nak?”
Angguk lagi... Kali ini lambat-lambat. Terpukau melihat bibir nipis milik Gun yang mengukir senyuman manis. Baru dia perasan, bibir itu setiap kali tersenyum akan terbelah dua. Cukup seksi di pandangan matanya.
“Nanti ek. Bukan sekarang. Come, kita duduk kat sana.”
Maira menelan liur sendiri. Tangan naik mengusap dada sendiri. Kemudian naik mencubit pipi sendiri. Bangun, Maira. Jangan cepat tergoda!
“La, termenung apa lagi kat situ? Nanti aku ajar la main benda tu. Sekarang meh sini dulu... Duduk minum ni. Nanti cakap aku tak pandai layan tetamu pula.”
Aik, dah mula nak menembaklah tu.
Kaki melangkah malas menuju ke arah sofa yang menghadap balkoni. Gun dilihat sedang membancuh air di pantri kecil bersebelahan balkoni.
“Minum, Cikgu Maira Khaisara. Air bujang aje...”
Maira menjeling. Amboi tiba-tiba saja hari ini baik hati sangat nak panggil cikgu. Buang tabiatlah itu.
Kepala dijengukkan ke dalam gelas yang diletakkan oleh Gun di atas meja. Air sirap bandung yang nampak begitu sedap dan menjentik rasa haus yang tiba-tiba datang. Tapi, pasti selamat dan suci lagi murni ke? Kalau Gun letak ubat tidur dan berniat tidak baik macam mana...
“Minum aje. Aku tak letak ubat tidur pun. Muka aku ni nampak macam jahat sangat ke...”
Oh, Gun. Kepala otak awak boleh baca fikiran orang ke, tahu-tahu aje.
Lambat-lambat Maira mengambil gelas. Membaca bismillah dan meneguk perlahan. Sekali teguk, dia memandang wajah Gun. Hurmmm sedap... Diteguk kali kedua, memandang ke dalam gelas. Kemudian laju dia meneguk sehingga habis. Wah, macam haus betul.
“Tadi macam takut sangat. Sekarang, gaya macam gelas tu sekali kau nak telan.”
Maira hanya tersengih segan. Air sedap... rugi tak habiskan. Sedaplah sangat... padahal air bandung aje. Entah ape la yang Gun letak.
“Tiba-tiba datang ke rumah aku. Apa hal?”
Errr...” Maira menggaru kepala yang tidak gatal.
Gun ini kut ya pun, tanya soalan main terjah terus. Tak ada belok-belok. Segannya nak minta maaf. Tapi kalau nak jadi perempuan yang betul-betul cantik, kena minta maaf. Isy susahnya nak minta maaf.
Errr? Apa errr? Cakap aje la. Kalau tak cakap jangan harap kau nak keluar dari bilik ini.”
“Eh! Mana boleh macam tu.” Laju Maira menjawab. Suka hati nak buat perintah berkurung pula.
Then, cakap aje la...”
Hmmm... Sebenarnya... errr... sebenarnya...”
“Apa!? Cakap la. Atau kau nak aku peluk kau lagi, bagi hilang sikit gagap kau tu?”
Terhenjut-henjut bahu Maira mendengar suara Gun. Hampir terkeluar jantungnya melihat Gun yang sudah menegakkan tubuh. Perlahan-lahan lelaki itu bangun.
“Saya nak minta maaf!!!” Kalut Maira menjawab apabila melihat Gun yang sudah bergerak mendekatinya. Bukan takut dekat Gun. Cuma dia takut hati dia yang menggedik bila nampak lelaki handsome. Handsome?
“Maaf... Maaf kenapa pula?” Berkerut dahi Gun bertanya. Ini betul-betul tak tahu atau pura-pura tak tahu.
“Sebab saya buat awak kecik hati. Saya tuduh awak buat perkara yang tak betul. Saya salah sebab tak tahu Fetty sebenarnya adik kandung awak. Saya salah sebab selalu aje cari gaduh dengan awak. Tapi awak pun salah juga sebab selalu sakitkan hati saya. Tapi saya tahu, saya memang salah sebab selalu aje nak menang. Maafkan saya...” Panjang lebar Maira bercakap. Kalau boleh tanpa noktah.
Kepala ditunduk, ikutkan hati rasa nak menyorok di sebalik langsir. Malu!
Senyap. Tiada balasan daripada Gun. Perlahan Maira mengangkat kepala. Mengumpul keberanian menentang wajah Gun yang kelihatan bersahaja.
Errr... Gun...” Tangan diawang-awangkan di hadapan muka Gun. Tak ada respons.
“Gun...” panggil Maira kuat.
“Ya, aku dengar...” Tiba-tiba Gun bersuara. Namun masih tidak beriak. Mata Gun masih tetap tepat memanah anak matanya.
“Habis tu... kenapa diam.”
“Saja. Aku nak rakam wajah kau dalam mata aku. Wajah seorang yang kononnya ratu, akhirnya mengaku kalah di tangan aku. Dah la... lupakan aje semua tu.”
Phewww... Kenapa dalam ayat yang manis tu, perlu ada ayat yang agak membuatkan hatinya tembus. Tembus ditembak peluru berpandu.
Maira hanya diam. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Hendak mengamuk, atau senyum. Dia betul-betul jadi bodoh sekarang. Kali pertama dirinya dilanda rasa bingung sehingga tidak mampu berkata-kata.
“La kenapa pula ni... Kalau dapat bercakap, macam radio pasar raya. Tapi kalau dah senyap, bisu terus. Ini dah kenapa... habis bateri dah ke...”
Terkebil-kebil Maira memandang wajah Gun. Tenang bersandar di sofa sambil memeluk tubuh. Wajah tanpa senyuman yang masih merenung tepat kepadanya. Memandang tanpa sekalipun mengalihkan pandangan.
“Pencuri hati dah mati sebab nyawa telah dicuri oleh pencuri nyawa ke...” Gun mengukir senyuman senget.
“Eh, tolong sikit. Perasan! Bercakap ikut sedap kerongkong awak aje...”
Akhirnya tercetus ketawa dari bibir Gun. Nampak sopan dan begitu kelelakian. Kenapa dia rasa macam bunyi Gun ketawa tu sedap sangat? Bibir yang berlekuk menambahkan manis di wajah lelaki itu. Wajah tenang yang tidak jemu dipandang berkali-kali.
“Pandai pun bercakap. Pantang kalau orang cakap pasal kekalahan dia, mula la jadi radio pasar raya semula.”
“Awak tu... pantang saya senyap. Mula la nak menembak tak tentu pasal.”
“Kau cute bila marah. Hidung kau merah-merah. Nampak macam anak kucing. Sebab tu aku suka buat kau marah. Cantik yang semula jadi. Yang selalu-selalu tu... kau buat-buat cantik. Atau lebih tepat, perasan cantik.”
Dada terasa kembang. Mungkin kerana hati yang sudah kembang menggedik. Tangan naik memegang hidung. Gun cakap dia cute? Oh... Mimpi ke ni? Dalam memuji sempat lagi melemparkan peluru berpandu. Mujur juga perasaan gedik itu lebih banyak daripada perasaan marah... Hikhik...
“Tak payah nak buat muka kucing jantan. Pantang kena puji, mula la nak mengangkat dada tu tinggi.”
“Awak ni! Kalau tak menembak saya tak boleh ke? Mulut pot pet macam peluru expired!” Haaa, kan Maira dah mula marah. Marah-marah manja.
“Eh, nak aku maafkan tak? Marah-marah aku ni... tak nak maafkan nanti, baru tahu...”
Main ugut pula dah!
“Ya... saya minta maaf... Esok awak datang sekolah, eh? Kita kena berlatih. Pertandingan makin dekat.”
Mata dikerdip-kedipkan. Suara dileret-leretkan. Manja habis. Kalau tak cair juga, mahu dia lari menyorok di dalam tong sampah.
“Oh! Ini la tujuan utama sebenarnya. Datang nak memujuk pergi latihan. Takut nanti kalah. Yalah... orang cantik. Mana tahu erti kalah kan...”
“Eh, saya ikhlas la!”
“Yalah tu!”
“Ya. Sumpah. Saya minta maaf. Ikhlas daripada hati saya.”
“Jangan nak sumpah sangat. Ikhlas tak payah dicakap... sebab ikhlas itu kita tak nampak.”
“Alaaa. Habis tu, dah awak yang tak nak percaya...” Muncung mulut Maira. Tangan dimainkan, dipatah-patahkan. Diramas-ramas sesama sendiri.
“Manja juga kau ni ek? Ingatkan garang macam ibu ayam mengeram.”
“Eh, awak jangan nak panggil saya macam tu ya!”
Wajah Gun yang masih beriak selamba dipandang. Dari tadi duduk statik aje. Tak lenguh ke pinggang tegak aje macam tu? Tak lenguh ke mata tu tak berkelip-kelip pandang muka dia. Tahulah dia cantik... Ahaks, perasan.
“Macam budak-budak. Cepat sangat berubah emosi. Dah, tak payah nak buat muka muncung macam suntik Botox tu. Ingat aku ini apa, hal macam itu pun sampai nak merajuk? Aku bukan sengaja tak nak datang sekolah, tapi aku ada hal yang tak boleh elak. Esok aku pergi la. Kau aje yang gabra. Itulah, terasa diri tu buat salah kan...”
Huwaaa... Maira terasa sekarang juga dia nak terbang keluar dari tingkap. Malunya! Dia yang lebih-lebih rupa-rupanya. Bila Gun tak datang sekolah aje, Maira terus nak gelabah tak tentu pasal. Dia aje yang terlebih maju berfikir. Sampai perkara yang tidak berkenaan pun dia nak fikir. Selalunya tidak pernah dia nak ambil tahu tentang perasaan orang. Kali ini, yang tiba-tiba nak sentap kenapa? Kan dah malu.
Errr... Saya nak balik.”
Beg tangan diambil, bingkas dia ingin bangun dari duduk.
Secara mengejut dia menghentikan langkah apabila Gun tiba-tiba melunjurkan kakinya ke atas meja kopi. Gun menolak meja kopi dengan kakinya, bercantum dengan sofa. Menghalang laluannya.
“Cikgu nak balik.”
Hohoho, tiba-tiba aje gelarkan diri sendiri cikgu. Wajah Gun yang masih berwajah selamba dipandang takut-takut. Sejak bila pula hormon takut banyak sangat dalam diri Maira ini? Takut atau sebenarnya rasa tergugat melihat sikap tenang Gun? Dia sendiri tidak tahu.
“Saya tak bagi cikgu balik... Cikgu duduklah sini dulu... temankan saya...”
Oh, ibu... tolong! Gun dah buat suara romantik. Hati dia dah mengecut seram ini. Siap ubah nama panggilan lagi. Dia lagi sanggup dengar Gun menembaknya daripada buat suara romantik macam itu.
“Jangan nak miang! Cikgu nak balik. Tepi! Nanti cikgu jerit baru tahu.”
Gun ketawa kuat. Nampak macam kacak sangat.  
Tak nampak muka jahat pun.
“Ketawa pula... Tepilah.” Maira sudah berkira-kira ingin memanjat meja kopi. Seram pula dia rasa.
“Eh...” Tindakan Gun yang mengalihkan kaki dari menyendal meja kopi itu menyebabkan meja tersebut bergerak apabila Maira cuba melangkah naik.
Bedebuk! Jatuh tersungkur. Lutut terhentak meja.
Arghhh!!!”
“Ehhh... Sorry, sorry. Aku tak sengaja...”
Gun meluru mendapatkan Maira. Membawa Maira kembali duduk kembali ke atas sofa.
“Sakit?” soal Gun polos. Jelas riak wajahnya kelihatan risau.
Maira hanya mengangguk. Mengetap bibir menahan sakit.
“Itulah. Yang kalut sangat kenapa? Aku main-main aje pun. Ingat aku ni jahat sangat ke nak simpan anak orang dalam bilik ni?”
Gun bingkas bangun bergerak ke dalam bilik sebelum kembali dengan sebotol minyak angin. Gun duduk bertinggung di hadapan Maira.
Maira melihat kelakuan Gun. Sakit yang berdenyut-denyut di lutut seperti hilang memandang wajah Gun yang masih leka menunduk menyapu ubat. Gun benar-benar nampak sempurna. Mata yang bulat dan bercahaya. Dengan subang yang menghiasi telinga dan rantai bertali hitam, menampakkan Gun seperti lelaki yang cukup nakal dan menggoda. Betul cakap Sabrina dan Hayati, Gun mempunyai aura yang sukar dinafikan. Aura yang lain daripada yang lain.
“Okey... done. Sakit lagi?”
“Ha?” Terpinga-pinga Maira mendengar suara Gun yang tiba-tiba mengganggu pemerhatiannya.
“Sakit lagi tak? Rasanya yang sakit kaki... bukan telinga...”
“Sakitlah!” protes Maira geram. Sempat lagi nak menembak. Benci betul!
“Siapa suruh nak berlagak jadi lelaki? Dah tahu pakai mini skirt, ada hati nak memanjat.”
“Eh, awak yang buat perangai macam orang miang, memanglah saya takut.”
“Takut apa pula? Itulah, lain kali pakai lagi baju tak cukup kain macam tu. Itu nasib baik jatuh terduduk. Kalau jatuh terlentang, tak ke buat tayangan percuma...”
Gun bangkit kemudian duduk kembali ke atas sofa. Bersandar, kembali membuat muka tiada perasaan.
“Amboi mulut. Oh, kalau saya, awak kata tak boleh. Habis tu, adik awak tu, lagi seksa daripada saya berpakaian. Tak ada pula awak nak sibuk kan?” Geram Maira melihat mulut lelaki itu.
“But you muslim kan? Kenapa nak samakan taraf dengan kami? Bukan sepatutnya kau kena tutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan ke... Betul kan? Maaf kalau aku salah.”
Terdiam terus Maira mendengar balasan Gun. Terasa dirinya terlalu jahil. Gun yang bukan beragama Islam telah menegur auratnya. Ya, dia tahu batas-batas aurat yang harus dijaganya sebagai seorang perempuan beragama Islam. Ayah dan ibunya sudah cukup memberikan agama kepadanya. Tetapi dia sendiri yang degil, tidak mahu mengikut syariat yang telah ditetapkan. Bagi dirinya, dia tidak cantik dan hot jika terpaksa menutup auratnya.
Ibu Maira sendiri memakai tudung, tetapi dia langsung tidak pernah terniat mahu memakai tudung. Bukan tidak pernah ibu dan ayahnya menegur, malahan buku-buku agama juga sering diberikan hadiah oleh kedua-dua ibu bapanya. Mengapa hatinya tidak pernah terdetik seperti sekarang? Mengapa hatinya perlu tersentuh dan berasa malu seperti sekarang? Mungkinkah kerana orang yang menegurnya ialah seorang yang bukan daripada beragama Islam.
“Sakit sangat ke... Maaf ya...”
Maira hanya menunduk. Hanya matanya sahaja yang digerakkan memandang ke arah Gun. Melihat wajah Gun yang pernah dianggap sebagai musuhnya. Namun, lelaki itu bukanlah teruk sangat. Hanya dia sahaja yang tidak boleh menerima kekalahan.
“Taklah... sikit aje...”
Good girl...”
Maira tersenyum malu apabila Gun menggosok kepalanya. Persis apa yang selalu Fatah lakukan kepadanya.

Dari sinar mata Gun, dia dapat melihat hati lelaki itu yang penuh kasih sayang. Walaupun tanpa senyuman, namun wajah itu cukup menenangkan.

1 ulasan:

  1. Oh My Kak Ilah...L.O.V>E...GUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUNNNNNNNNNNNNNN!!!!!!

    BalasPadam