Sabtu, 16 Ogos 2014

Rasa Cinta Untuk Dia

BAB 03
            SESEKALI Fakri menoleh ke arah Nurin di belakang. Masuk saja ke dalam Hotel Eastin tadi, dia terus membawa Nurin duduk di kerusi menunggu. Sementara dia pula terus ke kaunter pendaftaran. Kalau boleh dia nak masuk bilik cepat-cepat, kesian isteri dia. Mesti penat tu.
            “Ini kunci bilik encik. Encik perlukan bantuan kami ke untuk bawa beg pakaian ke bilik?” Soal gadis muda di hadapannya.
            “No need. I’m handle my self. Thank you.” Senyuman gadis itu dia balas ala kadar. Kemudian panjang langkahnya mendapatkan Nurin.
            “Sayang. Jom, kita masuk bilik..” Lengan Nurin dia paut untuk membantu Nurin bangun. Dengan keadaan Nurin seperti sekarang memang agak sukar untuk Nurin bangun dan duduk.
            “Awak ada kes bila?” Soal Nurin sebaik sahaja berada di dalam lif.
            Fakri menjeling ke sebelah. Senyuman terukir. “ Amboi, tak sabar sangat gayanya nak abang pergi kerja. Tak suka sangat ke tengok muka abang ni?”
            “Tahu tak apa..”
            Jawapan Nurin memantikan senyuman Fakri. Padan muka kau! Nak sangat bergurau kan.. Dah tahu isteri kau ni bukannya manusia yang boleh di bawa bergurau. Akhirnya dia hanya diam tak membalas sehinggalah sampai di depan pintu bilik.
            “Nurin nak abang duduk bilik lain ke?” Entah kenapa gatal pulak mulut Fakri bertanya.
            Nurin menoleh ke sebelah. “Ikut sukalah.” Jawapan yang lahir hanya di bibir. Sedangkan di hati lain pula jawapannya. Namun untuk menghalang, tidak akan sesekali. Selagi boleh dia tak akan tunjukkan yang dia lemah.
Fakri garu pipi yang tak gatal. Nak duduk bilik lain ke?
“Tak nak abang. Tak ada duit dah nak bayar. Hotel ni mahal.” Tak akan! Dia nak merapatkan hubungan. Bukannya nak mewujudkan jurang antara mereka berdua. Pintu bilik dia tolak dan mempersilakan Nurin masuk terlebih dahulu.
Mendengarkan jawapan Fakri, dalam diam Nurin melepaskan nafas kelegaan. Untuk apa dia ikut sampai ke sini kalau nak biarkan dia duduk seorang diri. Baik dia duduk dekat rumah je. Tak ada duit? Terbaik betul jawapan Fakri. Dasar peguam, ada je jawapan spontan yang akan keluar.
“Awak..” Mati kata-kata Nurin sebaik sahaja melihat keadaan bilik. Wajah Fakri dicari.
Fakri pula sudah simpan senyum. Mesti Nurin terkejut punya. “Ye. Kenapa sayang?” Soalnya buat-buat tak tahu.
“Err.. Ini bilik kita?”
“Yup. Suka?”
Nurin telan liur. Ini bilik orang nak berbulan madu! Katil bersaiz king yang dihiasi kelopak mawar merah dia pandang. Perlu ke semua ni?
“Senyap je tu. Maknanya suka la kan..” Giat Fakri. Wajah terkejut Nurin dia pandang. Memang sengaja dia tempah honeymoon suit. Yela pun! Semenjak dia kahwin tak merasa lagi nak berbulan madu. Inilah masanya. Bijak betul Adhan Fakri ni!
“No.. Saya tak jawab apa-apa pun kan..” Jelingan Nurin hadiahkan pada Fakri.
“Bagi abang, diam tu maksudnya adalah ‘ya’. So, kalau rasa jawapan Nurin ‘tak’. Sila bersuara ye, kalau tak...abang anggap je Nurin setuju.”
“Whatever..” Nurin bergerak mencari katil. Kaki dia dah mula terasa lenguh. Namun sebaik sahaja hidungnya menghidu bau haruman yang terbit dari kelopak bunga ros, automatik dia menutup hidung. Rasa mual menolak anak tekak. Bersusah payah dia membawa perut berjalan mencari bilik air.
“Sayang!” Terkejut Fakri sebaik sahaja melihat Nurin yang sudah terbongkok-bongkok di depan singki.
“Buang bunga ros tu, saya tak suka..” Pinta Nurin sebaik sahaja membasuh mulut. Perit tekaknya bila terpaksa memuntahkan air liur yang agak banyak.
Fakri akur. Berlari anak dia masuk semula ke dalam bilik dan mengauk kesemua kelopak bunga ros yang berada di atas katil. Kemudian bergegas juga dia mendapatkan telefon. Nombor bahagian servis dia dail dan mengarahkan agar pihak hotel menukar cadar baru. Dia tak mahu ada sebarang bau lagi.
“Sayang, awak okey?” Soal Fakri mendapatkan Nurin yang sudah duduk bersandar di sofa.
Nurin angguk kemudian memejamkan mata.
Melihat keadaan Nurin, cepat tangan Fakri bergerak ke pelipis Nurin. Memicit perlahan. Nurin membuka mata sebaik sahaja terasa ada tangan hangat yang singah di pelipisnya.
“Abang picit. Sakit kepala kan?” Mengerti maksud pandangan mata Nurin. Pantas Fakri menjawab.
“Sorry, abang tak tahu pula Nurin alah dengan bau bunga ros..”
“Hmm. Sebelum ni okey je..”
“Kalau tahu, abang suruh pihak hotel tukar dengan kelopak bunga matahari. Tak ada bau. Kesian isteri abang..” Fakri sudah terasa ingin menepuk dahi sendiri. Ini semua berpunca dari dia. Nak beromantik sangat kononnya.
“Awak pergilah solat isyak dulu..”
“Kita jemaah. Sayang, larat tak?”
Nurin mengangguk. Malas nak bercakap banyak. Fakri bangun dan bergerak mencari bilik air. Sempat dia melirik ke arah skrin telefon bimbit, dah hampir pukul 10 malam. Kalau tak difikirkan yang dia ada kes pagi tadi, memang dia nak bergerak awal ke sini. Tak adalah sampai lewat sangat. Keluar sahaja Fakri dari bilik air, giliran Nurin pula yang membersihkan diri.
Solat jemaah bersama, itulah rutin yang Fakri dan Nurin selalu amalkan bersama. Disebabkan itu jugalah Nurin merasakan Fakri adalah lelaki yang layak menjadi bapa kepada anaknya nanti. Kalau boleh dia tak nak anak dia menerima nasib yang sama sepertinya. Dia mahukan anaknya menerima cukup kasih sayang dunia akhrirat.
“Nurin, sekejap. Abang ada perkara nak cakap sikit,” halang Fakri apabila Nurin ingin bangun sebaik sahaja selesai solat.
Nurin akur. Namun dia sedikit kekok apabila tangannya dicapai Fakri. Mata saling bertentang beberapa saat sebelum Nurin pantas melarikan anak mata. Sering kali kalah dengan pandangan redup milik Fakri.
“Nak cakap apa?” Soal Nurin tidak mahu berlama.
“Sayang, awak pernah dengar tak kisah antara cinta dunia dan cinta akhirat?”
“Tak,” sepatah Nurin menjawab.
“Nurin tahu apa maksud cinta?”
“Saya tak berminat nak ambik tahu. Bagi saya cinta tu tak wujud pun.”
Fakri tersenyum mendengar jawapan Nurin. Kedudukannya dirapatkan. Lutut berlaga lutut. “Tapi.. Di sini..” Fakri meletakkan tangan kirinya ke dada.
“Ada cinta untuk Nurin Aisyah,” sambung Fakri sambil merenung jauh ke dalam anak mata Nurin. Dia mahu Nurin tahu, dia benar-benar ikhlas.
“Kalau awak tipu saya pun saya tak akan tahu,” balas Nurin tanpa perasaan.
“Terima diri abang, then you will know how much I love you.”
Nurin diam tak membalas. Dulu, ketika dia baru berusia belasan tahun. Dia juga sering disogok dengan kata-kata seperti itu. Dan kerana kata-kata itulah, dirinya hanyut di saat usia baru mencapai 18 tahun. Kerana kata-kata itu jugalah, kini dia terpaksa membawa perut akibat terpedaya dengan janji manis lelaki.
“Bila kita sering meletakkan akal di bawah pengaruh nafsu, maka terjadilah cinta dunia. Cinta yang hanya memikirkan keseronokan semata-mata. Cinta yang hanya memandang bertapa nikmatnya rasa bibir ini..” Tangan Fakri naik menyentuh bibir kecil milik Nurin. Berhenti sejenak untuk melihat tindak balas Nurin.
Melihat Nurin yang hanya menundukkan pandangan, Fakri meneruskan kata-kata. “Cinta dunia yang hanya tahu berfikir mengenai kepuasan seks bersama pasangan. Cinta dunia hanya tahu mengira, berapa kali dia dapat merasai kelembutan pipi ini..” Kali ini pipi tembam Nurin pula yang menjadi mangsa tangan Fakri. Disentuh dengan penuh kelembutan.
“Cinta dunia sering membawa kita ke jalan yang penuh kekhilafan. Lupa dimana tiang sebenar untuk kita berpaut sehingga kita lemas ditelan ombak yang membadai. Tetapi berbeza dengan cinta akhirat..”
Nurin mengangkat muka. Membalas pandangan redup Fakri. “ Cinta akhirat macam mana?” Soalnya ingin tahu.
“Begini..” Ciuman Fakri jatuhkan di antara kedua belah kening Nurin. Lama..
Nurin memejamkan mata. Rapat. Genggaman tangan Fakri dia balas kuat..
“Cinta akhirat hanya akan menyentuh sesuatu yang halal. Sesuatu yang boleh membawa saham untuk ke akhirat. Cinta akhirat tidak pernah mengira berapa kali dia bersama isterinya sebulan. Tetapi cinta akhirat akan mengira sudah berapa banyak dia berikan pahala syurga untuk isterinya setiap hari. Perempuan bukanlah didampingi kerana nafsu, tetapi didampingi kerana rasa ingin menjadikannya bidadari di syurga nanti. Abang tak pernah berniat untuk mencintai Nurin hanya di dunia. Tetapi abang ingin membawa Nurin sehingga ke akhirat nanti. Bersama dengan abang menikmati apa itu rasa sebenar cinta akhirat. Will you sayang?” Panjang lebar Fakri menerangkan. Kali ini dagu Nurin, Fakri paut. Mencari mata milik si isteri.
“Tapi saya tak layak..” Sedaya upaya Nurin melarikan anak mata. Tidak mahu terus hanyut. Jujur dia mengakui, kata-kata Fakri sedikit sebanyak menyentuh hatinya. Sebagai seorang perempuan, dia memang menginginkan seorang lelaki yang sudi memimpin ke jalan syurga. Tetapi layakkah dia?
“Layak atau tidak bukan sayang yang tentukan. Bagi abang, memiliki seorang isteri yang tahu menjaga auratnya, tahu menghormati suaminya..itu adalah sudah cukup terbaik. Abang tak pernah kisah mengenai masa silamnya, kerana bagi abang itu dirinya sebelum dia menjadi isteri abang.” Luah Fakri jujur.
Pertama kali melihat gambar milik Nurin hatinya sudah tertarik. Jika bukan kerana rumah perlindungan itu adalah tempat larangan bagi lelaki, pasti dia sudah pergi mencari Nurin. Namun akhirnya kerana rasa cinta yang semakin menggebu. Dia nekad untuk bersua muka juga dengan wanita yang sudah berjaya mencuri hatinya walaupun hanya dari sekeping gambar. Kerana itulah dia mengadakan majlis kesyukuran, dan dia sendiri yang mengetuai bacaan yassin malam itu. Malam bersejarah itulah, kali pertama dia bertentang mata secara berdepan dengan Nurin.
“Pertama kali melihat wajah Nurin, hati abang terus terpaut tanpa mampu berpaling lagi.. Apa yang abang tahu, I’m just want you come into my heart. Stay here. Abang nak jadi seseorang yang mampu melindungi dan menyanyangi Nurin sehingga ke akhir hayat abang.”
Nurin terkesima. Memang pada awalnya dia juga pelik apabila ada seseorang yang sudi mengambilnya sebagai isteri. Langsung tidak kisah akan dirinya yang sudah mengandungkan anak luar nikah. Apa yang terfikir olehnya pada masa itu adalah lelaki tersebut hanya ingin mengambil kesempatan. Namun sebaik menjadi isteri kepada Fakri, hatinya perlahan-lahan terpaut. Fakri mempunyai hati seindah peribadinya.
“Awak mampu dapat seorang isteri yang lebih baik dari saya. Bukan perempuan kotor macam saya ni. Saya dah tak ada apa yang boleh dipersembahkan kepada awak, Fakri.”
Fakri menarik nafas panjang. Berdepan dengan wanita seperti Nurin, dia harus  bijak mengawal perasaan. Dia tidak boleh terlalu mengikutkan sangat perasaannya.
“Sayang. Listen.. Sedar tak sebenarnya yang awak dah memberikan satu persembahan yang terbaik kepada abang setiap hari. Melihat awak dengan pakaian seperti ini, sejuk mata hati abang..” Tangan Fakri naik memegang bahu Nurin yang masih lengkap memakai telekung.
Kemudian tangannya naik pula memegang belakang kepala Nurin. “Melihat sayang menjaga aurat ini hanya untuk abang, membuatkan hati abang kembang dengan rasa bangga. Isteri abang pandai menjaga auratnya. Melihat sayang bersusah payah menguruskan rumahtangga dengan perut yang sarat seperti ini membuatkan hati abang semakin kembang dengan kasih sayang. Sayanglah adalah persembahan yang terbaik untuk abang.”
Nurin mengigit bibir. Mata dikelipkan berkali-kali. Cuba mengawal air mata yang bila-bila masa saja akan mengalir. Mengapa masih wujud lelaki yang memandang tinggi martabat dirinya.
“Tapi ini bukan anak awak,” ucap Nurin dalam kepayahan.
“Ini anak abang. Nurin isteri abang, jadi bayi yang berada di dalam rahim isteri abang ini sudah semestinya anak abang.”
“Fakri. Awak kena terima hakikat. Anak ini wujud bukan dari benih awak...”

“Nurin juga kena terima hakikat. Yang abang bersedia untuk memikul semua tanggungjawab tu. Please, I’m begging you. Jangan persoalkan lagi status bayi ni. Beri dia peluang untuk mengenal abang adalah ayahnya..” Rayu Fakri penuh berharap. Dari awal lagi hanya itulah alasan yang Nurin berikan. Namun bagi Fakri, dia menerima Nurin seadanya. Apa yang terjadi ke atas Nurin sekarang ini bukanlah atas kehendak Nurin sendiri. Dia menjadi mangsa nafsu rakus manusia berhati binatang! 

Rasa Cinta Untuk Dia

BAB 02
            PERUT yang terasa menegang dipegang. Kini usia kandungannya hampir mencecah tujuh bulan. Terasa begitu cepat masa berlalu. Dia sendiri juga tidak menyangka bahawa kini dia sudah bergelar seorang isteri. Jika tidak memikirkan kata-kata Bonda Kalsom mengenai masa depan anak di dalam kandungannya, tak mungkin dia akan menerima Fakri. Bukanlah dia tidak suka kepada Fakri, lelaki itu terlalu baik dengan dirinya. Sikap tidak putus asa Fakri memang menarik minatnya. Namun kerana rasa takut dan rendah diri, dia nekad cuba menjauhkan diri dari lelaki itu. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Terlanjur sayang kemudian ditinggalkan.
            “Kenapa tak tidur lagi?”
            Baru je memikirkan soal Fakri, kini Fakri sudah betul-betul muncul di hadapannya. Belakang lelaki yang sedang menyalin pakaian itu dia pandang. Selamba betul!
            “Tak mengantuk lagi ke?” Soalan yang sama Fakri lontarkan. Cuma susunan ayat sahaja yang berbeza. Nurin dibelakangnya dia pandang sekilas. Entah apalah yang isteri dia fikirkan agaknya.
            “Belum..” Nurin menjawab sepatah sambil melarikan mata ke arah lain. Segan melihat Fakri yang tidak berbaju. Badan direbahkan ke atas tilam.
            “Sayang..” Panggil Fakri sambil menyarung seluar tidur mengantikan kain pelekat yang dipakainya.
            Nurin diam tidak menyahut. Nafas kecil dilepaskan bagi melapangkan dada yang terasa sedikit sesak setiap kali mendengar perkataan sayang keluar dari mulut Fakri. Fakri ni seolah tahu kelemahan dia. Suka sangat manjakan dia dengan panggilan macam tu.
            “Esok abang ada kes dekat Penang. Awak ikut abang ye..” Sambung Fakri lagi setelah melihat Nurin masih mendiamkan diri. Dia tahu Nurin dengar apa yang dia sampaikan.
Langkah diatur bagi menutup suis lampu sebelum mengatur langkah ke katil. Suasana bilik kini hanya diterangi cahaya lampu jalan yang mencuri masuk melalui tingkap yang sengaja dibiarkan terbuka. Biar udara segar masuk. Nak pasang penyaman udara, takut nanti Nurin tak tahan. Sedangkan angin dari kipas pun Nurin tak tahan, inikan pula penyaman udara. Jadi biarlah udara segar yang masuk, tak panas sangat.
            “Tak nak.” Suara Nurin sebaik sahaja Fakri merebahkan tubuh di sebelahnya.
            “Habis tu nak duduk rumah dengan siapa?”
            “Saya dah biasa sorang-sorang. Tak perlukan teman..”
            Fakri menggaru hujung kening. Dah agak! Ini dah lagi satu hal nak kena buat sesi pujuk memujuk. Nasib baiklah dia memang dah terbiasa bab pujuk memujuk ni. Meraih kepercayaan orang adalah kerjanya hari-hari. Jadi tak susah sangat pun.
            “Sayang..”
            “Nak tidur.”
            Fakri senyum kecil. Kepala di angkat sedikit cuba mengintai si isteri di sebelah. Dia menahan gelak bila melihat Nurin yang pantas memejamkan mata. Tidur konon!
            “Ikut abang eh..” Pujuk Fakri. Badan dibawa mengiring menghadap ke arah Nurin.
            Sedegil-degil Nurin, namun ada juga yang bagusnya tentang isteri dia ni. Nurin tak pernah tidur membelakangkan dia. Makan, pakai dia juga Nurin tak pernah abaikan. Mungkin berkat didikan Bonda Kalsom. Cuma sikap dingin Nurin saja yang masih belum berubah. Itu dia tak pernah nak salahkan Nurin. Dia sendiri tahu, bukan mudah untuk berada di posisi Nurin. Diperkosa kekasih sendiri kemudian dibuang keluarga. Memang terlalu berat dugaan itu untuk dipikul gadis semuda Nurin.
            “Sayang..”
            “Tak nak..”
            “Tak kira. Ikut juga..”
            “Boleh tak jangan nak paksa saya.”
            “Abang tak paksa. Abang cuma keluarkan arahan sebagai suami yang mahukan isterinya temankan dia ke penang. Am I wrong, sayang?” Soal Fakri sengaja membiarkan Nurin sedar siapa dirinya. Dia suami!
            “Berapa hari?”
            Fakri senyum. “Dua hari.. Nurin ikut abang. Esok petang kita pergi.”
            “Hmm..” Akhirnya Nurin mengalah juga. Bila sebut pasal perintah suami, mulalah dia goyah. Selama ini sudah terlalu banyak dosa yang dia tanggung, tak sanggup lagi rasanya dia nak menambah dosa yang sedia ada.
            “Great. That my wife,” balas Fakri sambil tangan naik menyentuh ubun-ubun Nurin.
            Rasa senang yang hadir apabila menerima sentuhan Fakri membuatkan Nurin diam tidak membalas. Pembaringan dibetulkan, keadaan perut yang semakin membesar membuatkan pinggangnya mula berasa tidak selesa.
            “Lenguh ke sayang?” Seolah faham apa yang Nurin lalui, cepat Fakri bertanya.
            “Hmm.”
            Cepat Fakri bangun sebaik sahaja mendengarkan jawapan Nurin. Sudah faham benar dengan masalah kesakitan di bahagian pinggang dan belakang yang sering Nurin alami.
            Sebiji bantal Fakri ambil, “Abang tinggikan bantal.”
            Nurin yang merasakan lenguh di bahagian pinggangnya semakin terasa hanya mengangguk akur. Fakri pula dengan penuh lemah lembut membantu Nurin menyelesakan diri. Dia menjadi suami kepada Nurin dari awal kehamilan gadis itu lagi, jadi dia sudah faham benar akan alahan-alahan yang sering di alami Nurin.
            “Tidurlah. Tak apa, saya dah okey,” arah Nurin bila merasakan pembaringannya semakin selesa. Kalau boleh dia mahu mengelak dari menerima terlalu banyak sentuhan dari Fakri. Bimbang hatinya akan tertawan.
            Fakri tersenyum, akur. Ciumannya singgah di atas dahi Nurin. Pantas! Kena buat cepat. Kalau terhegeh-hegeh, memang tak merasa la jawabnya. Nanti elok je melekap bibir dia atas bantal bila Nurin mengelak. Nurin pula sudah tergamam sendiri. Kenapalah suami dia ni suka buat jantung dia berdegup kencang. Badan dikeraskan, tidak bereaksi. Bersedia untuk bertindak jika bibir Fakri berani mendarat di wajahnya lagi.
            Mata dibuka perlahan setelah hampir sepuluh minit mendiamkan diri. Tiada lagi pergerakan dari encik suami di sebelah, menandakan Fakri sudah lena. Dari terlentang, Nurin mengiring menghadap Fakri. Setiap pergerakannya dibuat dengan penuh berhati-hati. Tidak mahu lena Fakri terganggu.
            “Kenapa awak baik sangat dengan saya..” Tanpa sedar terluah kata-kata tersebut dari bibirnya. Wajah tenang Fakri ditatap. Mata redup yang dipayungi kening tebal. Hidung milik Fakri dia pandang, jelas kelihatan batang hidung yang timbul. Bibir yang dihiasi kumis nipis itu dia perhatikan. Bibir yang selalu membuatkan dia sering hilang kata-kata. Dasar peguam hebat!
            Tanpa sedar air jernih mula bertakung di tubir mata. Dia tidak sedih dengan keadaan dirinya sekarang, kerana dia tahu semua ini adalah berpunca dari khilafnya sendiri. Namun dia sedih kerana terpaksa mengorbankan masa depan lelaki sebaik Fakri semata-mata ingin menutup aib dirinya. Dirinya langsung tak layak.. Kenapa masih ada manusia yang bersimpati pada manusia jahil sepertinya.
            “Ya allah..” Rintih Nurin perlahan. Tangan naik menutup mulut. Tidak mahu Fakri mendengar esaknya. Tangan kanan memegang perut bila terasa bayi menendang dinding rahimnya. Mungkin juga si kecil itu faham akan rasa hatinya saat ini.
            Fakri membuka mata bila merasakan ada pergerakan kecil di sisinya. Wajah Nurin yang sedang menghadap ke arahnya menjadi santapan mata. Rambut Nurin yang menutupi separuh wajah itu dia tolak ke belakang.
            “Eh! Kenapa ni sayang?” Soal Fakri sedikit terkejut sebaik sahaja melihat wajah itu lencun dengan air mata. Hilang terus kantuknya sebentar tadi.
            Nurin hanya mampu mengeleng. Untuk bersuara dia sudah tidak mampu.
            “Sakit ke sayang?” Fakri menegakkan sedikit tubuh supaya mampu melihat wajah Nurin dengan lebih jelas.
            Melihat Nurin yang hanya mendiamkan diri, Fakri kembali bersuara, “Are you okey, sayang?”
            “Okey.”
            “Serius? Habis tu ni kenapa menangis?”
            “Tadi je rasa kaki kejang. Ni dah okey,” dalih Nurin.
            “Sure dah okey?”
            “Ye. Dah, saya nak tidur ni,” jawab Nurin sebelum memejamkan mata rapat. Tolong jangan terlalu perihatin pada perempuan seperti saya Fakri!
            “Hmm. Okey. But, if anything. Please, wake up me..”
            Nurin angguk sedikit dengan mata terpejam.
            “Okey, dear?”
            “Ye..” Inilah sikap Fakri, kalau nak jawab kena guna suara. Tak boleh nak angguk-angguk, geleng-geleng. Selagi dia tak dengan suara kita, selagi itulah Fakri akan terus menyoal.
            “Okey. Let’s sleep. Nurin kena cukup rehat.” Selimut di badan Nurin, Fakri betulkan sebelum dia sendiri kembali berbaring.

            Nurin kemam bibir kuat. Cuba mengawal rasa sebak yang masih bersisa. Tangan Fakri yang singgah melekap di atas perutnya dia biarkan. Dah penat nak menghalang. Biarlah, sekurangnya anak yang dia kandungkan mampu merasai kasih sayang seorang ayah walaupun bukan ayah kandungnya sendiri. 

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta-Bab 25


(Telah berada di pasaran pada Ogos 2014)
“LAMA ke you nak masuk ke dalam?” soal Hayati sebaik sahaja mereka tiba di dalam bangunan kedai buku milik Sabrina.
“Tak. Sekejap aje. Sain apa yang patut. You all duduk la dulu.”
Sabrina terus melangkah naik ke tingkat atas setelah menjawab pertanyaan Hayati. Tingkat dua yang menempatkan pejabat pentadbiran. Kedai buku sederhana besar itu mereka perhatikan. Nampak lengang, mungkin kerana sekarang waktu bekerja. Salah satu cawangan kedai buku Pustaka Pertama. Selain Kuala Lumpur, memang Pustaka Pertama mempunyai banyak cawangan di kawasan pantai timur.
“I nak round kat luar kejap.”
“Okey. Be careful. Jangan jauh-jauh, you tak biasa lagi dengan tempat ni.”
Peringatan Hayati hanya dibalas dengan anggukan. Kaki melangkah keluar dari kedai buku berhawa dingin tersebut. Membawa kakinya menyelusuri kaki-kaki lima di barisan bangunan yang sama. Jalan raya kelihatan agak sesak dengan kenderaan walaupun pada waktu bekerja. Mungkin kerana faktor kepadatan penduduk.
Bulat matanya apabila sesekali kereta-kereta mewah melintas lalu. Sekarang, Kelantan memang sudah maju. Malah mungkin penduduk-penduduk di sini lebih kaya daripada manusia-manusia bertaraf Dato, Tan Sri di bandar-bandar besar yang jauh lebih maju.
Kaki terhenti di sebuah kedai emas. Maira menilik ke arah pameran barang kemas yang dipamerkan dari dinding kaca. Silau biji matanya melihat kilauan barangan tersebut. Mata melilau ke dalam kedai, nampak mewah dan eksklusif. Seorang perempuan tua keluar dari pintu kedai. Bulat matanya melihat deretan gelang di tangan perempuan tersebut. Hanya berbaju kurung dan bertudung lusuh. Tapi, barang kemas dah gaya nak roboh tangan.
Pintu kedai ditolak sebelum melangkah masuk. Niatnya hanya satu, ingin melihat semurah manakah barangan kemas di tempat tersebut. Seorang gadis yang kelihatan masih muda menyambutnya. Mungkin masih belasan tahun. Lengkap beruniform kuning terang. Maira hanya membalas senyuman yang diberikan oleh gadis tersebut. Dia hanya memberikan isyarat ingin melihat-lihat dahulu apabila gadis tersebut mengekorinya.
“Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam, Encik Riz.”
Terpempan Maira mendengar suara tersebut. Kaku kakinya. Kepala ditundukkan, mengintai dari celah-celah rak. Kelihatan seorang lelaki yang segak memakai kemeja putih bersih dan berseluar slack hitam sedang berdiri membelakanginya.
“Invois Selesa Contruction dah sampai?” soal lelaki tersebut sambil sibuk membelek sesuatu di atas meja kaunter.
“Sudah, Encik Riz. Kak Najah dah hantar ke bahagian akaun. Laporan kewangan bulan ni pun Kak Najah dah letak atas meja Encik Riz,” tutur gadis di bahagian kaunter tersebut dengan suara yang dilembutkan.
Maira hanya melihat sahaja mata gadis tersebut yang tidak berkelip memandang wajah lelaki di hadapannya. Senyum diukir. Maira menilik-nilik dari celah rak. Ingin melihat dengan lebih jelas wajah lelaki tersebut. Suara itu seperti sudah biasa di pendengaran telinganya.
“Okey. Good.”
Rizky berpaling ke belakang. Ingin meninjau keadaan di dalam kedai tersebut. Sudah seminggu dia tidak datang ke kedai tersebut. Sibuk menguruskan agensi perlancongan yang baru ingin berkembang maju. Tiba-tiba matanya tertancap akan kelibat seseorang yang berada di sebalik rak barangan yang dipamerkan.
“Tu ada customer. Kenapa tak pergi layan? Apa guna saya hire pekerja ramai-ramai kalau seorang customer pun tak boleh handel. Saya tarik balik saya punya good tadi,” tegas Rizky menegur pekerjanya yang sudah menayang muka serba salah.
Kaki diatur pantas menuju ke arah Maira yang dikatakannya pelanggan sebentar tadi. Maira pula sudah tidak tentu arah. Kalut dia mengatur langkah ingin menyembunyikan diri. Akibat terlalu gelabah, Maira lupa yang dia sedang berada di tengah-tengah rak kaca yang mempamerkan barangan kemas mewah.
Berdegang!!! Bergegar rak kaca tersebut dilangarnya. Nasib tidak tumbang. Kalau tak, mahu dia meraung nak bayar ganti rugi.
“Miss, are you okay?” soal Rizky sebaik sahaja sampai di hadapan gadis berkenaan.  
Terkejut juga dia tadi apabila melihat salah sebuah rak yang berada di situ hampir tumbang. Nasib tidak tumbang dan pecah.
“Errr. Hai...”
Maira mengangkat tangan. Melambai-lambai tangannya ke arah Rizky dengan muka serba tidak kena. Melihat sahaja wajah gadis di hadapannya, Rizky menahan senyuman. Cik pencuri hati rupa-rupanya. Senang pula mereka berjumpa walaupun secara kebetulan seperti itu. Kuat betul agaknya jodoh mereka.
“Cik okey?” soal Rizky berpura-pura tidak kenal. Wajahnya diseriuskan sehabis mungkin.
“Okey. Eh... mestilah okey. Okey aje ni, ha... barang awak ni pun okey lagi. Teguh juga rak ni ya.”
Maira memegang rak yang dilanggarnya itu tadi. Senyum yang diukir terasa benar seperti dibuat-buat... Bukan takut sebab terlanggar rak, tapi takut sebab yang berdiri di hadapannya kini ialah lelaki semirip Gun.
“Bukan rak tu yang saya risaukan, tapi keadaan cik. Cik boleh berisiko mendapat kecederaan kalau rak ni pecah dan tumbang tadi.”
“Tak la. Okey aje ni. Sorry. Saya tak sengaja. Teruja sangat dapat tengok kedai yang cantik dan eksklusif macam ni.”
Sengaja Maira memberikan sedikit pujian, harapanya agar lelaki di hadapannya itu dapat melupakan apa yang baru terjadi. Maira mengalihkan pandangan matanya ke arah bertentangan. Tidak kuat hatinya ingin menatap wajah tersebut. Ya Allah, mengapa mereka harus berjumpa dalam keadaannya seperti sekarang? Sangatlah tidak meletop.
“Yeah? Thanks. But... now... I don’t think so. Mungkin dah tak eksklusif lagi.” Rizky memberi isyarat mata ke arah tangan Maira. Bergelora perutnya menahan ketawa melihat Maira sudah seperti cacing kepanasan. Wajah itu sudah memerah, mungkin menahan malu. Kali pertama dia melihat sisi Maira yang malu-malu seperti itu.
“Alamak. Maaf, maaf. Saya tak sengaja. Maaf, tuan. Abang... errr encik. Saya tak sengaja. Betul-betul tak sengaja.”
Sekali lagi Maira diserang rasa malu apabila melihat aiskrim di tangannya sudah cair. Menitik-nitik ke atas lantai kedai. Kalut Maira memasukkan lebihan aiskrim yang masih tinggal ke dalam mulut. Disumbatnya semua sekali.
“Huh?”
Bulat mata Maira memandang ke arah sapu tangan yang dihulurkan oleh Rizky. Sapu tangan kotak-kotak berwarna biru muda tersebut hanya dipandang sepi.
“Ambillah. Guna untuk lap tangan tu.”
Sekali lagi Rizky menyuakan sapu tangan tersebut ke arah Maira. Isyarat mata diberikan menandakan dia ikhlas. Teragak-agak Maira menyambut huluran tersebut. Dia juga tidak punya pilihan. Takkan dia nak lap pada baju pula, memang taklah!
“Terima kasih.”
“My pleasure.”
“Maaf. Saya dah kotorkan kedai awak. Tak sepatutnya saya bawa masuk aiskrim. Habis lantai ni... Emmm... tuan. Abang. Eh, encik...”
“Rizky.”
Tersenyum kecil Rizky melihat reaksi Maira. Pertama kali dia tengok Maira gelabah berhadapan dengan lelaki. Selalunya pantang, memang asyik nak tunjuk aura penggoda dia tu.
“Oh, Encik Rizky...”
Perlahan Maira menyebut semula nama tersebut. Entah mengapa, terbit rasa kecewa di dalam hatinya apabila mengetahui nama lelaki itu ialah Rizky. Bukan Keith Rajh Dhan yang dia harapkan.
“Yeah. Rizky.”
Sengaja Rizky menyebut sekali lagi namanya. Kali ini sengaja dia tekankan sedikit perkataan Rizky itu. Bukan dia tidak nampak, air muka Maira yang berubah apabila dia menyebut namanya tadi.
“Maaf Encik Rizky, saya tak sengaja. Kalau encik nak saya bersihkan, saya boleh bersihkan.”
“Eh, tak apa. Cik...”
“Maira.”
“Maira. Nice name...”
Wah, Rizky. Pandainya berlakon. Berpura-pura tidak kenal konon. Padahal nama itulah yang selama ini diingatinya siang dan malam.
“Tak apa. Sikit aje tu. Nanti saya suruh pekerja saya buat. Tini, clean this please!”
“Sapu tangan awak?”
Kali ini Maira menunjukkan pula sapu tangan Rizky yang berada di tangannya. Serba salah pula dia nak pulangkan sapu tangan yang sudah menjadi mangsa aiskrim Sollero miliknya tadi.
“Tak apa. Awak simpanlah. Setakat sapu tangan lima ringgit aje pun. Pasar malam. Kalau awak nak buang pun tak apa.”
Terbantut niat Maira hendak membalas kata-kata Rizky. Rizky sedang sibuk memberi arahan kepada pekerja bernama Tini tadi untuk membersihkan sisa aiskrim di atas lantai. Kesempatan itu Maira ambil untuk meneliti wajah Rizky sepuasnya. Mereka seperti orang yang sama. Suara, tingkah laku, wajah... semuanya milik Gun. Hanya nama sahaja yang membezakan mereka.
“Cik Maira. Please...”
Rizky menundukkan sedikit badan untuk mempersilakan Maira supaya mendahuluinya ke bahagian hadapan kedai. Maira hanya menurut. Walaupun langkahnya sudah sumbang, terasa kekok untuk dia berjalan di hadapan Rizky. Keyakinan dirinya sudah lesap entah ke mana. Rizky yang sangat gentleman. Gun pula lebih kepada bersikap kasar dan keras.
“Ada yang Cik Maira berminat ke? Saya boleh bagi spesial diskaun. Yang ini, semua design kedai kami yang paling latest,” tutur Rizky yang lembut menarik perhatian Maira.
Kali ini dia dapat melihat perbezaan Gun dan Rizky. Barang kemas yang ditunjukkan Rizky diperhatikan. Cantik, memang cantik. Tetapi dia buta dalam menilai kualiti sesuatu barang kemas. Kerana dia bukanlah perminat aksesori seperti itu.
“Saya ni... tak berapa tahu sangat mengenai barang macam ni...”
Lambat-lambat Maira mengaku kelemahan dirinya.
“Ya. Saya dah agak. Sebab tengok daripada diri awak, hanya ada jam tangan dan gelang silver. Simple, but nice. Sebab tu Cik Maira nampak masih macam budak sekolah. Tak berkelip-kelip dengan kilauan emas.”
Budak sekolah? Maira menahan rasa kelakar. Helo... dia dah dua puluh empat tahun. Tapi bagus juga, itu menandakan dia awek muda. Satu lagi perbezaan Gun dan Rizky. Rizky bermulut manis... Gun bermulut peluru berpandu.
Bunyi telefon bimbit mengejutkan Maira. Terkebil-kebil dia memandang ke arah Rizky.
“Telefon awak...”
Melihat senyuman kecil dari bibir Rizky, Maira terkedu sendiri. Itu milik Gun! jeritnya dalam hati. Kenapa banyak sangat perkara yang awak sama dengan Gun? Ini pasti Gun, bukan Rizky.
Kelam-kabut Maira menyelongkar beg tangannya. Benda yang senang untuk jumpa pun jadi susah gara-gara hatinya yang sudah tidak menentu. Melihat sahaja nama Sabrina di skrin telefon, Maira menepuk dahi sendiri. Kaki melangkah beberapa tapak ke tepi agar sedikit jauh dari Rizky.
“You kat mana?!” terjah Sabrina sebaik sahaja Maira menjawab panggilan. Maira menjarakkan sedikit telefon bimbit menjauh dari telinganya. Menggosok-gosok sedikit telinganya. Bingit!!!
“Assalamualaikum, Cik Sabrina...”
“Waalaikumussalam, Cik Maira Khaisara. Boleh saya tahu cik di mana sekarang?”
“Ada kat kedai dekat-dekat sini aje. Jangan la risau sangat. Bukannya I nak pergi terjun sungai pun.”
“Yang tu I tak risau sebab I tahu you memang takut air. Tapi I risau nanti you hilang. Apa I nak jawab dengan parents you? Ingat sikit, sini dekat dengan Thailand tau. Nanti dibuatnya orang kidnap you, jual kat sana, baru you tahu, berani sangat jalan seorang diri macam tu. You bukan biasa lagi dengan tempat ni, orang pun you tak kenal.” Panjang lebar Sabrina berleter.
“Ya, I tahu. Dah, jangan membebel la. Kesian telinga I ni tahu tak? Sekejap, I pergi kedai you sekarang.”
Pantas telefon bimbit terus ditutup. Malas mahu mendengar balasan daripada Sabrina. Kalau nak tunggu dia habis berceramah, esok pun belum tentu habis.
“Maaf, Encik Rizky. Saya dah nak kena pergi ni. Nenek kebayan dah murka,” tutur Maira sebaik sahaja melangkah kembali ke arah Rizky yang masih tenang memandang ke arahnya.
“Nenek kebayan?” soal Rizky dengan riak muka pelik. Sejak bila pula Maira berkawan dengan nenek kebayan?
“Isy, Encik Rizky ni. Ada-ada aje. Bukan nenek kebayan la. Kawan saya, Sabrina. Dia ada kedai buku kat hujung sana.”
Bukan Rizky tidak nampak gerak-geri Maira yang serba tidak kena. Kalau dahulu, pantang ada orang pandang, mulalah jalan nak mengangkat dada. Kini, tersipu-sipu malu. Langkah pun sumbang. Bergelojak perutnya menahan senyum. Tidak mahu terlalu nampak yang dia begitu mengenali gadis tersebut.
“Pustaka Pertama? Yeah... I know.”
Tangan dimasukkan ke dalam poket seluar. Cuba menahan hati. Terasa berat ingin melepaskan Maira keluar dari kedai tersebut. Namun dia tahu, kalau Tuhan itu sudah tentukan Maira yang terbaik untuk dirinya, pasti selepas ini akan ada lagi pertemuan mereka.
“Ha, betul la tu. Errr, okeylah ya. Saya pergi dulu. Maaf sekali lagi pasal tadi.”
“Okey. Terima kasih sebab sudi masuk ke dalam kedai saya.”
Maira hanya melemparkan senyuman. Pandangan mata hanya ditujukan ke arah lantai. Kaki melangkah laju ke arah pintu. Sebaik sahaja melepasi pintu keluar, nafas kelegaan dilepaskan. Tangan naik menampar-nampar pipi sendiri. Kemudian mengetuk-getuk kepala sendiri. Kenapa dia kelam-kabut sangat ni? Tenang... dia bukan Gun, Maira. Dia Rizky, pesan Maira kepada dirinya sendiri.

Tanpa Maira sedari, dari dalam kedai, Rizky memerhatikan tingkah laku Maira. Mungkin Maira tidak menyangka, segala perlakuannya, mampu dilihat dari dalam kedai. Rizky ketawa kecil. Geli hatinya melihat kelakuan Maira. Memang sudah jauh berubah. Tiada lagi si penggoda, kini si clumsy pula yang muncul. Nampak begitu menarik di matanya. Nampak gayanya pasti dia akan tersenyum sepanjang hari, penangan daripada gadis berkenaan.

Pencuri Hati Vs Penembak Cinta-Bab 24

RIZKY meraup rambut panjangnya ke belakang. Tubuh disandarkan tenang ke kerusi malas. Kolam renang di hadapan dipandang sepi. Tiada hati untuk masuk berenang pada hari tersebut. Fikiran asyik memikirkan si dia. Si seksi dan manis bergaya. Hati berbunga-bunga riang. Wajah yang sangat indah di matanya. Seksi, namun langsung tidak nampak menggoda di matanya. Dia si seksi yang sangat manis. Manis dengan gayanya tersendiri. Melihat bibir nipis itu yang tersenyum kepadanya membuatkan dirinya hanyut dalam angan sendiri.
“Senyum seindah suria, akan membawa bahagia. Senyumlah daripada hati, duniamu berseri.”
Rizky membuat muka selamba. Suara yang tiba-tiba kedengaran dari arah belakang langsung tidak dihiraukan. Mendengar suara saja sudah tahu siapa empunya suara. Mendengar bait-bait lagu yang dinyanyikan itu pun sudah tahu, ingin memerli dirinya la tu.
“Bahagia nampaknya? Jarang dapat tengok abang long kita senyum macam tu. Senyum depan kolam renang, sorang-sorang pula tu. Hmmm... something is wrong... Ini memang something is definitely wrong.”
Haaa, kan dah kata. Pantang dia senyum, ada aje yang dengki.
“Tak payah nak something is wrong sangat la. Aku buat senaman mulut pun nak kecoh.”
Rizky mendengar Kit mengambil tempat duduk di sebelahnya. Juga bersandar sambil melunjurkan kaki di atas kerusi malas. Sama-sama menghadap kolam renang.
“Jangan kedekut sangat. I know you. Kau tak pernah nak buat senyum macam tu.”
Rizky ketawa kecil. Kit, memang sahabat sejati. Sehingga isi hatinya juga boleh dibaca.
“Aku jumpa dia,” jawabnya tanpa berpaling ke arah Kit.
“Siapa? Dia? Maya ke.”
“Choiii! Kalau jumpa agar-agar tu bukan senyum, itu boleh bikin menggelegak. Geli siot!”
Rizky menggosok-gosok tengkuknya yang terasa meremang. Memang pantang betul dia dengan perempuan bernama Maya itu. Lembik dan asyik nak menempel. Memang patut dipanggil agar-agar.
Kit menahan gelak melihat reaksi Rizky.
“Habis tu. Ce royat...” seloroh Kit sambil bercakap dalam dialek Kelantan. Berbelit juga lidahnya. Memang hancur dialek orang dia kerjakan.
“Aku jumpa dia semula. Si penggoda. Pencuri hati.”
“Biar betul?!”
Senyuman ditahan mendengar nada suara Kit. Walaupun dia tidak memandang Kit, namun dia sudah dapat mengagak riak muka Kit sekarang.
“Kau main-main kan? Mustahil la. Ini Kelantan la. Mustahil la boleh terserempak kat sini pula.”
Kali ini Kit sudah berdiri di hadapannya. Siap dengan pakej muka tak percaya. Tidak puas hati barangkali bersembang tanpa melihat muka Rizky. Bersembang berita hangat pula tu.
“Tak ada yang mustahil. Itu semua kerja Tuhan. Kalau dia kata jadi, maka jadi la. Aku tak main-main la... memang dia yang aku jumpa.”
Rizky membetulkan duduk, menghadap Kit.
“Kau salah orang kut.”
“Tak. Orang lain mungkin. But not her. Setiap inci pasal dia, tengok sebelah mata pun aku kenal.”
Kit menjuihkan bibir. Bukan main lagi Rizky ni. Sebentar kemudian senyuman nakal terukir. Rizky mengerutkan kening. Mengecilkan mata. Faham benar dengan senyuman yang Kit pamerkan itu.
“Dia menggoda macam dulu lagi ke? Maksud aku... kalau kita tengok dia, rasa macam automatik nak follow belakang tak?”
Patutlah Rizky boleh senyum panjang. Jumpa Cikgu Maira mereka rupa-rupanya. Cikgu yang paling hot yang mereka pernah ada. Hanya sebulan, namun banyak kenangannya seperti bertahun-tahun kenal.
“Itu memang tak boleh dinafikan. Malah dia punya magnet tu tambah kuat pula.”
“Wah Riz, kita cakap pasal perempuan. Memang ajaib ni. Dia kenal kau tak?”
“Kenal. Sebab dia panggil aku Gun. Tapi, aku tak adalah menyerah cepat sangat. Aku nak tengok dulu reaksi dia. Sama ada dia memang niat nak tegur aku atau memang semua lelaki dia tegur. Kita buat games sikit.”
Rizky mengukir senyuman penuh makna. Rizky atau Gun. Adalah orang yang sama. Kini dia ialah Rizky Dhan bin Abdullah. Dia kini bukan lagi manusia yang hidup tanpa pegangan agama. Kini dia ialah manusia yang hidup berpegang pada kitab suci al-Quran. Alhamdulillah, sudah hampir dua tahun dia memeluk agama Islam.
“Aku okey aje. Jangan sampai nanti games tu makan diri sendiri. Buat-buat tak kenal, nanti terus angkat kaki say goodbye. Baru melopong kau. Kena ingat, orang macam dia mudah jatuh cinta. Entah-entah dah jadi bini orang. Kau aje yang perasan kononnya orang tu ingat lagi kat kau.”
Kini Kit sudah kembali semula ke arah kerusi yang ditinggalkannya sebentar tadi.
“Anggap aje la tak ada jodoh. Aku percaya, mungkin ada hikmah yang besar kenapa Allah aturkan pertemuan aku dengan dia semula. Di Kelantan, jauh dari tempat kami mula-mula kenal. Aku tak mengharap apa-apa. Apa yang aku tahu, kita kena yakin dengan diri sendiri. Dan aku percaya dengan diri aku.”
“Aku akan doakan yang terbaik untuk kau. Harap-harap lepas ni ada la peluang aku jumpa dengan dia. Rindu kut nak tengok senyuman menggoda Cikgu Maira.”
Kit ketawa kuat dengan kata-katanya sendiri. Ya, mereka semua amat merindukan aksi gedik Cikgu Maira Khaisara.
“Kalau Allah tu dah tentukan yang kita memang akan berjumpa semula dengan dia, di hujung dunia atau penghujung nyawa sekalipun ia tetap akan terjadi.  
Percayalah apa yang sudah dituliskan Allah untuk kita.”
Kit memandang sekilas ke arah Rizky. Setiap kata-kata Rizky sekarang sudah jauh berubah. Nampak lebih berhati-hati dalam berbicara. Nampak lebih matang dalam soal kehidupan.
“Jadi ke nak pergi Langkawi?” soal Rizky sambil menoleh ke arah Kit yang sudah memejamkan mata.
“Jadi. Esok petang. Hantarkan aku pergi airport ya.”
Rizky mengangguk.
“Okey. Tapi sebelum tu, kita pergi jenguk Dini dulu eh? Nanti, lama juga kan kau kat sana?”
“Itulah. Memang cadangnya macam itu la. Sebab banyak perkara nak kena deal dulu. Mungkin makan masa seminggu juga.”
Rizky memandang lama ke arah Kit. Dari kecil mereka bersahabat. Memang sudah dianggap lebih daripada sahabat. Kit layak menjadi seperti saudara kandungnya. Dini... Salah seorang sahabat sejatinya juga. Mereka bertiga sudah seperti belangkas, tidak pernah berpisah. Selalunya perempuan sahaja yang ada sahabat sejati. Boleh berkawan bertahun-tahun. Tetapi tidak bagi mereka bertiga... Namun, kini Dini bukan lagi seperti dahulu. Mengingati Dini membuatkan Rizky melepaskan nafas berat. Sampai bilakah mereka bertiga akan terus bersama-sama ketawa dan menjadi sahabat selamanya?


BUNYI lagu Starlight daripada Muse mengejutkan Maira yang sedang leka membaca majalah Cleo. Dilihat nama ibunya terpampang di skrin telefon bimbit.
“Helo. Assalamualaikum,” jawabnya setelah menekan butang hijau.
“Waalaikumussalam. Ara dekat mana, sayang?” Kedengaran suara Harina di hujung talian.
“Ada dekat rumah aje, ibu. Ibu sihat?”
“Alhamdulillah. Sihat. Bila nak balik sini?”
Maira menepuk dahi sendiri.
“Ibu ni. Tak sampai dua hari pun lagi Ara duduk kat sini. Dah suruh Ara balik pula.”
“Ibu bukan apa, rindu ibu dekat kamu tak sempat pun habis lagi, kamu dah duduk jauh dengan ibu semula. Balik la, Ara... jangan terlalu ikutkan sangat rasa hati tu.”
Maira mengeluh panjang. Ibu... suka sangat buat ayat sedih.
“Nanti Ara balik ya. Jangan risau la ibu, Ara kat sini okey. Ara bukan pergi sebab sesiapa pun. Tapi Ara nak mencari diri Ara yang sebenar. Ara janji, nanti Ara balik. Dan Ara takkan jauh-jauh lagi dengan ibu. Hari-hari ibu akan tengok muka anak ibu yang sangat cun ni.”
“Ibu sunyilah. Bertiga aje hari-hari dalam rumah ni. Kalau siang, Ana pergi sekolah. Tinggal ibu berdua dengan ayah kamu aje.”
“Haaa, okeylah tu. Ibu belek la muka suami kesayangan ibu tu. Dapat dating berdua, kan best tu.”
“Hisy, buat apa? Dah jemu.”
Maira ketawa mendengar balasan Harina. Mulut sahaja cakap jemu.
“Bagi Ara masa ya. Lagipun Ara tak sempat lagi nak jalankan misi jelajah Kelantan. Nak rehat dan enjoy sampai muntah. Baru Ara terjah KL.”
“Ada-ada aje budak ni tau. Hmmm. Ara...”
“Ya ibu.”
“Kamu betul ni dah okey? Ibu risau kalau tak nampak kamu ada depan mata lepas apa yang dah jadi.”
“Apa yang dah jadi, ibu?” soal Maira berpura-pura tidak tahu. Kalau boleh kisahnya dengan Fatah di mahu kuburkan. Fatah juga pasti sudah bahagia.
“Eh, budak ni. Boleh pula dia tanya kita macam tak ada apa yang berlaku. Kamu dah lupa ingatan ke?” marah Harina di hujung talian.
“Hmmm. Tak la, ibu. Cuma, tu kisah lama. Hidup perlu diteruskan. Apa pun kisah mengenai Fatah, anggap aje ingatan Ara dah hilang. Sekarang masanya untuk mengejar my real mister handsome.”
“Alhamdulillah. Lega hati ibu ni dengar kamu cakap macam tu. Tahu, anak ibu ni bijak. Setakat seorang lelaki, tak mengganggu pun kehidupan anak ibu yang cun ni.”

Tersenyum bahagia Maira mendengar kelegaan Harina. Sekarang, hati ibunya lagi penting daripada dia asyik memikirkan soal manusia yang tidak penting. Manusia yang hanya berniat mahu mempermainkan hidupnya.