Isnin, 4 Mei 2015

Bukan Kekasih Tetapi Isteri-Bab 12



KERETA Rizza pandu dengan kelajuan sederhana. Zara yang duduk di bahagian penumpang dia jeling dengan ekor mata. Dari tadi dia tak bercakap apa-apa. Sakit hati dia ni tak hilang lagi. Semalam nasib baik dia cepat sampai. Kalau tak agaknya dua-dua buat aksi winter sonata depan rumah. Siap main buih bagai. Geramnya!
“Awak.”
“Hmm.” Jawab Rizza ala kadar.
Rizza nampak Zara main jari jemari sendiri. Kaki pun tak reti duduk diam. Nak kencing apa ke budak ni?
“Ermm. Yang pasal kerja tu. Boleh eh?” Soal Zara lembut.
Rizza pandang Zara sekilas sebelum kembali menumpukan perhatian pada pemanduan. Tak tahu la kenapa hati dia ni rasa susah sangat nak bagi Zara kerja. Tak tahu la kenapa dia jadi sakit hati tengok Zara bergurau senda dengan Hakim.
 Dia tak suka sebab dia tak nak tengok Zara gembira. Lebih-lebih lagi bila tengok pandangan Hakim pada Zara.
“Rizza. Boleh ye..” Sekali lagi Zara bersuara lembut.
“Sebab apa yang kau nak kerja sangat ni?”
“Saya kena la kerja. Saya pun ada keperluan yang saya nak juga. Saya perempuan rizza. Nafsu saya banyak.”
Rizza gelak sinis. Memang banyak nafsu pun! Sampaikan papa dia pun Zara berkenan.
“Itu je alasan kau? Kau nak apa? Aku boleh belikan la Zara.Tak payah nak bagi alasan macam tu.”
“Kalau saya kerja. Saya boleh duduk dekat rumah yang Hakim sediakan. Jadi tak adalah lagi saya kena duduk rumah awak. Fitnah pun boleh dielak.”
Berdesing telinga Rizza mendengar ayat Zara.
“Oh! Jadi inilah niat sebenar kau kan? Nak duduk jauh dari aku? Jangan harap Zara!” Marah Rizza. Apa guna dia susah payah bawak Zara datang ke sini kalau akhirnya Zara boleh bersenang lenang. Dia tak nak Zara terlalu bebas. Dia sendiri tahu Adila pasti sedang mencari Zara.
Fitnah? Berlagak baik konon. Selama ni pernah ke Zara ni fikir baik buruk. Tak pernah pun. Sekarang ni pulak baru nak nak fikir.
“Tak! Saya cuma nak kerja. Awak kena la faham saya.”
“Tak boleh Zara! Aku tak nak Adila jumpa kau nanti.” Kali ini suara Rizza dah melengking tinggi. Dia kalau dengan budak Zara ni, tak tahu la kenapa tak boleh nak kawal emosi.
“Kau duduk je dekat rumah aku tu. Keperluan kau aku boleh bagi.”
“Tak nak! Awak sendiri yang cakap. Saya bukan perempuan baik. Jadi saya nak buktikan pada awak. Saya bukan macam tu! Saya mampu berdikari sendiri.”
“Aku selamatkan kau dari Adila bukan untuk tengok kau hidup senang. Aku bawak kau datang sini bukan untuk aku tengok kau menggatal dengan orang lain. Papa aku terlantar sakit dekat sana. Kau pulak boleh tayang senyum dekat sini. Mana pergi rasa sayang kau pada dia dulu?” Rizza menjerkah garang.
Zara kemam bibir. Ikutkan hati memang dia nak je jerkah Rizza balik. Tapi dia tahu, Rizza bukan lawannya. Apa pun dia kena ingat, Rizza adalah orang yang banyak berjasa kepada dia.
“Berapa kali saya nak cakap yang saya tak ada apa-apa dengan papa awak. Saya dengan Tan Sri tak ada apa-apa!”
“Kau ingat aku nak percaya?!”
“Ikut suka la!” Zara berpeluk tubuh sambil dengan wajah yang dipalingkan ke luar tingkap.
Rizza merengus kasar. Petang semalam, ikutkan hati dia ni nak je dia sapu muka Hakim tu dengan penyapu lidi. Zara pun sama! Memang patut pun dia sorok Zara dalam poket. Biar Zara tak ada peluang nak kenal lelaki lain. Menyampah dia tengok perangai miang Zara.
Terngiang-ngiang lagi ayat Hakim semalam.
“Azrim. Aku nak ambik sepupu kau ni kerja dengan aku? Boleh tak? Lagipun dia memang datang sini cari kerja kan.”
Bulat mata Rizza. Sepupu? Apa yang dah Zara ni ceritakan pada Hakim. Sejak bila pulak dia ni sepupu dengan Zara? Darah yang mengalir dalam badan dia ni tak ada langsung gen keturunan Zara.
“Kerja dengan kau? Kat klinik ke?” Soal Rizza sambil mengawal suara.
“Yup. Kebetulan memang ada nak pakai pembantu klinik.. Gaji tak ada la mahal mana. Tapi bolehlah untuk buat tanggung belanja Zara tu. Okey la kan dari tak ada kerja langsung.” Hakim lempar senyum.
Rizza buat muka beku. Bibir ni dah tak reti nak senyum sejak nampak kejadian berbuih sabun.
“Tapi klinik kau dekat Indera Mahkota kan? Jauh tu. Aku bukan lah tak nak bagi. Tapi Zara tu tangunggjawab aku. Nak bagi dia berulang jauh macam tu. Risau juga aku.” Rizza pura-pura perihatin.
“Itu kau jangan risau. Aku memang ada sediakan rumah untuk pekerja aku. Mudah dorang nak berulang. So,Zara bolehlah duduk sana je.”
Bulat mata Rizza. Jadi Zara kena pindah keluar. Ini yang buat dia makin nak berasap ni.
“Susah sikit la Hakim. Zara tu bukan biasa dengan kawasan dekat sini. Tu yang aku risau nak lepas tu. Tak apalah. Nanti aku carikan dia kerja dekat-dekat kawasan ni.”
“Azrim. Kau ni, macam tak biasa pulak dengan aku. Kalau dah Zara tu kerja dengan aku. Takkan la aku nak biarkan dia. Kau jangan risaulah, aku boleh tengok-tengokkan dia.”
Rizza picit tengkuk. Bukan senang dia nak lepaskan Zara keluar. Kalau dia bagi Zara keluar dari rumah ni. Dia kena berani ambik risiko yang Adila akan jumpa Zara.
“Ermm. Zara setuju ke nak duduk sana?” Soal Rizza sambil memandang ke dalam rumah.
Keluar je dari kereta, terus dia suruh Zara bersiap. Kononnya nak pergi makan sekali. Padahal dia menyampah nak tengok Zara duk tersenyum-senyum dengan Hakim.
“Dia okey je. Cuma itulah, dia kata nak tanya kau dulu. Tapi aku tahu kau mesti bagi punya kan. Bukannya nak buat benda tak elok. Nak cari rezeki. Takkan la kau tak bagi pulak. Ye tak?”
Dalam poket seluar Rizza genggam tangan erat. Memandai je dua orang manusia ni buat keputusan untuk dia. Terutama Zara. Apa hak Zara memandai nak setuju.
“So Zara dah setuju la ni?”
Hakim angguk.
“Boleh tak ni Azrim?”
“Aku..”
“Alaa. Kau ni sayang sungguh ye dekat sepupu kau tu. Risau bukan main.. Kau jangan takut la. Aku jaga Zara tu elok-elok punya.”
Rizza tahan hati. Itu yang dia takut! Takut kalau Hakim menggatal dengan Zara tu. Dia bukan cemburu. Tapi dia menyampah nak tengok Zara tu ada orang lain yang sayang. Dia nak biar Zara rasa keseorangan.
Kenapalah apa yang dia rancang semuanya tak menjadi. Dia nak bagi Zara marah tapi dia pulak yang rasa marah. Dia nak bagi Zara rasa susah tapi hati dia ni pulak yang tak senang. Dia nak bagi Zara rasa sunyi. Tapi ada je makhluk lain yang sibuk nak menempel.
“Arghh!” Stereng Rizza hentak. Geram!
“Awak kenapa?”
Rizza berpaling ke sebelah. Kelihatan Zara yang sedang terkelip-kelip memandangnya. Macam mana la dia sempat lagi beremosi dengan perbualan antara dia dengan Hakim petang semalam. Mesti Zara fikir dia dah tak betul. Tiba-tiba je mengamuk tak tentu pasal.
“Turun!” Arah Rizza bila kereta sampai depan Giant.
Rizza sendiri terus turun dan melangkah laju menuju ke dalam pasaraya. Zara yang terkedek-kedek berjalan dia tinggalkan di belakang. Troli dia ambil dan terus pergi dekat barangan yang menjual minuman.
“Nak buat apa ambik banyak sangat air ni?” Soal Zara sebaik sahaja sampai di sebelah Rizza.
“Minumlah!” Jawab Rizza kasar. Dua kotak susu Dutch Lady dia ambil dan letak dalam troli. Lepas tu dua botol besar air 100 plus dia ambik juga.
“Buat apa banyak sangat? Habis ke nak minum?”
“Habislah. Kalau tak buat apa aku beli.”
“Tapi kan dekat rumah tu susu macam tu ada lagi. Ini kenapa beli lagi? Susu macam ni kan cepat expired date. Nanti membazir. Saya pulak ahad ni dah nak pindah rumah. Siapa yang nak minum.”Kata Zara. Kemudian sekotak susu Dutch Lady dia ambil dari dalam troli dan letak semula dekat rak.
“Kalau aku ambik maknanya habislah. Yang kau sibuk sangat kenapa?!” Marah Rizza. Susu tadi dia kembali ambil. Kali ini sampai tiga dia ambil. Protes!
“Hmm. Ikut suka la.”
Rizza ketap bibir memerhatikan Zara yang sudah berlalu ke depan. Suka la tu dapat pindah keluar! Geram punya pasal sekotak lagi susu dia ambil. Biar minum sampai muntah!
“Hey!” Panggil Rizza
Zara berpaling. Rizza buat isyarat guna jari terlunjuk supaya Zara datang dekat dia. Zara melangkah dengan muka bersahaja.
“Ni! Kau tolak. Banyak cantik nak berjalan itik. Jangan tahu nak melawa je!” Kata Rizza sebaik sahaja Zara mendekatinya. Troli dia tolak sehingga terkena tangan Zara. Dia buat tak tahu je bila dengar mulut tu berdesis sakit. Biar! Hati dia ni lagi sakit.
“Ambik plastik tu.” Arah Rizza sebaik sahaja sampai ke bahagian basah.
Zara hanya akur tanpa bantahan. Dengan isyarat tangan Rizza mengarahkan Zara mengambil sotong dan juga udang.
“Lagi..” Arah Rizza bila Zara berhenti mengisi udang ke dalam plastik.
“Banyak dah ni.”
“Lagi!” Arah Rizza lagi sambil menjegilkan mata. Melawan je tahunya budak ni.
Rizza nampak Zara menjeling. Tapi tangan berjalan juga meletakkan udang sampai hampir separuh plastik.
Ha bagus!
Itu dia suruh Zara yang masak nanti. Selagi tak habis stok makanan dekat rumah, jangan harap dia boleh keluar. Duduk je dekat rumah dia tu habiskan segala stok makanan. Padan muka Zara!
“Ambik ikan tu enam ekor.”
“Ikan merah ni? Enam ekor? Buat apa banyak sangat.”
“Ambik ajelah!”
“Tak nak saya. Nanti membazir je. Rizza..kita ni beli kenalah beringat. Jangan la ikut nafsu..”
“Aku kata ambik tu ambik je la. Yang banyak bunyi sangat kenapa..” Kata Rizza sambil menolak bahu Zara supaya mengambil ikan tersebut.
Zara geleng dan buat keras diri.
“Zara! Ambik aku kata!!” Kali ini suara Rizza dah kuat. Dah keluar aura kapten dia. Dia tersenyum kemenangan bila nampak Zara capai plastik dan meletakkan ikan tersebut dengan kasar.
Tapi senyuman Rizza bertukar keras bila mengangkat muka. Semua orang disekeliling sedang memandang ke arah mereka berdua. Zara pulak masih lagi tekun dengan plastik-plastiknya. Langsung tak ada muka malu.
“Ha. Tahu takut. Okey tak suara saya kalau jadi garang?” Kata Rizza mula berlakon. Ketawa dia buat-buat sambil mengosok-gosok kepala Zara. Dia tahu mesti orang sekeliling dia fikir yang dia mendera isteri.
Zara pulak dah terkebil-kebil pandang Rizza. Dia perasan Rizza memberikan isyarat mata.
“Awak ni kenapa? Tertelan gusi ke?” Kata Zara sambil menepis tangan Rizza. Tak faham betul dia dengan lelaki seorang ni.
Rizza ketap gigi. Ciss! Sia-sia je dia terkenyit-kenyit, terjuling-juling. Boleh pulak Zara tak faham. Buta apa ke tak nampak yang orang tengah memerhatikan mereka berdua.
“Jom sayang. Cukuplah ni.” Kata Rizza sambil mengambil alih tugas menolak troli. Tangan sebelah lagi pula memaut bahu Zara supaya berlalu.
Rizza nampak Zara memandang dia dengan mata yang terkelip-kelip. Ketara sangat bulu mata dia turun naik. Sah! Kali ini memang Zara akan cakap dia buang tabiat. Tiba-tiba je nak bersayang bagai.
“Ambik biskut tu.” Arah Rizza bila mereka sudah agak jauh dari ruangan barang basah.
“Nak yang mana?”
“Ambik je semua.”
Zara mengambil beberapa bungkusan biskut yang biasa ada dirumah. Malas nak melawan. Ikut je arahan Kapten sengal ni.
“Kau tunggu dekat kaunter. Sekejap lagi aku datang.” Arah Rizza bila teringat yang dia lupa nak ambik gula. Gula dekat bahagian belakang sana..terpaksa la dia berpatah belakang semula. Nak suruh Zara ni karang lambat sangat pulak. Jalan pun terkedek-kedek. Nanti buat panas hati dia je.
Tapi memang panas hati pun! Elok saja dia sampai dekat kaunter Zara tak ada. Mana pulak budak ni. Kan dia suruh tunggu sini. Ini sah melencong ke lain. Entah-entah mengikut mana-mana jantan. Bukannya boleh kira budak sorang tu. Pantang jumpa magnet positif mulalah mengekor je.
Telefon bimbit dia keluarkan. Nombor Zara dia dail dengan perasaan yang tak sabar.
“Bagus. Tak angkat!”
Telefon dia simpan kembali ke dalam poket seluar. Mulut rasa nak marah. Tapi hati dia ni risau jugak.Cepat kaki dia mengatur langkah ke tempat mula-mula dia tinggalkan Zara tadi. Kepala melilau pandang keliling. Fokus dia sekarang adalah perempuan yang memakai baju warna pink. Yes! Pink. Itu baju Zara tadi.
“Kat situ rupanya.” Omel Rizza geram bila ternampak Zara sedang berdiri tegak di hadapan sebuah rak. Laju langkah Rizza mendapatkan Zara. Gaya macamlah Zara tu akan lenyap dalam sekelip mata.
“Kan aku suruh tunggu dekat kaunter!” Bisik Rizza geram dekat dengan telinga Zara. Nak jerkah nanti takut kejadian tadi berulang lagi. Lengan Zara dia pegang kemas. Memang dia rasa takut kalau Zara hilang lagi.
“Err..” Zara serba salah.
Rizza pandang bahagian rak yang menjadi tumpuan mata Zara. Perlahan-lahan pegangan di tangan Zara dilepaskan. Pandang muka Zara dan barang yang terhidang di depan mata silih berganti.
“Jom!” Ajak Rizza. Buat malu dia ajelah duduk dekat bahagian alat perempuan ni.
Hilang la macho!
“Err.. Rizza. Saya...” Zara menarik hujung baju Rizza teragak-agak.
“Saya nak beli ni sekejap. Awak pergi la tunggu kat sana dulu. Sekejap lagi saya datang.” Pinta Zara perlahan.
Takkan la dia nak memilih barang peribadi macam ni depan Rizza pula. Dia masih ada perasaan segan.
Rizza angkat kening. Nak tinggal Zara lagi sekali? Jangan harap. Pandangannya jatuh pada tuala wanita yang berderet di depannya. Mungkin ini yang Zara nak beli.
“Beli apa?” Sengaja Rizza menyoal. Mahukan kepastian.
“Ermm. Adalah. Awak pergilah dulu.” Zara sudah menolak-nolak sedikit badan Rizza supaya berlalu. Rizza nampak pipi Zara macam dah jadi warna merah jambu. Sesuai sangatlah dengan baju Zara..
“Nak ni kan? Ambik aje la terus. Apa masalahnya.” Jawab Rizza sambil menunjukkan barangan di depan mereka.
Melihat Zara yang masih teragak-agak cepat tangan Rizza mengambil beberapa bungkusan tuala wanita. Tak tahu la jenis apa..dia main campak je dalam troli. Macam-macam warna ada. Apa yang bezanya pun tak tahu la. Dia rasa sama je.
Lepas siap campak beberapa jenis tuala wanita, terus Rizza tolak troli dan tarik lengan Zara berlalu pergi. Buat malu dia je nak duduk situ lama-lama. Dibuatnya terserempak dengan budak tempat kerja dia. Tak ke biru muka. Sudah la sekarang ni apa-apa tentang dia cepat je tersebar.
“Lagi nak beli apa?” Soal Rizza.
Zara geleng dengan kepala yang masih menunduk.
Rizza yang melihat rekasi Zara sudah tersenyum mengusik. Tahu malu rupanya.
“Leher kau dah tenggelam ke apa? Yang kau tunduk je apahal?”
Zara geleng lagi.
“Pandang aku.” Arah Rizza tegas.
Zara angkat sikit kepala. Tapi mata masih tak pandang muka Rizza.
 Rizza gelak dalam hati. Oh! Ada sikap pemalu juga rupanya budak ni. Dia ingat Zara memang jenis selamba tenuk.
“My lovely dear. Aku suruh pandang. Kalau pandang maknanya guna mata...” Suara Rizza leretkan. Sengaja dia tekankan perkataan ‘My Lovely Dear’ tu.
Kali ini Rizza nampak perlahan-lahan bulu mata tu naik ke atas. Mata cantik itu memandang dia tepat. Dia telan liur.Melihat mata cantik milik Zara dengan pipi yang berona merah. Buat dia hilang kata-kata. Lama mata dia melekat dan merenung jauh ke dalam mata hitam milik gadis yang berada di hadapannya. Ada sesuatu yang mengusik perasaan ketika ini.
“Rizza.” Suara lembut Zara menyedarkan Rizza.
Rizza berdehem sekali. Kemudian pura-pura pandang ke belakang Zara. Perasaan cuba dikawal sehabis mungkin.
“Cepatlah. Lembab!” Lengan itu Rizza capai dan berlalu pergi.
Dia atur langkah menuju ke kaunter dengan perasaan yang tak tenteram. Tangan masih setia memegang lengan Zara. Dalam hati dia ada satu suara mengatakan. Dia tak akan lepaskan Zara. Tak akan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan